Memaparkan catatan dengan label FILEM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label FILEM. Papar semua catatan

Jumaat, 14 Februari 2014

Penjenayah paling kejam, ahli korporat


Minggu ini, umpama melepaskan geram, aku telah menonton dua buah filem berturut-turut (back to back).

Filem pertama merupakan sebuah filem animasi iaitu The Lego Movie.

Bagi mereka yang pernah mengikuti siri video animasi Lego arahan Michael Hickox di YouTube pastinya tidak akan merasa janggal dengan filem ini, cuma agak teruja apabila melihatnya ditayangkan di layar besar.

Apa yang membezakan antara filem The Lego Movie dan video-video animasi Michael Hickox adalah filem The Lego Movie merupakan sebuah filem animasi komputer manakala video-video Michael Hickox dibikin menggunakan teknologi stop-motion.

Aku tidak mahu menceritakan sangat tentang jalan cerita filem ini kerana ia ada persamaan sedikit dengan jalan cerita The Matrix iaitu suatu kuasa baru (new world order) yang bertujuan untuk mengawal dunia melalui media dan rutin harian.

Menariknya, kisah tentang bagaimana pendominasian dunia oleh sektor korporat di dalam The Lego Movie ini seakan-akan ada hubungkaitnya dengan filem kedua yang aku tonton.

The Lego Movie juga seolah-olah cuba memberitahu kita bahawa mainan yang direka itu sememangnya khusus bagi kanak-kanak, untuk membina daya imaginasi mereka dan tidak seharusnya ada 'campur tangan' golongan dewasa melainkan untuk membimbing mereka mengembangkan pemikiran mereka agar tidak terpesong dan terkongkong.

Setelah selesai menonton The Lego Movie aku ke panggung sebelah untuk menonton filem RoboCop. Seperti yang aku nyatakan di atas, seakan-akan ada persamaan pada plot filem The Lego Movie dan RoboCop, iaitu pendominasian dunia melalui sektor korporat.


Tidak dinafikan bahawa sektor korporat pada zaman sekarang memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran negara, bukan lagi ahli politik. Malahan ahli-ahli politik juga kebanyakannya sekarang berasal dari arena perniagaan dan korporat, maka soal-soal pentadbiran negara juga dibuat berdasarkan bagaimana menguruskan sesebuah syarikat korporat.

Tema ini memang telah lama diangkat di dalam filem-filem RoboCop yang terdahulu iaitu RoboCop asal pada tahun 80'an dahulu. Apabila filem RoboCop dibuat pembikinan semula, aku sebenarnya tiada bantahan kerana memang wajar untuk RoboCop dibikin semula, sedangkan filem-filem aksi superhero yang lain juga telah beberapa kali dibikin semula.

Hasilnya, RoboCop yang baharu ini bukan lagi hanya memaparkan aksi-aksi ekstrem dan dunia futuristik Detroit sebaliknya lebih banyak bermain drama dan emosi. Tambahan pula filem RoboCop kali ini dibintangi oleh beberapa pelakon handalan seperti Michael Keaton, Gary Oldman, Jackie Earl Haley dan Samuel L. Jackson.

Boleh dikatakan hasil kerja pengarah daripada Brazil iaitu José Padilha telah berjaya meletakkan RoboCop dalam kategorinya tersendiri. RoboCop yang baharu juga dilihat lebih 'manusia' daripada RoboCop yang dipaparkan dalam filem-filem terdahulu.

Di dalam filem RoboCop versi baharu ini, ia seolah-olah mahu membawa penonton berfikir, siapakah yang lebih kejam sebenarnya, adakah pihak polis yang korup, pihak penjenayah ataupun ahli-ahli korporat yang lebih mementingkan kewangan daripada nilai-nilai kemanusiaan.

RoboCop juga sarat dengan pengaruh filem Batman (mungkin perasaan aku sahaja kerana terdapat dua orang pelakon filem Batman di sini iaitu Michael Keaton yang pernah membawakan watak Batman dan Gary Oldman yang pernah membawa watak James Gordon dalam trilogi The Dark Knight).

Michael Keaton berjaya membawa watak seorang antagonis meskipun pada awalnya tidak menunjukkan sisi negatif dirinya, hanya pada pengakhiran cerita baharulah beliau yang membawakan watak tokoh korporat Raymond Sellars menunjukkan belangnya.

Samuel L. Jackson juga meskipun membawakan watak sebagai seorang pengacara TV bernama Pat Novak namun tetap meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada penonton. Beliau berjaya membuat aku meluat dengan sikapnya sebagai seorang pengacara TV yang bias dengan OCP ataupun Syarikat Omnicorp, kemungkinan syarikat TV ini merupakan anak syarikat OCP.

Akhir sekali, kedua-dua filem ini memang berbaloi untuk ditonton dan merupakan pembukaan yang baik untuk tahun 2014.

Khamis, 19 Disember 2013

Bersama mengembara ke Gunung Berkabus


The Hobbit: The Desolation of Smaug ialah sinambungan kepada filem The Hobbit: An Unexpected Journey yang diarahkan oleh Peter Jackson, diadaptasi daripada novel The Hobbit karya J.R.R. Tolkien.

Kali ini ia mengisahkan bagaimana seorang Hobbit bernama Bilbo Baggins menyambung pengembaraannya bersama 13 orang kerdil dan seorang ahli sihir bernama Gandalf untuk membunuh Smaug, seekor naga dan mengembalikan takhta raja orang kerdil bernama Thorin Oakenshield.

Di dalam perjalanan mereka telah diburu dengan sekumpulan Orcs ataupun sejenis makhluk gasar yang diarahkan oleh suatu kuasa jahat untuk membunuh kumpulan orang kerdil ini.

Mereka telah bertemu dengan beruang jadian bernama Beorn, hampir-hampir dimakan oleh kumpulan labah-labah gergasi, ditangkap oleh pari-pari atau Elves dan diselamatkan oleh manusia bernama Bard the Bowman yang mempunyai kaitan dengan Smaug dan Thorin Oakenshield.

Pada masa yang sama, Gandalf yang mengesan akan kehadiran kuasa jahat terpaksa meninggalkan kumpulan orang kerdil ini dan berhadapan dengan musuh lama yang bakal menyebabkan malapetaka kepada Middle-Earth.

Sementara Bilbo pula mendapati perubahan pada dirinya yang pada mulanya disangkakan adalah keberanian yang ditemui dalam pengembaraannya, namun akhirnya ia mengesyaki bahawa ia bukanlah keberanian sebaliknya merupakan dorongan daripada cincin emas yang ditemuinya dalam gua Gollum.

Terus-terang aku katakan sinambungan kali ini tidak membosankan dan membuatkan aku tidak sabar untuk menantikan sambungannya pada tahun hadapan iaitu The Hobbit: There and Back Again.

Kisah The Hobbit ini diinspirasikan oleh J.R.R. Tolkien melalui pengalamannya hidup pada era peperangan iaitu Perang Dunia Pertama dan Kedua. Tema yang dipaparkan dalam kisah ini ialah keberanian, kerjasama dengan semangat berpasukan dan mencari serta menghargai keamanan.

Lagu yang dimainkan pada akhir filem ini berjudul I See Fire dendangan Ed Sheeran.

Rabu, 6 November 2013

Laluan untuk Bukit Kepong dan Guardians


Suatu ketika dahulu aku agak skeptikal dan 'alah' dengan filem-filem terbitan Skop Productions.

Pertamanya kerana ia akan diarahkan oleh mereka yang berkaitan dengan Dato' Yusuf Haslam seperti Yusuf Kelana, A. Galak, Aziz Singah dan yang sekumpulan dengan mereka.

Keduanya aku akan mendengar dialog-dialog yang memualkan dan adakalanya diulang-ulang membuatkan aku rasa rimas. Adakah filem yang ditonton hendak mengajar aku situasi atau adegan yang sedang ditonton.

Rasanya sama seperti menonton perlawanan bolasepak di dalam televisyen dan pengulas sukan menceritakan situasi yang berlaku di padang sedangkan aku sendiri sedang menonton situasi tersebut dan mengetahui apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Ketiganya, setiap penutur dialog akan menyebut nama watak di akhir dialog contohnya "Begini, Awie," ataupun "Sudah, Wati," seolah-olah aku tidak mengenal nama-nama watak tersebut.

Dan apabila teraju pengarahan filem telah diambil alih oleh kedua-dua orang anak Dato' Yusuf Haslam iaitu Syamsul dan Syafiq, perasaan skeptikal itu masih wujud. Akibatnya aku tidak mengendahkan filem-filem arahan mereka yang terawal seperti Evolusi KL Drift 1 dan 2, Bohsia 1 dan 2, Khurafat, KL Gangster, Aku Bukan Tomboy, S.A.M dan Gangster Celop.

Bagaimanapun perasaan tersebut berubah apabila membaca tentang review mengenai trailer filem KL Gangster 2 di dalam sebuah laman web antarabangsa. Menerusi laman web ini aku dapat menonton keseluruhan trailer yang menarik perhatian aku untuk menontonnya.

Maka aku pun mencari DVD KL Gangster 2 yang kebetulan telah pun berada di pasaran. DVD KL Gangster 2 ini yang original, bukan cetak rompak seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, malahan aku sendiri tidak pernah berminat untuk menonton filem KL Gangster 2 yang dikatakan boleh ditonton menerusi internet.

Difahamkan bahawa jalan cerita KL Gangster 2 merupakan prekuel kepada filem KL Gangster, maka sesuai sangatlah aku menonton filem ini untuk lebih memahami (atau mungkin lebih elok aku menonton KL Gangster dulu kot?) dan aku akui, KL Gangster 2 tidak mengecewakan.

Aku dapat merasakan feel seperti menonton sebuah filem aksi, dengan emosinya yang menaikkan semangat adrenalin aku yang sudah semakin tua ini. Tidak keterlaluan sekiranya aku katakan filem ini merupakan filem aksi Melayu terbaik selain filem Bukit Kepong arahan Jins Shamsuddin.

Sebelum ini aku pernah menonton filem Gerak Khas The Movie arahan Dato' Yusuf Haslam dan Leftenan Adnan arahan Aziz M. Osman, aku tidak dapat merasakan 'nikmat' seperti menonton KL Gangster 2.

Ada banyak adegan yang aku suka dalam filem KL Gangster 2. Yang lebih mengagumkan aku, filem KL Gangster 2 dibikin dengan bajet yang lebih rendah daripada filem Vikingdom namun ia dapat menghasilkan beberapa adegan aksi yang berkualiti, boleh dikatakan setaraf dengan filem-filem aksi Thailand dan Hong Kong jika tidak setaraf Hollywood pun. Malahan lebih baik lagi daripada aksi filem-filem Bollywood.

Antara adegan-adegan menarik adalah seperti kemunculan Tailong (Rosyam Noor) di awal-awal filem yang terus melepaskan tembakan tanpa sebarang amaran dan menyembelih beberapa orang gangster King (Ridzuan Hashim) secara terang-terangan, adegan Malik (Aaron Aziz) menolak kereta seorang taiko atau kepala gangster dari atas tempat letak kereta bertingkat, adegan pertempuran di pelabuhan dan adegan kejar-mengejar di hujung cerita.

Difahamkan bahawa Syamsul Yusof sedang mengusahakan untuk pembikinan semula filem Bukit Kepong. Dengan kuaiti aksi pertempuran yang ditunjukkan dalam filem KL Gangster 2 aku yakin ia tidak menjadi masalah buat Syamsul, cuma Bukit Kepong ialah sebuah filem epik dan sejarah yang mengisahkan tentang pengorbanan anggota polis yang mempertahankan balai polis Bukit Kepong daripada ditawan oleh pengganas komunis pada tahun 1950.

Banyak rujukan dan kajian perlu dibuat untuk menghasilkan sebuah filem period sebegini, malahan Jins Shamsuddin juga mengambil masa yang lama untuk menghasilkan filem Bukit Kepong pada tahun 1980-an dahulu. Namun aku yakin Shamsul akan berjaya merealisasikan pembikinan semula filem ini.


Filem kedua yang aku tonton minggu ini ialah Thor: The Dark World. Sinambungan untuk filem adiwira Marvel, Thor ini masih mengekalkan pelakon yang sama seperti Chris Hemsworth, Natalie Portman dan Tom Hiddleston cuma ia diarahkan oleh Alan Taylor, bukan lagi oleh Kenneth Branagh.

Apa yang menarik dalam filem ini ialah peranan yang dibawa oleh Tom Hiddleston iaitu Loki lebih menonjol, tidak lagi membayangkan bahawa Loki adalah antagonis atau supervillain sebaliknya sebagai antihero. Di sini aku teringat kembali akan watak Jai lakonan Adi Putra di dalam KL Gangster 2. Ada sebab mengapa Loki menjadi sebegitu.

Aku nasihatkan agar tidak terus keluar daripada panggung sebaik sahaja roll credits dimainkan kerana terdapat dua adegan yang akan membayangkan laluan kepada dua buah filem. Pertama ialah laluan untuk sebuah lagi filem adiwira Marvel iaitu Guardians of the Galaxy dan kedua laluan untuk sinambungan filem Thor. Aku rasakan untuk filem Thor yang ketiga nanti ia akan lebih banyak fokus terhadap hubungan Thor dan Jane Foster di Bumi.

Isnin, 7 Oktober 2013

Gambaran nazak dalam Imaginaerum


Mungkin telah menjadi trend bagi penyanyi dan pemuzik rock untuk mentransformasikan (transformasi, ayat lazim sekarang, kan?) lagu-lagu mereka ke dalam bentuk cerita dan filem.

Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang baharu kerana kumpulan The Beatles telah pun memulakannya untuk filem mereka seperti A Hard Day's Night (1964), Help! (1965), Yellow Submarine (1968) dan Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band (1978).

Trend itu kemudiannya diteruskan oleh kumpulan The Who untuk filem mereka iaitu Quadrophenia (1973) dan Tommy (1975), Pink Floyd untuk filem The Wall (1982), Bon Jovi (Destination Anywhere, 1997), Lordi (Dark Floors, 2008), Nightwish (Imaginaerum, 2012) dan yang terbaharu ialah kumpulan Metallica untuk filem sulung mereka berjudul Through the Never.

Filem Imaginaerum hasil garapan sulung Stobe Harju adalah berdasarkan album kumpulan symphonic metal Nightwish yang juga berjudul Imaginaerum.

Jalan cerita untuk filem Imaginaerum ini ditulis oleh ahli kumpulan Nightwish sendiri iaitu Tuomas Holopainen.

Berkonsepkan fantasi gelap ala filem Tim Burton dan surreal ala David Lynch, filem Imaginaerum memang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan CGI, seperti filem Sucker Punch (2011) arahan Zack Snyder. Agak bertuah kerana filem ini dibantu dari segi kewangan oleh Finnish Film Foundation, sebuah agensi perfileman di bawah kerajaan Finland.

Jalan ceritanya agak mudah, ia mengisahkan konflik dalam jiwa seorang komposer bernama Thomas Whitman yang sedang menanti saat kematiannya. Sewaktu dalam koma, dia telah bermimpi kembali kepada umur 10 tahun dan mendapati orang salji atau Snowman yang dibinanya sewaktu musim salji hidup dan membawanya ke alam fantasi.

Sewaktu berada di dalam mimpi, Thomas atau Tom telah melihat tiga versi tentang dirinya iaitu sewaktu kanak-kanak, sewaktu muda dan sewaktu tua.

Aku dapati pengaruh Tim Burton memang agak kuat dalam filem ini terutama sekali untuk watak Snowman yang hampir menyerupai watak Jack Skellington dalam filem The Nightmare Before Christmas (1993) dan juga beberapa watak dalam filem 9 (2009).

Kumpulan Nightwish turut membuat penampilan dalam beberapa babak antaranya babak di dalam kelab malam dan juga sewaktu di pertunjukan sarkas. Sayangnya watak Thomas sewaktu muda yang dibawakan oleh Tuomas Holopainen tiada sebarang dialog, hanya memerlukan mimik muka yang melihatkan penderitaannya setelah kematian isteri akibat kemalangan.

Watak Tom sewaktu berusia 10 tahun pula dilakonkan oleh Quinn Lord, pelakon remaja warga Kanada yang sedang meningkat naik. Menariknya, Quinn Lord pernah berlakon di dalam sebuah lagi filem fantasi sebelum ini berjudul The Imaginarium of Doctor Parnassus (2009) yang diarahkan oleh Terry Gilliam dan dibintangi oleh Heath Ledger, Johnny Depp, Andrew Garfield, Tom Waits, Colin Farrell dan Jude Law.

Walaupun filem ini bercorak fantasi namun ia bukanlah disasarkan kepada kanak-kanak kerana terdapat adegan yang mungkin akan menakutkan bagi kanak-kanak. Kepada peminat-peminat band Nightwish, filem ini tidak sewajarnya dilepaskan oleh anda.

Selasa, 13 Ogos 2013

Shaheizy Sam, antara popular dan serba boleh


Aku akui, aku agak kurang menonton filem Melayu. Bukan kerana aku memandang rendah kepada filem-filem Melayu tetapi filem-filem Melayu agak kurang menarik untuk membuatkan aku menontonnya di pawagam. Lazimnya aku akan menontonnya melalui DVD ataupun menunggu tayangannya di kaca televisyen.

Namun begitu, terima kasih kepada stesen televisyen tempatan yang telah menayangkan beberapa buah filem Melayu sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini. Aku perasan agak banyak juga filem-filem dan drama lakonan Shaheizy Sam ditayangkan kali ini.

Kongsi, Adnan Sempit Balik Beraya, Ngangkung, Aku Bukan Tomboy sekadar menulis beberapa buah judul filem dan drama lakonan Saheizy Sam yang ditayangkan di TV hari raya kali ini.

Sebelum ini aku pernah menonton lakonannya di dalam filem Songlap, Bini-Biniku Gangster dan drama Kisah Cinta di TV3.

Berbagai karakter telah dibawakan oleh Shaheizy Sam daripada seorang mat rempit, seorang nerd, seorang playboy hinggalah ke watak negatif seperti pembunuh upahan, Sam mampu membawakannya dengan berkesan.

Jika Aaron Aziz dinobatkan sebagai pelakon lelaki paling popular di Malaysia, tidak keterlaluan jika Shaheizy Sam dinobatkan sebagai pelakon lelaki serba boleh di Malaysia.

Keep it up, bro!

Gabungan realiti dan fantasi dalam Wolverine


Standing ovation dan salute aku berikan kepada team produksi filem The Wolverine untuk plot dan jalan cerita yang menarik.

The Wolverine ialah sebuah filem adiwira dan spin-off untuk siri filem The X-Men.

Menonton The Wolverine umpama menonton sebuah filem tekno thriller Yakuza dan bukannya sebuah filem The X-Men.

Ada ketikanya aku merasakan seperti menonton sebuah filem James Bond terutamanya adegan pertarungan antara Logan/Wolverine dengan seorang anggota Yakuza di atas Bullet Train.

Menariknya, Hugh Jackman antara pelakon yang pernah dicalonkan untuk memegang watak Bond.

The Wolverine meskipun berada di dalam dunia X-Men di mana manusia hidup bersama golongan mutant namun di dalam filem ini dunia mutant agak kurang ditonjolkan meskipun terdapat watak seperti Yukio yang mampu meramal masa depan dan Dr. Green, seorang ahli biologi jelita namun sebenarnya adalah mutant yang mempunyai kuasa seperti ular.

Aku membayangkan andainya filem ini berada di bawah arahan Takashi Miike mungkinkah ia akan menjadi gore seperti filem Yakuzanya yang terkenal, Ichi the Killer.

Namun hasil kerja James Mangold tidak mengecewakan juga. Filem ini juga menjadi laluan kepada filem X-Men yang akan menyusul nanti.

Isnin, 24 Jun 2013

Yang aku suka, tak suka dan merapu tentang Man of Steel


Yang aku suka

Adegan sewaktu di planet Krypton sangat menarik, seolah-olah aku menonton gabungan antara filem Star Wars, Avatar dan John Carter of Mars.

Babak terbang Superman juga agak realistik, terima kasih kepada kecanggihan CGI kini.

Pakaian Superman juga agak menarik dan menepati ciri-ciri abad ke-21, Superman sudah lebih cerdik kerana tidak lagi memakai 'spender' di luar.

Kedua-dua ayah Kal-El/Clark iaitu ayah kandung dan ayah angkat memiliki sifat keperwiraan yang sejati. Kedua-dua mereka sanggup mengorbankan nyawa sendiri demi untuk melindungi orang lain.

Kematian ayah angkat Kal-El/Clark digambarkan begitu tragis sekali sehinggakan aku hampir menitiskan air mata.


Yang aku tak suka

Tiada muzik tema Superman gubahan John Williams berkumandang dalam filem ini yang membuatkan aku tidak bersemangat menontonnya. Muzik tema Superman yang dikenali juga dengan nama Superman's March digubah oleh John Williams bersama London Symphony Orchestra untuk filem Superman the Movie pada tahun 1978 dan muzik tersebut telah menjadi sinonim untuk filem-filem Superman sehingga ia digunakan semula untuk filem Superman Returns yang dibintangi oleh Brandon Routh pada tahun 2006. Aku rasakan muzik tema filem Man of Steel yang digubah oleh Hans Zimmer terlalu lemah untuk filem superhero sekuat Superman. Sepatutnya muzik tema gubahan John Williams dikekalkan sebagai identiti untuk filem Superman seperti mana muzik tema James Bond gubahan Monty Norman yang masih digunakan sejak tahun 1962 hingga kini meskipun watak James Bond telah dilakonkan oleh pelakon yang berbeza.

Tiada langsung pelakon-pelakon daripada filem-filem Superman terdahulu menjadi cameo dalam filem ini. Sekurang-kurangnya jemputlah Terence Stamp yang pernah membawakan watak General Zod dalam filem Superman the Movie dan Superman II, Gene Hackman yang membawakan watak Lex Luthor, Sarah Douglas sebagai URSA dalam filem Superman the Movie dan Superman II ataupun Margot Kidder yang pernah membawakan watak Lois Lane.

Sekali lagi aku melihat Bumi diserang makhluk asing. Kebelakangan ini plot serangan makhluk asing ke atas Bumi begitu popular bermula dengan filem Independence Day, Mars Attacks!, War of the Worlds, Skyline, Battle: Los Angeles, Transformers: Dark of the Moon dan The Avengers.


Yang Merapu

Aku selalu terfikir, bagaimana agaknya Clark memotong rambut dan mencukur janggutnya. Di dalam filem ini ada ditunjukkan imej Clark yang berjambang, namun apabila Clark memakai sut Supermannya, mukanya bercukur licin. Apa pisau cukur yang mampu mencukur jambangnya?

Pakaian Superman ditemui oleh Clark di dalam sebuah pesawat Krypton yang ditemui di Artik. Agak menghairankan kerana pakaian tersebut berpadanan dengan saiz Clark. Mungkin juga pakaian tersebut jenis yang stretchable, huhu.

Rabu, 15 Mei 2013

Menunggu


Man of Steel insya Allah dapat tengok.





The Wolverine tak dapat sebab dah puasa, maknanya akan ku tunggu di pusat DVD.  Tak main download-download.



Man of Steel dijangka akan ditayangkan di seluruh Malaysia pada 13 Jun 2013.

The Wolverine dijangka akan ditayangkan di seluruh Malaysia pada 25 Julai 2013.

Selasa, 30 April 2013

Kitalah yang mencipta musuh kita sendiri


Sinambungan filem adiwira Marvel, Iron Man semakin bertambah bagus dan menarik.

Bermula daripada filem pertamanya, Iron Man yang boleh aku katakan agak biasa, disusuli pula dengan Iron Man 2 yang memperlihatkan akan kemurungan Tony Stark meskipun dia telah membongkarkan siapakah Iron Man dan pergolakan diri Tony Stark diteruskan dalam filem The Avengers.

Kini, menerusi siri ketiga Iron Man pergolakan dalam jiwa Tony Stark (Robert Downey Jr.) yang semakin membarah telah hampir-hampir membinasakan dirinya.

Aku dapat rasakan ada persamaan antara diri Tony Stark dan Bruce Wayne, identiti sebenar adiwira DC Batman. Kedua-duanya adalah usahawan berjaya dan kedua-duanya juga tidak mendapat cukup kasih sayang daripada ibu bapa.

Kali ini, filem Iron Man 3 diletakkan di bawah tanggungjawab Shane Black (Kiss Kiss Bang Bang) yang telah berjaya mengubah sebuah filem fantasi adiwira menjadi sebuah filem bercorak political thriller.

Boleh dikatakan Iron Man 3 sebenarnya 'menyindir' kekalutan Amerika Syarikat dalam menangani serangan pengganas sehingga sanggup menyerang sebuah negara lain demi kempennya menyerang pengganas sedangkan musuh yang sebenar berada di negara sendiri.

Hubungan antara Tony Stark dan Pepper Pots (Gwyneth Paltrow) juga dikembangkan dalam filem ini. Sekiranya diamati, sebenarnya berlaku hubungan cinta tiga segi antara Tony Stark bersama Pepper Pots dan sut Iron Man ciptaannya. Tony lebih banyak menghabiskan masa di makmal rumahnya membuat pengubahsuaian terhadap sut Iron Man berbanding hubungan intimnya dengan Pepper Pots.

Kemunculan Adrich Killian yang merupakan bekas teman lelaki Pepper Pots (juga ada sejarah peribadi dengan diri Tony Stark) telah menyulitkan lagi hubungan Tony dan Pepper. Ini ditambah pula dengan beberapa siri serangan daripada kumpulan pengganas Ten Rings yang diketuai oleh seorang lelaki misteri bernama Mandarin. Serangan tersebut telah mencederakan pembantu dan pengawal peribadi Tony iaitu Happy Hogan menyebabkan Tony Stark tidak keruan dan telah melakukan sesuatu yang membahayakan nyawanya.

Meskipun aku berpuas hati dengan filem ini namun ada beberapa perkara yang aku agak kecewa. Pertama ialah tentang watak Mandarin. Sebagai seorang penggemar komik, watak-watak di dalam Iron Man memang tidak asing bagi aku, terutamanya watak Mandarin yang menjadi musuh utama bagi Iron Man.

Watak Mandarin pada asalnya merupakan suatu perlambangan bagi komunis. Boleh dikatakan watak Iron Man dicipta sewaktu memuncaknya Perang Dingin di antara Amerika Syarikat dan blok Komunis seperti China dan Soviet Union. Dua watak musuh utama Iron Man iaitu Ivan Vanko melambangkan komunis Soviet Union manakala Mandarin melambangkan komunis China. Watak Ivan Vanko pernah dilakonkan oleh Mickey Rourke dalam filem Iron Man 2.

Meskipun Mandarin divisualkan di dalam Iron Man 3 bagaimanapun ia telah mengecewakan aku kerana tidak menepati ciri-ciri Mandarin di dalam komik. Aku tidak mahu menceritakan lebih lanjut tentang watak Mandarin di dalam entri ini kerana ia akan menjadi spoiler. Aku agak kagum dengan Sir Ben Kingsley yang sanggup membawakan watak tersebut kerana pada aku ia seakan-akan merendahkan keupayaan pelakon ternama tersebut.

Guy Pearce berjaya membawakan watak Adrich Killian dengan berkesan, boleh dikatakan setara dengan watak Joker lakonan Heath Ledger di dalam filem The Dark Knight dan juga watak Raoul Silva lakonan Javier Bardem di dalam filem Skyfall.

Agak sia-sia juga aku menunggu sehingga habis kredit kerana ingin menyaksikan 'petunjuk' kepada sinambungan filem The Avengers malangnya ia cuma adegan di mana Tony Stark berjumpa dengan doktor menceritakan tentang trauma dirinya. Doktor tersebut yang tertidur mengakui bahawa dia bukanlah doktor yang sesuai untuk kes yang diceritakan oleh Tony. Doktor itu tidak lain ialah Dr. Bruce Banner ataupun Hulk yang dilakonkan oleh Mark Ruffalo, membayangkan bahawa filem The Incredible Hulk yang terbaharu mungkin akan dibikin atau sedang dalam pembikinan dengan watak utamanya dilakonkan oleh Mark Ruffalo. Sebelum ini Mark Ruffalo pernah melakonkan watak Dr. Bruce Banner di dalam filem The Avengers.

Selasa, 2 April 2013

Serang balas


G.I. Joe: Retaliation merupakan sinambungan kepada filem G.I. Joe: The Rise of Cobra yang dikeluarkan pada tahun 2009.

G.I. Joe: Retaliation lebih sesuai dikategorikan sebagai sebuah filem aksi sains fiksyen daripada filem aksi peperangan seperti The Expendables meskipun ia memaparkan tentang tentera elit Amerika Syarikat yang digelar G.I. Joe.

Filem kali ini memaparkan beberapa watak baru kecuali Duke, Snake Eyes, Storm Shadow, Zartan yang menyamar sebagai Presiden Amerika Syarikat dan Cobra Commander.

Dwayne Johnson memegang watak utama sebagai Roadblock menggantikan Channing Tatum sebagai Duke yang dimatikan pada awal cerita. Sebenarnya siri G.I. Joe memang berkait rapat dengan ahli gusti WWE kerana sebelum ini Hasbro pernah mengeluarkan patung aksi watak G.I. Joe iaitu Sgt. Slaughter. Sgt. Slaughter di dalam dunia realiti ialah seorang ahli gusti WWE (dulu dikenali sebagai WWF) yang popular sekitar era 80'an dan 90'an.

Kemunculan Bruce Willis sebagai General Joseph Colton walaupun sekejap berjaya menambah lagi 'perisa' untuk filem ini. Bruce Willis yang memang biasa dengan filem-filem aksi nampaknya tiada masalah untuk membawakan wataknya dalam filem ini.

Filem ini juga membangkitkan nostalgia kepada peminat-peminat filem ninja. Pertarungan antara Storm Shadow dan Snake Eyes sewaktu di Himalaya berjaya mengembalikan semula ingatan aku kepada filem-filem ninja lakonan Sho Kosugi di era 80'an dahulu. Kelihatan babak pertarungannya agak 'real' dengan kurang menggunakan efek CGI dan pengaruh daripada filem The Matrix.

Sebagai sebuah filem aksi untuk menghilangkan tension setelah penat bekerja, filem ini memang sesuai kerana ia tidak memerlukan kita berfikir sewaktu menonton filem ini. Yang penting adalah bang! boom! blam!!

*Khabarnya pihak Paramount sedang dalam perbincangan untuk membikin sebuah filem crossover di antara G.I. Joe dan Transformers memandangkan kedua-duanya daripada pengeluar patung aksi yang sama iaitu Hasbro. Sama-sama kita tunggu perkembangannya.

Khamis, 21 Mac 2013

Rock terus rock

Ada tiga perkara yang boleh menjatuhkan negara, pertama, rasuah, kedua, tak menepati masa, ketiga, cinggeh.

Aku bersetuju dengan Fadz bahawa filem ini berkenaan nostalgia, dan pastinya nostalgia pengarah filem ini sendiri sewaktu zaman kegilaan muzik dan fesyen rock yang berlaku di tanah air sekitar tahun 80'an dahulu.

Filem Rock Oo berlatarkan tahun 1988 (merujuk kepada poster konsert Search Rozanna yang ditampalkan pada dinding kedai), aku masih belajar dalam Tingkatan Dua. Seperti remaja Melayu yang lain pada waktu itu muzik dan fesyen rock memang menjadi trend manakala untuk remaja bukan Melayu mereka lebih cenderung dengan muzik pop, jazz dan new wave.

Kegilaan muzik rock mula menjadi suram sekitar tahun 90'an apabila muzik rap dan hip-hop sudah mula diterima ramai dan fenomena muzik metal, grunge dan underground pula mengambil tempat menggantikan muzik rock.

Muzik rock meskipun tidak pupus kesemuanya namun agak sukar terpahat di hati sanubari generasi muda selepas itu kerana imej mereka yang agak kekampungan dan untuk menambat hati peminat-peminat perempuan beberapa lagu rock yang bertemakan cinta dan mendayu-dayu dicipta dan telah menaikkan nama komposer seperti Saari Amri, Eddie Hamid dan Lan Laga.

Berbalik kepada filem Rock Oo, beberapa perkara menarik tentang filem ini yang ingin aku tuliskan.

Seperti yang telah aku tuliskan, filem ini berlatarkan era 80'an dan berlaku di negeri Perak (berdasarkan kepada lokasi di Taiping dan Ipoh terutama sekali Pasar Besar Ipoh). Bandaraya Ipoh dan Taiping memang terkenal sebagai tempat yang telah melahirkan beberapa kumpulan rock terkenal tanah air seperti kumpulan SYJ (kemudian dikenali dengan nama Sofea), MAY, D Riyadh, Ariwatan, Teja dan sebagainya.

Beberapa lokasi di Ipoh juga telah digunakan untuk menggambarkan Kuala Lumpur sekitar tahun 80'an. Dalam satu adegan di mana kumpulan Rimba Bara telah lepak di sebuah kompleks membeli belah di KL, kamera secara tidak sengaja (atau mungkin juga disengajakan) telah zoom-out dan ternampak tulisan cina di dinding Kompleks Yik Foong. Kepada penonton di Ipoh, Kompleks Yik Foong memang senang untuk dicamkan meskipun pemandangan bangunan tersebut tidak difokuskan secara keseluruhan.

Kompleks Yik Foong juga merupakan landmark atau pun mercu tanda penting kepada rockers-rockers di negeri Perak pada era 80'an dahulu. Di sini lah tempat rockers-rockers dari seluruh negeri Perak berkumpul dan lepak kerana terdapat pusat snooker dan kedai-kedai kaset dan menjual aksesori rock di sini. Pada masa kini, hanya sebuah kedai kaset yang masih hidup iaitu Melody Music Centre manakala kedai aksesori rock telah ditutup dan digantikan dengan kedai-kedai menjual peralatan komputer.

Pada permulaan cerita, terdapat watak bernama Pak Syed yang dilakonkan oleh Jaafar Onn. Watak Pak Syed adalah berdasarkan kepada Allahyarham Syed Yusuf Jamalullail iaitu pengasas kumpulan rock SYJ dan juga pemilik SYJ Studio. Studio SYJ yang asal terletak di Bazar Bulat sebelum dipindahkan ke Pasar Besar Ipoh atau dikenali sebagai Super Kinta oleh penduduk tempatan (kini dikenali sebagai UTC Perak).

Menurut Zul Kapan (lakonan Sofi Jikan), dia bersama kumpulan Malaikat Maut telah diambil oleh M. Nasir sebagai artis rakaman Luncai Emas. Jika mengikut realiti, pada tahun 1988 M. Nasir masih lagi berada di bawah Dunia Muzik WEA (merujuk kepada album Solo M. Nasir dan Hukum Karma Wings yang diterbitkan pada tahun 1988). Luncai Emas ditubuhkan pada tahun 1990 (rujuk sini ).

Keseluruhannya, meskipun bukanlah suatu masterpiece daripada Mamat Khalid berbanding filem Man Laksa dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Rock Oo tetap menghiburkan.

Selasa, 5 Mac 2013

Sudah dijangka, Twilight pasti yang terburuk!

Akibat kesibukan, aku hampir terlupa tentang Razzies*, dan setelah terbaca tentang kemenangan filem Argo di Academy Awards yang berlangsung baru-baru ini, aku rasakan Argo layak dipertandingkan untuk anugerah Razzie juga, namun tiada pencalonan untuk Argo di medan Razzie.

Namun, ia menepati juga jangkaanku apabila filem The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 2 dinobatkan sebagai Worst Picture menewaskan beberapa filem lain yang tidak kurang juga buruknya seperti Battleship, The Oogieloves in the Big Balloon Adventure, That's My Boy dan A Thousand Words.

Adam Sandler sekali lagi menerima piala buah raspberi bersalut emas palsu ini apabila mendapat gelaran Worst Actor manakala Kristen Stewart mendapat gelaran Worst Actress.

Taylor Lautner mendapat gelaran Worst Supporting Actor manakala Rihanna mendapat gelaran Worst Supporting Actress.

Untuk gelaran Worst Screen Couple ia jatuh kepada Mackenzie Foy dan Taylor Lautner untuk filem The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 2.

Filem The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 2 juga menerima gelaran Worst Prequel, Remake, Rip-Off or Sequel dan pengarah filem ini iaitu Bill Condon mendapat gelaran Worst Director.

Filem That's My Boy pula mendapat gelaran Worst Screenplay dan keseluruhan pelakon filem The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 2 mendapat gelaran Worst Screen Ensemble.

Pendek kata, filem The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 2 adalah filem terburuk tahun 2012!

*Razzie adalah singkatan untuk Golden Raspberry Award.

Rabu, 27 Februari 2013

Faizal Hussein, Jack Palance of Malaysia


Faizal Hussein mendapat gelaran Jack Palance of Malaysia, bukan aku yang beri tetapi oleh John Anderson melalui ulasannya tentang filem Bunohan atau dikenali sebagai Return to Murder di Amerika Syarikat.

Meskipun filem Bunohan gagal tercalon untuk lima filem asing terbaik di Anugerah Akademi ke-85, namun filem Bunohan berpeluang untuk ditayangkan di pawagam-pawagam di Amerika Syarikat.

Sekurang-kurangnya, kekecewaan terubat apabila filem ini mendapat sambutan positif daripada pengulas dan pengkritik filem di AS. Di dalam laman web Rotten Tomatoes, sewaktu entri ini ditulis filem ini mencatatkan jumlah 95% di kalangan penonton yang ingin menonton filem ini.

Di sini aku membuat kesimpulan bahawa penonton di Barat sedang dahagakan filem-filem yang dihasilkan dan datang daripada rantau Asia Tenggara dan juga Asia Timur. Bermula dengan filem-filem aksi Hong-Kong/China kemudian filem-filem seram Jepun/Korea Selatan dan kini filem-filem aksi Thailand/Indonesia/Malaysia.


Antara faktor kenapa filem Bunohan dapat diterima di US adalah kerana ianya dikategorikan sebagai filem aksi 'martial-arts' meskipun filem Bunohan sebenarnya adalah 'heavy drama' tentang perhubungan tiga beradik yang disulami dengan latar surreal dan abstrak menjadikannya sebagai sebuah filem seni.

Namun, disebabkan penonton di US baharu sahaja disajikan dengan filem The Raid: Redemption daripada Indonesia menjadikan filem Bunohan: Return to Murder ini sebagai sinambungan kepada penggemar-penggemar martial-arts. Boleh dikatakan kemunculan filem Bunohan ini bertepatan dengan masanya.

Untuk membaca ulasan John Anderson tentang filem Bunohan, anda boleh klik sini.

Rabu, 13 Februari 2013

Di sini ada Wai Fai

Rasa bangga bila melihat filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit mampu bersaing dengan dua buah filem kantonis iaitu I Love Hong Kong 2013 dan Hotel Deluxe yang sold out dari segi jualan tiketnya.

Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit juga mampu bersaing dengan dua buah filem Inggeris yang ditayangkan iaitu A Good Day to Die Hard lakonan Bruce Willis dan Hansel and Gretel: Witch Hunters.

Agak kasihan kepada filem Wawa Semput yang masih lagi 'hijau' pada wallboard jualan tiket, namun mungkin kerana filem itu sudah lama ditayangkan iaitu pada 31 Januari lepas menyebabkan jualan tiketnya pada hari cuti Tahun Baru Cina agak lembab.

Aku tidak mahu menceritakan lanjut tentang sekuel filem Hantu Kak Limah ini, cuma apa yang pasti Kak Limah tidak lagi menjadi hantu dalam filem ini.

Dari segi kualiti filem, filem ini dalam kategori 'boleh tahan' meskipun penggunaan CGI boleh dikatakan agak heavy kali ini namun yang penting adalah jalan ceritanya dan mesej yang tersirat yang disampaikan di sebalik jenaka slapstick dan situasi di dalamnya.

Meskipun kali ini abang Mamat Khalid memang membenarkan unsur supernatural itu 'ditimbulkan', mungkin untuk memberitahu kita bahawa sekali pun kita perlu menanamkan sifat anti tahyul, tidak mempercayai perkara-perkara khurafat dan sebagainya, namun makhluk-makhluk halus dan ghaib tetap berada di sekeliling kita kerana ia sendiri sudah tertulis di dalam al-Quran dan kita tidak boleh menafikannya.

Nasihat aku apabila menonton filem ini cuba kira berapa K yang disebut oleh Pak Abu, Husin dan juga yang ditulis di papan hitam.

Juga anda pasti terkejut kerana orang Melayu memang telah lama menganggap golongan 'tiga line' sebagai 'payung' kepada orang Melayu.

Yeah, tahniah kepada abang Mamat, sekali pun filem kali ini tidak sehebat Hantu Kak Limah Balik Rumah, namun ia tetap bukan sebuah filem komedi seram yang kosong.

Al-fatihah buat arwah pak Zami Ismail. Lakonan beliau tetap mantap dalam filem ini meskipun sudah ternampak kelesuan beliau.

Selasa, 22 Januari 2013

The Last Stand, Arnie masih berdiri

The Last Stand arahan pengarah Korea Selatan, Kim Ji-woon dan dibintangi oleh Arnold Schwarzenegger hanyalah sebuah filem aksi tipikal Hollywood.

Rasanya filem ini sesuai dijadikan sekuel ataupun sinambungan kepada filem Walking Tall (2004) lakonan Dwayne Johnson (menariknya Johnny Knoxville turut berlakon dalam Walking Tall dengan watak yang hampir-hampir sama).

Aku kecewa kerana Kim Ji-woon tidak menjadikan filem ini sebagai trade mark bagi dirinya untuk filem 'debut' nya di Hollywood.

Sepatutnya beliau mencontohi pengarah filem Hong Kong, John Woo yang berjaya mencipta trade mark untuk filem-filem arahannya di Hollywood.

Tentang lakonan Arnold Schwarzenegger pula, aku bersyukur kerana tiada ungkapan "I'll be back!" atau "I'm back!" di dalam filem ini cuma aku agak kasihan dengan Arnold yang kelihatan begitu 'letih' berlakon di dalam filem ini.

Apa yang dapat dipelajari daripada filem The Last Stand ialah kita tidak sepatutnya memandang rendah terhadap seseorang atau sesuatu.

