Isnin, 7 Oktober 2013

Gambaran nazak dalam Imaginaerum


Mungkin telah menjadi trend bagi penyanyi dan pemuzik rock untuk mentransformasikan (transformasi, ayat lazim sekarang, kan?) lagu-lagu mereka ke dalam bentuk cerita dan filem.

Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang baharu kerana kumpulan The Beatles telah pun memulakannya untuk filem mereka seperti A Hard Day's Night (1964), Help! (1965), Yellow Submarine (1968) dan Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band (1978).

Trend itu kemudiannya diteruskan oleh kumpulan The Who untuk filem mereka iaitu Quadrophenia (1973) dan Tommy (1975), Pink Floyd untuk filem The Wall (1982), Bon Jovi (Destination Anywhere, 1997), Lordi (Dark Floors, 2008), Nightwish (Imaginaerum, 2012) dan yang terbaharu ialah kumpulan Metallica untuk filem sulung mereka berjudul Through the Never.

Filem Imaginaerum hasil garapan sulung Stobe Harju adalah berdasarkan album kumpulan symphonic metal Nightwish yang juga berjudul Imaginaerum.

Jalan cerita untuk filem Imaginaerum ini ditulis oleh ahli kumpulan Nightwish sendiri iaitu Tuomas Holopainen.

Berkonsepkan fantasi gelap ala filem Tim Burton dan surreal ala David Lynch, filem Imaginaerum memang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan CGI, seperti filem Sucker Punch (2011) arahan Zack Snyder. Agak bertuah kerana filem ini dibantu dari segi kewangan oleh Finnish Film Foundation, sebuah agensi perfileman di bawah kerajaan Finland.

Jalan ceritanya agak mudah, ia mengisahkan konflik dalam jiwa seorang komposer bernama Thomas Whitman yang sedang menanti saat kematiannya. Sewaktu dalam koma, dia telah bermimpi kembali kepada umur 10 tahun dan mendapati orang salji atau Snowman yang dibinanya sewaktu musim salji hidup dan membawanya ke alam fantasi.

Sewaktu berada di dalam mimpi, Thomas atau Tom telah melihat tiga versi tentang dirinya iaitu sewaktu kanak-kanak, sewaktu muda dan sewaktu tua.

Aku dapati pengaruh Tim Burton memang agak kuat dalam filem ini terutama sekali untuk watak Snowman yang hampir menyerupai watak Jack Skellington dalam filem The Nightmare Before Christmas (1993) dan juga beberapa watak dalam filem 9 (2009).

Kumpulan Nightwish turut membuat penampilan dalam beberapa babak antaranya babak di dalam kelab malam dan juga sewaktu di pertunjukan sarkas. Sayangnya watak Thomas sewaktu muda yang dibawakan oleh Tuomas Holopainen tiada sebarang dialog, hanya memerlukan mimik muka yang melihatkan penderitaannya setelah kematian isteri akibat kemalangan.

Watak Tom sewaktu berusia 10 tahun pula dilakonkan oleh Quinn Lord, pelakon remaja warga Kanada yang sedang meningkat naik. Menariknya, Quinn Lord pernah berlakon di dalam sebuah lagi filem fantasi sebelum ini berjudul The Imaginarium of Doctor Parnassus (2009) yang diarahkan oleh Terry Gilliam dan dibintangi oleh Heath Ledger, Johnny Depp, Andrew Garfield, Tom Waits, Colin Farrell dan Jude Law.

Walaupun filem ini bercorak fantasi namun ia bukanlah disasarkan kepada kanak-kanak kerana terdapat adegan yang mungkin akan menakutkan bagi kanak-kanak. Kepada peminat-peminat band Nightwish, filem ini tidak sewajarnya dilepaskan oleh anda.

Tiada ulasan: