Memaparkan catatan dengan label BUKU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BUKU. Papar semua catatan

Rabu, 6 Mac 2013

Yang menarik tentang P. Ramlee

Setelah membaca dua buah buku tentang P. Ramlee iaitu P. Ramlee Erti Yang Sakti tulisan Tun Ahmad Sarji dan P. Ramlee Yang Saya Kenal tulisan Yusnor Ef (tak habis baca lagi), aku mendapat beberapa info menarik tentang diri P. Ramlee.

Pertama, P. Ramlee mendapat ilham mencipta lagunya di dalam tandas. Beliau mendapat ilham dan akan mencatitkannya sama ada di dalam kertas ataupun dengan menconteng di dinding tandas menggunakan abu daripada puntung rokok. Agak menjijikkan, namun itulah hakikatnya dan banyak lagu-lagunya yang masih popular sehingga kini diilhamkan di dalam tandas di Studio Jalan Ampas.

Kedua, P. Ramlee gemar menonton rancangan kartun di televisyen pada hujung minggu. Beliau juga mendapat ilham untuk aksi-aksi komedi setelah menonton kartun. Lihat saja adegan kejar-mengejar menggunakan pintu di dalam filem Madu Tiga, adegan itu sering dipaparkan di dalam kartun Looney Tunes begitu juga dengan filem-filem bisu lakonan Charlie Chaplin dan Harold Lloyd.

Ketiga, filem kegemaran P. Ramlee ialah sebuah filem Hindi berjudul Gunga Jumna (1961) yang dilakonkan oleh Dilip Kumar dan Vijayanthimala dan diarahkan Nitin Bose. Di dalam buku P. Ramlee Yang Saya Kenal, P. Ramlee dikatakan telah menonton filem ini sebanyak dua kali dan menyarankan penulis buku tersebut (Yusnor Ef) agar menontonnya kerana dikatakan telah memberikan kesan mendalam terhadap dirinya.

Keempat, P. Ramlee begitu menitik beratkan tentang muzik latar filem kerana menurutnya, muzik adalah nadi untuk sesebuah filem. Jadi tidak hairanlah apabila kita menonton filem-filem daripada Hollywood kebanyakan muzik latarnya adalah orchestrated ataupun dimainkan secara orkestra untuk memberikan impak atau kesan kepada penonton yang menontonnya. Begitu juga dengan filem-filem Bollywood yang turut menjadikan muzik latar sebagai sesuatu elemen yang penting bagi sesebuah filem dan tidak menggunakan muzik yang dimainkan hanya menggunakan keyboard atau synthesizer (lazimnya filem-filem Melayu era 80'an dan 90'an) dan juga menggunakan muzik latar daripada filem-filem Hollywood. Bagaimanapun, muzik yang dimainkan menggunakan synthesizer boleh juga digunakan untuk filem-filem bercorak sains fiksyen ataupun futuristik.

Aku akan menuliskan lagi beberapa perkara menarik tentang P. Ramlee di dalam entri yang akan datang.

Khamis, 6 September 2012

Dua buah novel karya Joe Hill bakal difilemkan

Joe Hill
Joe Hill, penulis yang namanya sedang meningkat naik sekarang mungkin akan menjadi lebih terkenal apabila kedua-dua buah karyanya menemui penonton dalam bentuk filem.

Kedua-dua buah novel karyanya iaitu Heart-Shaped Box dan Horns telah pun dilamar oleh produksi perfileman. Hakcipta untuk Heart-Shaped Box telah dibeli oleh Warner Bros. manakala hakcipta untuk Horns telah dibeli oleh Mandalay Pictures dan Red Granite. Kemungkinan besar nama Joe Hill selepas ini akan lebih dikenali seperti mana ayahnya iaitu penulis novel seram terkenal, Stephen King.

Heart-Shaped Box mengisahkan tentang seorang penyanyi rock bernama Judas Coyne yang juga merupakan seorang pengumpul barang-barang aneh dan menyeramkan. Suatu hari dia telah memesan pakaian orang yang telah mati secara online. Berbagai perkara menakutkan berlaku sebaik sahaja dia menerima pakaian tersebut. Filem Heart-Shaped Box akan diarahkan oleh Neil Jordan (Interview With The Vampire) bagaimanapun berita yang aku baca di sini mengatakan bahawa Neil Jordan tidak lagi terlibat dengan pembikinan filem Heart-Shaped Box. Tidak pasti siapa yang akan menggantikan tempat Neil Jordan.

Horns pula ialah sebuah kisah fantasi gelap yang menggabungkan kisah jenayah, misteri dan seram. Filem Horns akan diarahkan oleh Alexandre Aja (Piranha 3D) dan akan dibintangi oleh Daniel Radcliffe (Harry Potter).

Joe Hill pernah muncul di dalam filem Creepshow arahan George A. Romero pada tahun 1984. Skrip dan lakonlayar untuk filem Creepshow ditulis oleh ayahnya sendiri iaitu Stephen King dan Joe Hill dikenali sebagai Joe King di dalam filem ini. Joe Hill melakonkan watak seorang budak lelaki bernama Billy yang dihukum ayahnya kerana kerap membaca komik seram.

Rabu, 22 Februari 2012

Buku paling kontroversi yang pernah dihasilkan


Sebuah buku berjudul Cries Unheard: The Story of Mary Bell tulisan Gitta Sereny dikatakan sebagai buku paling kontroversi yang pernah dihasilkan.

Buku ini pernah menjadi tajuk utama akhbar-akhbar di Britain sekitar tahun 1998. Apakah yang begitu istimewa tentang buku ini sehingga ia menjadi topik utama setiap akhbar di Britain?

Buku Cries Unheard: The Story of Mary Bell adalah sebuah kisah benar tentang seorang wanita bernama Mary Bell yang berusia 11 tahun telah dijatuhkan hukuman penjara selama 12 atas tahun atas kesalahan membunuh dua orang kanak-kanak lelaki berusia 3 dan 4 tahun. Kejadian tersebut berlaku pada tahun 1968.

Mary Bell dibebaskan pada tahun 1980 ketika berusia 23 tahun dengan pengawasan pihak polis.

Mary Bell kemudian memperoleh seorang anak perempuan hasil bersekedudukan dengan seorang lelaki yang dilahirkan pada tahun 1984. Mary Bell telah memohon kepada mahkamah untuk mengubah identitinya atas alasan untuk melindungi masa depan anaknya. Setelah keluar dari penjara Mary Bell telah hidup berpindah randah.

Buku Cries Unheard: The Story of Mary Bell ditulis oleh seorang wartawan bernama Gitta Sereny yang telah mewawancara Mary Bell selama enam bulan.

Sebelum ini Gitta Sereny pernah menulis buku berjudul Gitta Sereny: The Case of Mary Bell yang diterbitkan pada tahun 1972 bagaimanapun buku itu tidak mencetuskan kontroversi seperti bukunya yang kedua.

Cries Unheard: The Story of Mary Bell menjadi kontroversi kerana Mary Bell menerima pembayaran untuk penyertaannya dalam penerbitan buku ini.

Pembayaran telah dikritik oleh akhbar tabloid dan kerajaan di bawah pimpinan Tony Blair ketika itu mencari suatu tindakan yang sah untuk menghalang penerbitannya atas alasan seorang penjenayah tidak sepatutnya memperoleh hasil daripada jenayah yang telah dilakukannya, bagaimanapun cubaan tersebut gagal.

Mary Bell kini berusia 55 tahun.

sumber: arkib Utusan Malaysia, wikipedia

Jumaat, 17 Februari 2012

Keluaran sulung majalah Opsyen


Baru dapat majalah ni pagi tadi, terima kasih pada Shah Misery. Majalah Opsyen edisi Januari hingga Mac ini diedarkan secara percuma. Majalah ini diterbitkan oleh Projek Rabak dengan sokongan daripada Institut Darul Ridzuan.

Difahamkan majalah ini telah dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir pada bulan November tahun lalu. Untuk keluaran sulung ini turut dimuatkan temuramah bersama Joe Ipoh (skateboarder) dan Ducktoi (Muck). Juga ada artikel mengenai Dato' (Dr) Haji Mohd Nor bin Khalid atau lebih dikenali dengan nama Lat.

Majalah ini juga memuatkan beberapa informasi tentang pelancongan di Perak, antaranya premis-premis makanan yang popular di Perak, tempat kegiatan seni dan pusat-pusat rekreasi serta sukan lasak. Juga dimuatkan artikel-artikel tulisan golongan muda.

To Jay (Mohd Jayzuan), congrats bro selaku ketua pengarang majalah ini (walaupun aku dah tak boleh baca blog hang sebab uninvited....)

Isnin, 18 April 2011

Siri TV dan filem The Dark Tower

Berita yang pastinya menaikkan rasa teruja para peminat Stephen King. Mini siri dan filem The Dark Tower sedang dalam pembikinan. Mini siri dan filem yang diadaptasi daripada novel bersiri dengan judul yang sama karya Stephen King itu akan diarahkan dan diterbitkan oleh Ron Howard (The Da Vinci Code) manakala skripnya akan ditulis oleh Akiva Goldsman (The Da Vinci Code, Paranormal Activity 2) dan Mark Verheiden (Smallville, Heroes, Battlestar Galactica).

Filem The Dark Tower akan dibuat secara trilogi manakala mini siri The Dark Tower untuk dua musim. Barisan pelakon yang dijangka akan membintangi filem dan mini siri tersebut masih belum ditetapkan namun nama Javier Bardem (Anton Chigurh di dalam filem No Country for Old Men) disebut akan melakonkan watak utama iaitu Roland Deschain atau dikenali juga sebagai The Gunslinger. Untuk watak Susannah Dean, tiga orang pelakon wanita sedang dalam pertimbangan untuk memegang watak tersebut iaitu Naomie Harris, Jennifer Carpenter dan Gita Thazi.

The Dark Tower adalah sebuah kisah bergenre 'weird western'. Ia mengisahkan tentang sebuah tempat yang masih lagi mengamalkan cara hidup koboi tetapi juga mengamalkan ilmu sihir. Satu pasukan dikenali sebagai The Gunslingers ditugaskan untuk menjaga keselamatan di tempat itu. Salah seorang The Gunslinger iaitu Roland Deschain telah ditugaskan ke Dark Tower untuk menghapuskan kejahatan di situ. Namun di sepanjang perjalanannya ke Dark Tower, berbagai kejadian telah berlaku.

Sebelum ini, siri The Dark Tower pernah diadaptasi menjadi komik terbitan Marvel Comics.

sumber: wikipedia

Khamis, 10 Mac 2011

A Doctor in the House, the best seller


Woo hoo!! 5,000 naskhah terjual dalam 1 hari. Ini dah sampai tahap best seller. Siapalah agaknya yang berani nak adaptasi buku ni ke filem, yerk??

Rabu, 9 Mac 2011

Aku akan miliki, insya Allah


Buku A Doctor in the House, karya terbaharu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah pun berada di pasaran. Kerana begitu meminati tulisan Tun, insya Allah aku akan dapatkan buku ini. Sebelum ini aku telah pun memiliki Malay Dilemma dan Blogging to Unblock, dengan adanya buku terbaharu ini maka bertambah lagi koleksi buku tulisan Tun di almari buku aku.

Jumaat, 19 Mac 2010

Sinambungan untuk kisah The Shining


Tidak berapa lama lagi kita mungkin akan membaca hasil tulisan terbaharu daripada Stephen King. Stephen King sedang menyiapkan novel terbaharunya berjudul Doctor Sleep yang dikatakan sebagai sinambungan untuk novel The Shining.

Pada 19 November 2009, ketika Stephen King berada di Toronto, Kanada untuk promosi novelnya Under The Dome, Stephen King telah mengumumkan kepada hadirin bahawa dia telah mendapat idea untuk membuat sinambungan kepada novel The Shining yang ditulisnya pada tahun 1977.

Stephen King membayangkan bahawa kisahnya berkisar tentang watak Danny Torrence dalam novel The Shining yang kini telah pun berusia lingkungan 40'an, tinggal di utara New York dan menjadi seorang pembantu di sebuah hospital. Tugasnya ialah membantu roh mereka yang nazak meninggalkan jasad dengan aman, menggunakan kuasa luarbiasa yang dimilikinya (rujuk novel The Shining).

Kemudian, pada 1 Disember 2009, Stephen King telah membuat satu tinjauan pada laman web rasminya, meminta pelawat yang melayari webnya untuk mengundi adakah dia patut menulis kisah mengenai Doctor Sleep ataupun membuat lanjutan untuk siri novel The Dark Tower.

Pada 31 Disember 2009, keputusan undian mendapati sebanyak 5,861 undi dibuat untuk menulis kisah Doctor Sleep manakala 5,812 undi memintanya menulis lanjutan untuk siri The Dark Tower. Stephen King kemudian mengambil keputusan untuk menulis novel Doctor Sleep.

Belum pun novel tersebut diterbitkan, sudah ada ura-ura tentang novel itu akan difilemkan namun tiada maklumat tentang kasting dan produksi untuk filem tersebut.

Khamis, 17 Disember 2009

Klasik, romantik dan seram

Dua buah novel sastera klasik Inggeris iaitu Pride and Prejudice dan Sense and Sensibility telah ditulis semula, kali ini dengan menambah entiti seram iaitu zombie dan rasaksa laut, menjadikan judulnya Pride and Prejudice and Zombies dan Sense and Sensibility and Sea Monsters.

Quirk Books, syarikat penerbitan yang berpangkalan di Philadelphia bertanggungjawab untuk 'merosakkan kesucian' sastera klasik tulisan Jane Austen ini. Kononnya ia akan menjadi trend menggabungkan kisah romantik klasik dengan kisah seram seperti zombie, rasaksa dan pontianak, tapi dengan merosakkan 'masterpiece' yang sedia ada? Bagaimana dengan novel-novel karya Anne Rice yang lebih original dan tidak perlu mencemari karya orang lain.

Entahlah, tapi pada pandangan aku ia bukannya satu bentuk parodi ataupun modifikasi, aku rasa ia lebih kepada pencemaran untuk keaslian kedua-dua novel tersebut. Namun bagi masyarakat Barat nampaknya seolah-olah merelakan khazanah sastera mereka dicemari.

Dengarnya, atas sambutan hangat untuk buku Pride and Prejudice and Zombies, sudah ada ura-ura buku ini akan difilemkan.

Khamis, 28 Mei 2009

Pencemaran dan kejutan


Apabila membaca kumpulan cerpen yang terkandung dalam buku Capa Rengat, antologi cerpen karya Baharuddin Kahar, seolah-olah aku menaiki mesin masa, merentasi kembali ke zaman 80'an, zaman di mana aku dibesarkan.

Kebanyakan cerpen yang dimuatkan merupakan karya-karya Baharuddin Kahar yang pernah disiarkan di majalah-majalah, juga memenangi beberapa anugerah sastera sekitar tahun 80'an. Lebih menarik apabila tempat yang menjadi latar untuk cerpen-cerpen Baharuddin Kahar adalah di negeri Perak, terutamanya mukim Hulu Kinta dan Tanjong Rambutan, yang juga merupakan kampung halaman ayahku dan tempatku membesar.

Baharuddin Kahar juga tidak lupa menyelitkan asal-usul keturunannya iaitu keturunan Rawa (atau dikenali juga sebagai Rao) di dalam cerpennya iaitu Gulai Rawo. Seperti penulis Barat, Stephen King, Baharuddin Kahar juga seolah-olah membuat sinambungan dan kaitan antara cerpen-cerpennya. Contohnya cerpen Gulai Rawo seolah-olah sinambungan kepada cerpen Kelah Sisik Merah. Watak Budin di dalam kedua-dua cerpen ini juga seolah-olah menjadi cameo dalam cerpen Kebesaran di mana watak Durani bertemu dengan seorang tua bernama Pak Budin yang hendak ke pekan untuk membeli tali pancing. Watak Budin di dalam cerpen Kelah Sisik Merah dan Gulai Rawo juga merupakan seorang penangkap ikan yang handal. Cerpen Keindahan yang Hilang juga boleh dianggap sebagai sinambungan untuk cerpen Capa Rengat.

Nama Pak Cik Kinto juga menarik perhatianku. Jika anda pernah membaca novel Senjakala karya Baharuddin Kahar, watak utamanya juga bernama Kinto dan kisah di dalam novel itu juga berlatarkan kawasan Ulu Kinta di era 70'an - 80'an. Sebenarnya, pernah terdapat sebuah warung bernama Warung Kinto yang terletak di hadapan Supermarket Kuala Kangsar sekitar tahun 80'an dahulu dan memandangkan Baharuddin Kahar pernah menjadi guru di Kuala Kangsar, aku yakin beliau mengambil nama warung tersebut untuk watak ciptaannya, ataupun mungkin juga daripada nama Kinta.

Baharuddin Kahar juga turut mencipta watak orang yang bukan Melayu. Cerpen Longnya Laku mengisahkan tentang seorang lelaki Tionghua bernama Leong yang mengharapkan kematian seorang tua yang kaya untuk menjual long ataupun keranda kepada keluarga lelaki tua itu demi untuk merawat penyakit anaknya. Terdapat twist ending dalam cerpen ini. Di dalam cerpen Bah Urei pula ia menceritakan perihal masyarakat Orang Asli.

Yang paling jelas, kebanyakan cerpen-cerpen yang dimuatkan adalah bertemakan pencemaran dan kejutan. Pencemaran alam, pencemaran dan kejutan budaya merupakan tema yang kuat dan nyata untuk cerpen-cerpen beliau. Tidak ketinggalan juga kisah-kisah cinta yang tak kesampaian dan terdapat juga unsur-unsur dakwah dan ketuhanan seperti cerpen Terima Kasih Tuhanku dan Lolongan.






Khamis, 5 Februari 2009

Lanun Malaysia


Imej Sandokan yang dibawakan oleh Kabir Bedi. Gambar daripada website Kabir Bedi

Pernah tonton filem ini? The Pirates of Malaysia. Aku sangkakan cuma ada The Pirates of Carribean je. Jerry Bruckheimer dan Gore Verbinsky patut remake filem ini. Ataupun patut juga seorang pengarah dari Malaysia membikin filem ini, untuk membetulkan persepsi di mana watak Sandokan, protagonis filem ini digambarkan seperti seorang India, memakai serban, anting-anting dan kasut seperti Aladdin, dan bukan seorang Melayu.

The Pirates of Malaysia adalah sebuah filem terbitan dan keluaran Itali pada tahun 1964. Ia diarahkan oleh Umberto Lenzi dan difilemkan di Singapura. Filem ini diadaptasi daripada novel I pirati della Malesia karya Emilio Salgari yang diterbitkan pada tahun 1896.

The Pirates of Malaysia merupakan beberapa siri filem yang menampilkan protagonisnya iaitu Sandokan. Selain filem ini, filem lain yang mempunyai watak Sandokan ialah Sandokan the Great, Sandokan Against the Leopard of Sarawak dan Sandokan Fights Back. Atas kepopularan watak Sandokan beberapa mini siri telah diterbitkan dan ditayangkan di televisyen. Antara pelakon-pelakon yang pernah membawakan watak Sandokan ialah Steve Reeves dan Ray Danton. Pelakon legenda Hollywood dan Bollywood, Kabir Bedi pula membawakan watak Sandokan untuk mini siri di TV.

Sandokan adalah watak lanun yang menjadi protagonis dalam karya-karya Emilio Salgari. Sandokan juga dikenali dengan nama The Tiger of Malaysia. Sandokan secara fiksyen merupakan seorang lanun dan juga pejuang yang menentang pemerintahan James Brooke di Sarawak. Beliau dibantu oleh sahabatnya Yanez dan Pangeran Macota (Pengiran Mahkota).

Terdapat 11 novel Sandokan yang diterbitkan iaitu The Mystery of Black Jungle (I Misteri della Jungla Nera, 1895), The Pirates of Malaysia (I Pirati della Malesia, 1896), The Tigers of Mompracem (Le Tigri di Mompracem, 1900), The Two Tigers (Le due Tigri, 1904), King of the Sea (Il Re del Mare, 1906), Quest for a Throne (Alla conquista di un impero, 1907), Sandokan Fights Back (Sandokan alla riscossa, 1907), Return to Mompracem (La riconquista del Mompracem, 1908), The Brahman (Il Bramino dell'Assam, 1911), An Empire Crumbles (La caduta di un impero, 1911) dan Yanez' Revenge (La rivincita di Yanez, 1913).

Jumaat, 14 November 2008

Abahku, Malim Ghozali PK dan Ke Dusun Nenek


"Ye ke? Selama ini tak pernah cerita pun?" Itulah reaksi ku kepada abahku apabila abah memberitahu Malim Ghozali PK, penulis buku Janji Paramatibo yang terkenal itu adalah rakannya sejak bangku sekolah lagi.


Aku tahu abah memang rapat dengan penulis Baharuddin Kahar, sewaktu aku kecil kerap juga aku berjumpa dengan beliau. Tetapi aku tak menyangka Hj Mohamed Ghozali Hj. Abd. Rashid juga merupakan rakan karibnya.


Patutlah abah begitu minat menulis sewaktu mudanya, mungkin terpengaruh dengan tabiat rakan-rakannya yang menjadi penulis. Mungkin aku juga terpengaruh dengan tabiat abahku, cuma masaku untuk berkarya agak terhad kerana pekerjaanku yang begitu kontra dengan dunia penulisan.


Abah pernah menghasilkan novel sulungnya, Ke Dusun Nenek. Mungkin juga novel yang terakhir kerana nampaknya abah sekarang seolah-olah tidak peduli lagi dengan dunia penulisan. Aku pernah bertanya abah kenapa enggan menulis lagi, "letih," jawabnya. Katanya selepas bersara menjadi pendidik dia hanya ingin menumpukan pada keluarga.


Novel kanak-kanak Ke Dusun Nenek tidak mendapat sambutan kerana beberapa masalah. Mungkin juga kerana abah menyelitkan unsur-unsur mistik dalam jalan ceritanya menyebabkan ia dianggap sebagai cerita tahyul ataupun kisah seram. Padahal unsur mistik itu begitu sedikit kalau nak dibandingkan dengan novel Bercakap Dengan Jin yang begitu popular suatu masa dahulu.


Ceritanya mengisahkan tiga orang sahabat yang menghabiskan cuti sekolah di sebuah kampung. Mereka seronok mandi sungai, makan buah-buahan di dusun dan menangkap ikan. Suatu hari salah seorang daripada mereka telah dipatuk ular. Nenek pelajar yang dipatuk ular tersebut telah menggunakan cara mistikal iaitu dengan menyeru semua jenis ular yang ada di kampung itu datang mengambil semula bisanya. Ular yang mematuk kanak-kanak itu datang dan mengambil semula bisanya lalu mati. Kanak-kanak itu sembuh semula dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.