Rabu, 2 Januari 2013

Permulaan sebuah trilogi pengembaraan yang hebat

Apa yang hendak dipertikaikan lagi tentang filem The Hobbit: An Unexpected Journey? Adaptasi daripada novel fantasi klasik tulisan J.R.R. Tolkien ini seakan-akan memang kena dengan tangan pengarahnya Peter Jackson.

Sebenarnya aku inginkan filem prekuel kepada trilogi Lord of the Rings ini diarahkan oleh pengarah yang berlainan. Aku sudah mula membayangkan bagaimana filem ini digarap oleh Guillermo del Toro, pastinya ia akan menjadi seakan-akan filem Pan's Labyrinth, namun entah apa silapnya, del Toro menarik diri dari mengarah filem ini dan ia kembali kepada Peter Jackson. Sekurang-kurangnya lakon layar filem ini masih ada sentuhan del Toro dan aku dapati The Hobbit: An Unexpected Journey lebih gelap daripada trilogi Lord of the Rings.

The Hobbit: An Unexpected Journey ialah episod pertama untuk trilogi The Hobbit. Dua buah filem lagi akan menyusul iaitu The Desolation of Smaug dan There and Back Again. Hmm, terpaksa menunggu lagi untuk melengkapkan siri filem adaptasi Tolkien.

Rabu, 26 Disember 2012

Mat Kilau dan Datuk M. Daud Kilau

Suatu ketika dahulu pernah dihebohkan tentang pembikinan filem epik tentang Pahlawan Mat Kilau yang mana kos pembikinannya adalah sebanyak RM10 juta.

Filem tersebut dikatakan antara yang kedua termahal selepas filem epik Puteri Gunung Ledang dan sedikit tinggi daripada kos pembikinan filem Hikayat Merong Mahawangsa.

Berita tentang pembikinan filem tersebut pernah diumumkan sekitar bulan Mac 2009.

Kini tahun 2012 hampir berlalu dan kiamat juga tidak menjelang, begitu juga dengan filem tersebut yang langsung sepi tanpa berita.

Seandainya tidak dapat menghasilkan filem tersebut, elok juga digantikan dengan filem biografi Datuk M. Daud Kilau.

Berita pembikinan filem Mat Kilau

Jumaat, 30 November 2012

Perlukah Return of the Jedi di'edit' lagi??


Ramai yang tak perasan, aku pun tak perasan pada mulanya.

George Lucas nak tunjukkan bahawa hantu Anakin Skywalker ialah Hayden Christensen, tapi membiarkan hantu Obi-Wan Kenobi kekal dengan Alec Guiness, pelakon yang membawakan watak Obi-Wan Kenobi sewaktu tua sebelum Ewan McGregor membawakan watak Obi-Wan Kenobi waktu muda.

Hantu Yoda pun masih kekal dengan Yoda tua.

Sumber

Rabu, 28 November 2012

Lagu-lagu yang diinspirasi dari filem seram


1. The Wicker Man - Iron Maiden

The Wicker Man ialah lagu kumpulan Heavy Metal British, Iron Maiden. Lagu tersebut diinspirasikan daripada filem seram klasik berjudul The Wicker Man yang diterbitkan pada tahun 1973. Filem tersebut dibintangi oleh Christopher Lee dan Edward Woodward mengisahkan tentang aktiviti ajaran sesat yang berlaku di kawasan pedalaman England. Filem The Wicker Man dibikin semula pada tahun 2006 yang dibintangi oleh Nicholas Cage bagaimanapun filem ini tidak mendapat sambutan. Lagu The Wicker Man yang dirakamkan oleh Iron Maiden dimuatkan dalam album mereka berjudul Brave New World pada tahun 2000. Menariknya, Bruce Dickinson yang juga vokalis Iron Maiden pernah merakamkan sebuah berjudul Wicker Man di dalam albumnya The Best of Bruce Dickinson. Meskipun judul yang sama dan tetap diinspirasikan daripada filem seram yang sama namun melodi dan liriknya berbeza.



2. Living Dead Girl - Rob Zombie

Living Dead Girl ialah single kedua Rob Zombie yang dimuatkan dalam album Hellbilly Deluxe. Rob Zombie mendapat inspirasi untuk lagu ini daripada filem seram berjudul La Mort Vivante atau dalam bahasa Inggerisnya The Living Dead Girl arahan Jean Rollin yang diterbitkan pada tahun 1982. La Mort Vivante mengisahkan tentang sisa toksik yang melimpah ke sebuah tanah perkuburan akibat gempa bumi telah menghidupkan semula seorang gadis yang meninggal dunia dalam usia yang muda. Untuk terus hidup, gadis yang dikenali dengan nama Catherine itu perlu meminum darah manusia. Meskipun lagu ini diinspirasikan daripada filem tersebut namun Rob Zombie juga turut menyelitkan sound effects daripada beberapa filem seram klasik antaranya seperti La Figlia di Frankenstein (1971), The Last House on the Left (1972), Daughters of Darkness (1971) dan Ilsa, She Wolf of the SS (1975). Untuk klip videonya pula Rob Zombie memuatkan footage daripada filem seram klasik The Cabinet of Dr. Caligari (1920) di mana Zombie sendiri melakonkan watak sebagai Dr. Caligari.



3. Evil Dead - Death

Evil Dead ialah judul lagu kumpulan Death yang bergenre Death Metal. Lagu ini dimuatkan dalam album mereka yang berjudul Scream Bloody Gore (1987). Lagu ini diinspirasikan daripada filem seram The Evil Dead arahan Sam Raimi yang dikeluarkan pada tahun 1981. Disebabkan terlalu meminati filem ini, maka ketua kumpulan Death iaitu Chuck Schuldiner telah mengabadikan lagu ini dengan menggabungkan elemen hardcore punk, speed metal dan death metal. Filem The Evil Dead telah pun dibikin semula dan diterbitkan oleh pengarah asal filem ini iaitu Sam Raimi bersama pelakon asal The Evil Dead, Bruce Campbell dan dijangka akan ditayangkan pada tahun 2013.



4. Lost Boys - The 69 Eyes

Lost Boys ialah single daripada kumpulan gothic rock The 69 Eyes yang dimuatkan dalam album mereka berjudul Devils (2004). Lagu ini diinspirasikan daripada filem seram The Lost Boys (1987) yang berkisar tentang sekumpulan pontianak remaja bergerak secara rahsia di California, Amerika Syarikat. Boleh dikatakan filem The Lost Boys telah menjadi inspirasi kepada kisah-kisah pontianak remaja selepas itu seperti Buffy The Vampire Slayer.



5. The Exorcist - Possessed

The Exorcist ialah track pertama album Seven Churches (1985) untuk kumpulan Death Metal iaitu Possessed. Lagu ini diinspirasikan daripada filem seram klasik The Exorcist (1973) yang dikatakan antara filem seram sepanjang zaman.



6. Chainsaw - Ramones

Meskipun lagu Chainsaw daripada kumpulan Ramones hanya berdurasi 1.55 minit, namun ia merupakan apresiasi kumpulan tersebut kepada filem seram keluaran 1974, The Texas Chainsaw Massacre. Lagu Chainsaw dimuatkan dalam album Ramones (1976) yang merupakan album pertama mereka. The Texas Chainsaw Massacre ialah sebuah filem seram slasher yang diarahkan dan diterbitkan oleh Tobe Hooper. Ia mengisahkan tentang keluarga kanibal yang akan membunuh dan memakan pengembara yang sesat dan singgah ke rumah mereka. Filem ini juga memperkenalkan ikon filem seram yang popular iaitu Leatherface yang membunuh mangsanya menggunakan gergaji berantai (chainsaw). Filem ini telah dibikin semula pada tahun 2003 yang diarahkan oleh Marcus Nispel dan diterbitkan oleh Michael Bay.



7. Night of the Living Dead - The Misfits

Night of the Living Dead ialah single keempat kumpulan horror punk The Misfits yang dikeluarkan pada tahun 1979. Single ini turut dimuatkan dalam album pertama mereka Walk Among Us (1982) dan diinspirasikan daripada filem seram Night of the Living Dead (1969) arahan George A. Romero. Album Walk Among Us turut memuatkan lagu Astro Zombies yang diinspirasikan daripada filem seram sains fiksyen The Astro-Zombies arahan Ted V. Mikels.



8. Human Fly - The Cramps

Human Fly ialah judul lagu kumpulan garage punk The Cramps. Ia diinspirasi daripada filem seram sains fiksyen The Fly (1958). Filem tersebut dibikin semula pada tahun 1986 oleh David Cronenberg. Lagu Human Fly dimuatkan dalam album debut mereka Gravest Hits pada tahun 1979.




9. Psycho - The Sonics, Puddle of Mudd

Filem seram klasik Psycho arahan Alfred Hitchcock tidak perlu dipertikaikan lagi. Filem yang dikeluarkan pada tahun 1960 ini boleh dikatakan sebagai pelopor kepada filem-filem seram slasher yang lain seperti Nightmare on Elm Street, Friday the 13th, Halloween dan sebagainya. Filem ini juga memperkenalkan ikon filem seram pertama yang tidak dikaitkan dengan unsur-unsur supernatural iaitu Norman Bates. Tidak hairanlah apabila filem ini sering menjadi inspirasi kepada filem seram lain dan juga lagu-lagu khususnya yang bergenre rock dan gothic. Kumpulan garage rock terawal iaitu The Sonics mengapresiasikan filem ini untuk lagu mereka berjudul Psycho yang dimuatkan dalam album mereka Here Are The Sonics (1964). Kumpulan Puddle of Mudd pula mengapresiasikan filem ini untuk single mereka dengan judul yang sama yang dimuatkan dalam album keempat mereka, Famous (2007). Untuk klip video lagu Psycho mereka telah membuat parodi kepada filem Psycho dengan melakonkan beberapa babak dalam filem tersebut. Klip video itu juga turut menampilkan watak-watak daripada filem-filem seram yang lain seperti Leatherface (The Texas Chainsaw Massacre), Michael Myers (Halloween) dan juga adegan daripada filem seram I Know What You Did Last Summer dan Poltergeist.



10. Eyes Without a Face - Billy Idol

Lagu Eyes Wihout a Face dinyanyikan oleh Billy Idol yang dimuatkan dalam albumnya Rebel Yell (1983). Lagu ini diinspirasikan daripada filem seram Perancis, Les Yeux Sans Visage (1960) atau dalam bahasa Inggerisnya Eyes Wihout a Face arahan Georges Franju. Filem Les Yeux Sans Visage mengisahkan tentang seorang doktor yang menculik wanita-wanita cantik hanya untuk menanggalkan kulit wajah mereka bagi menggantikan wajah anak perempuannya yang cedera teruk dan terpaksa memakai topeng untuk menyembunyikannya.

Isnin, 26 November 2012

Singa Padang Pasir

Lion of the Desert, sebuah filem perang klasik mengisahkan kegigihan Omar Mukhtar mempertahankan Libya daripada penjajahan kerajaan Itali sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua.

Meskipun aku pernah menontonnya sebelum ini, namun apabila ia disiarkan kembali di TV Al-Hijrah malam tadi, gatal tanganku mula terasa dan mencari informasi tentang filem ini.

Jelaslah bahawa walaupun filem ini dibintangi oleh aktor-aktor handalan Hollywood seperti Anthony Quinn dan Oliver Reed namun filem ini bukanlah terbitan Hollywood. Seperti juga filem The Message yang menceritakan tentang kisah Rasulullah SAW, kedua-dua filem ini memang tidak mendapat pembiayaan daripada Hollywood meskipun menggunakan kru-kru perfileman yang berpengalaman dari Hollywood.

Pengarah dan penerbit kedua-dua filem ini iaitu Moustapha Akkad memang dikenali di Hollywood sebagai penerbit francais filem seram slasher Halloween namun apabila tiba untuk membikin sesuatu tentang kehebatan dan kegemilangan Islam, Hollywood tidak akan melayan permintaan anda. Akhirnya, Allahyarham Muammar Gaddafi telah bersetuju untuk membiayai kedua-dua filem tersebut.

Namun agak mengejutkan apabila Richard Rich, seorang pengarah filem animasi dan bekas animator yang pernah berkhidmat dengan Disney telah mengarah sebuah filem animasi berjudul Muhammad: The Last Prophet pada tahun 2004.

Richard Rich ialah seorang Kristian dan seorang Bishop. Boleh dikatakan filem-filem animasi arahannya diadaptasi daripada kisah-kisah di dalam kitab Injil bagaimanapun untuk filem animasi Muhammad: The Last Prophet ia dibikin dengan penuh penelitian dan berdasarkan kisah Rasulullah SAW seperti yang diceritakan di dalam Quran. Imej Rasulullah juga tidak lansung ditunjukkan.

Namun, seperti filem Lion of the Desert dan The Message, filem Muhammad: The Last Prophet dihadkan penayangannya di Amerika Syarikat dan United Kingdom, malahan mungkin ada yang tidak pernah mendengar atau mengetahui tentang kewujudan filem-filem yang 'menyebelahi' Islam ini.

Begitulah hebatnya propaganda Yahudi dan musuh-musuh Islam yang telah menguasai bidang media di Barat sejak sekian lama. Kita dapat lihat filem-filem yang memburukkan Islam seperti Fitna, Innocence of Muslims dan berbagai lagi filem-filem yang menggambarkan bahawa Islam adalah agama yang dikaitkan dengan keganasan, kebencian dan kolot diterbitkan dan disebarkan dengan begitu mudah tanpa ada sebarang sekatan hanya atas tiket kebebasan bersuara dan kebebasan berkarya sedangkan filem-filem yang menggambarkan keikhlasan, kemurnian dan kesucian Islam agak sukar untuk menembusi pasaran antarabangsa malahan disisihkan dan tidak pernah dipromosikan langsung.

Mujurlah terdapat beberapa filem seperti The 13th Warrior arahan John McTiernan (adaptasi daripada novel karya Michael Crichton) dan Kingdom of Heaven arahan Ridley Scott yang memberikan gambaran agak positif kepada orang Arab dan Islam.

Moustapha Akkad telah menggunakan kelebihannya sebagai salah seorang produser filem tersohor di Hollywood untuk menerbitkan filem tentang kegemilangan Islam namun ironiknya beliau bersama anak perempuannya, Rima Akkad Monla telah terbunuh dalam satu serangan bom berani mati di Amman, Jordan pada 9 November 2005.