Mungkin itu sebabnya kenapa novel ini seolah-olah digantung daripada diedarkan ke perpustakaan-perpustakaan sekolah. Padahal kisah bomoh ular itu bukanlah fokus utama, hanya untuk menyedapkan cerita. Sebaliknya kisah percutian kanak-kanak itu kisah utama novel ini. Aku tersenyum bila membaca cerita The Body karya Stephen King (yang diadaptasi menjadi filem Stand By Me) kerana cerita abah pun tidak kurang hebatnya, dan abah tidak pernah membaca novel-novel Stephen King.

Khamis, 6 November 2008

Pemakan mayat dan Pahlawan ke-13

Eaters of the Dead adalah judul novel yang dikarang oleh Michael Chrichton. Walaupun ia merupakan sebuah fiksyen tetapi nama watak utama novel ini iaitu Ahmad ibn Fadlan memang wujud. Ahmad ibn Fadlan ataupun nama penuhnya Ahmad ibn Fadlan ibn al-Abbas ibn Rašīd ibn Hammād adalah seorang penulis berbangsa Arab yang hidup pada abad ke-10. Beliau adalah utusan kerajaan Abbasiyah yang dihantar ke utara Eropah untuk berjumpa dengan Raja Volga Bulgars.

Chrichton telah menokok tambah cerita agar kelihatan lebih menarik dengan menceritakan kononnya Ahmad ibn Fadlan telah ditawan oleh puak Vikings dan dibawa lebih jauh ke utara. Di sini Chrichton telah menggabungkan kisah Ahmad ibn Fadlan dengan permulaan cerita Beowulf.

Kumpulan Vikings ini dianggotai sebanyak 12 orang lelaki dan mereka sedang mencari orang yang ke-13 untuk menyertai misi mereka menentang rasaksa yang dikenali sebagai Wendol. Secara tidak lansung, Ahmad ibn Fadlan telah dipilih sebagai pahlawan ke-13.

Novel ini telah diolah semula oleh John McTiernan dan dijadikan filem berjudul The 13th Warrior. Watak Ahmad ibn Fadlan telah dipegang oleh Antonio Banderas. Banderas telah melakonkan watak ini dengan baik hinggakan pada satu babak aku merasakan Antonio Banderas adalah seorang Muslim.


Michael Chrichton R.I.P


Penulis novel sains fiksyen dan pengembaraan tersohor, Michael Chrichton, meninggal dunia pada 4 November 2008 akibat barah. Chrichton berusia 66 tahun.

Michael Chrichton terkenal dengan novelnya yang telah diadaptasi kepada filem iaitu Jurassic Park arahan Steven Spielberg. Sebuah lagi novelnya yang telah diadaptasi ialah Eater of the Dead yang diubah judulnya kepada The 13th Warrior lakonan Antonio Banderas. Siri televisyen yang menjadi hits iaitu E.R. juga adalah ilham Chrichton.

Michael Chrichton dilahirkan pada bulan Oktober 1942 di Chicago, Illinois. Dia melanjutkan pelajaran dalam bidang antropologi di Universiti Harvard dan pernah menjadi pensyarah di Universiti Cambridge, England sebelum merantau ke Eropah dan Afrika Utara. Selepas itu, Chrichton kembali ke Amerika Syarikat dan menuntut dalam bidang kedoktoran. Dia mula menulis ketika itu untuk menampung yuran pengajiannya.

Isnin, 18 Ogos 2008

Dua buah buku diharamkan oleh KDN




KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri mengharamkan dua buah buku kerana mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Abdul Razak Abdul Latif berkata buku yang diharamkan itu bertajuk "Pelik Tapi Benar Dalam Solat" karya Ustaz Abdul Rahman Mohamed terbitan Telaga Biru Sdn Bhd, Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur dan dicetak oleh FDZ Design & Communications, beralamat Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur.

Sebuah lagi buku yang turut diharamkan bertajuk "Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism" oleh Norani Othman, terbitan Sisters in Islam, Petaling Jaya dan dicetak oleh Vinlin Press Bandar Baru Seri Petaling.

"Kedua-dua buku ini dikenakan perintah larangan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan mana-mana individu yang didapati menghasilkan semula, mencetak, mengeluar atau memiliki bahan larangan tersebut boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM 20,000 atau kedua-duanya," kata Abdul Razak dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sekiranya penerbitan berkenaan dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat.

-- BERNAMA

Khamis, 7 Ogos 2008

Pembikinan filem Cell ditangguh


Pengarah filem 'splatter horror' Eli Roth membuat keputusan untuk menangguhkan penggambaran filem Cell yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Stephen King.

Di dalam laman MySpace nya Eli Roth menyatakan dia ingin menyiapkan projeknya yang lain sebelum menumpukan pada filem Cell.

Cell adalah kisah zombie yang ditulis oleh Stephen King. Di dalam novel tersebut Stephen King menyatakan novel Cell adalah penghargaan kepada pengarah filem zombie yang terkenal iaitu George A. Romero dan penulis sains fiksyen Richard Matheson yang terkenal dengan novel I Am Legend.

Cell mengisahkan bagaimana manusia bertukar menjadi zombie setelah terdedah kepada isyarat misteri yang terpancar melalui telefon bimbit. Hanya seorang manusia sahaja yang tidak terkena isyarat ini iaitu Clayton Riddell, seorang pelukis, kerana dia tidak memiliki telefon bimbit. Berseorangan, dia meneruskan perjalanannya untuk menjejaki mereka yang masih terselamat dan juga anaknya yang terpisah.

Bagus juga tindakan Eli Roth menangguhkan projek ini memandangkan filem zombie yang berlambak sekarang.

Isnin, 28 April 2008

Hikayat Amir Hamzah





Sewaktu zaman persekolahan dulu, kepada sesiapa yang mengambil matapelajaran Sastera pasti ingat akan sebuah novel klasik iaitu Hikayat Umar Umaiyyah. Kisah mengenai Umar Umaiyyah yang pintar dan menggunakan kepandaiannya untuk menewaskan musuh dan membantu mereka yang dalam kesusahan.

Kini telah muncul novel bersiri Hikayat Amir Hamzah yang menggunakan bahasa Melayu moden terbitan PTS Fortuna karya Abdul Latip Talib (Si Bongkok Tanjung Puteri). Di dalam buku Hikayat Umar Umaiyyah turut diselitkan kisah Amir Hamzah, seorang pahlawan Islam yang gagah perkasa.

Kisah Saidina Amir Hamzah berlaku pada abad ke-7 sebelum kedatangan Islam sehingga kepada kedatangan dan kegemilangan Islam. Diriwayatkan bahawa Saidina Amir Hamzah merupakan bapa saudara kepada Nabi Muhammad S.A.W. Di dalam siri Riwayat Amir Hamzah ini ia mengisahkan akan keperkasaan Amir Hamzah yang amat digeruni oleh pihak musuh, malah ada juga peristiwa 'supernatural' diselitkan dalam siri ini seperti menentang musuh dari kalangan Jin. Amir Hamzah juga turut bersama dalam Perang Uhud dan telah syahid dalam peperangan ini.

Dapatkanlah buku ini. Bagus untuk bacaan sendiri ataupun sebagai hadiah kepada anak-anak. Harganya cuma RM24.00

Aku Darah Anak Malaysia


Novel berbentuk thriller dan aksi yang mengisahkan tentang seorang anggota polis bernama Hilman yang pergi ke New York untuk bertemu dengan anaknya setelah lama terpisah akibat perbalahan keluarga. Malangnya pertemuan Hilman dengan anaknya Jeslina telah melibatkan mereka dengan kemalangan kereta. Jeslina telah koma manakala Hilman pula telah dituduh memandu dalam keadaan mabuk. Lebih menyulitkan keadaan apabila kemalangan yang berlaku itu sebenarnya turut membabitkan Presiden Amerika Syarikat. Bagus cerita ini, kalau dibuat filem lagi bagus, tetapi adakah pengarah filem Malaysia yang berani mengadaptasikan novel ini menjadi sebuah filem. Mungkin ada, cuma belum ada peluang lagi kot.