Rabu, 6 November 2013

Laluan untuk Bukit Kepong dan Guardians


Suatu ketika dahulu aku agak skeptikal dan 'alah' dengan filem-filem terbitan Skop Productions.

Pertamanya kerana ia akan diarahkan oleh mereka yang berkaitan dengan Dato' Yusuf Haslam seperti Yusuf Kelana, A. Galak, Aziz Singah dan yang sekumpulan dengan mereka.

Keduanya aku akan mendengar dialog-dialog yang memualkan dan adakalanya diulang-ulang membuatkan aku rasa rimas. Adakah filem yang ditonton hendak mengajar aku situasi atau adegan yang sedang ditonton.

Rasanya sama seperti menonton perlawanan bolasepak di dalam televisyen dan pengulas sukan menceritakan situasi yang berlaku di padang sedangkan aku sendiri sedang menonton situasi tersebut dan mengetahui apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Ketiganya, setiap penutur dialog akan menyebut nama watak di akhir dialog contohnya "Begini, Awie," ataupun "Sudah, Wati," seolah-olah aku tidak mengenal nama-nama watak tersebut.

Dan apabila teraju pengarahan filem telah diambil alih oleh kedua-dua orang anak Dato' Yusuf Haslam iaitu Syamsul dan Syafiq, perasaan skeptikal itu masih wujud. Akibatnya aku tidak mengendahkan filem-filem arahan mereka yang terawal seperti Evolusi KL Drift 1 dan 2, Bohsia 1 dan 2, Khurafat, KL Gangster, Aku Bukan Tomboy, S.A.M dan Gangster Celop.

Bagaimanapun perasaan tersebut berubah apabila membaca tentang review mengenai trailer filem KL Gangster 2 di dalam sebuah laman web antarabangsa. Menerusi laman web ini aku dapat menonton keseluruhan trailer yang menarik perhatian aku untuk menontonnya.

Maka aku pun mencari DVD KL Gangster 2 yang kebetulan telah pun berada di pasaran. DVD KL Gangster 2 ini yang original, bukan cetak rompak seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, malahan aku sendiri tidak pernah berminat untuk menonton filem KL Gangster 2 yang dikatakan boleh ditonton menerusi internet.

Difahamkan bahawa jalan cerita KL Gangster 2 merupakan prekuel kepada filem KL Gangster, maka sesuai sangatlah aku menonton filem ini untuk lebih memahami (atau mungkin lebih elok aku menonton KL Gangster dulu kot?) dan aku akui, KL Gangster 2 tidak mengecewakan.

Aku dapat merasakan feel seperti menonton sebuah filem aksi, dengan emosinya yang menaikkan semangat adrenalin aku yang sudah semakin tua ini. Tidak keterlaluan sekiranya aku katakan filem ini merupakan filem aksi Melayu terbaik selain filem Bukit Kepong arahan Jins Shamsuddin.

Sebelum ini aku pernah menonton filem Gerak Khas The Movie arahan Dato' Yusuf Haslam dan Leftenan Adnan arahan Aziz M. Osman, aku tidak dapat merasakan 'nikmat' seperti menonton KL Gangster 2.

Ada banyak adegan yang aku suka dalam filem KL Gangster 2. Yang lebih mengagumkan aku, filem KL Gangster 2 dibikin dengan bajet yang lebih rendah daripada filem Vikingdom namun ia dapat menghasilkan beberapa adegan aksi yang berkualiti, boleh dikatakan setaraf dengan filem-filem aksi Thailand dan Hong Kong jika tidak setaraf Hollywood pun. Malahan lebih baik lagi daripada aksi filem-filem Bollywood.

Antara adegan-adegan menarik adalah seperti kemunculan Tailong (Rosyam Noor) di awal-awal filem yang terus melepaskan tembakan tanpa sebarang amaran dan menyembelih beberapa orang gangster King (Ridzuan Hashim) secara terang-terangan, adegan Malik (Aaron Aziz) menolak kereta seorang taiko atau kepala gangster dari atas tempat letak kereta bertingkat, adegan pertempuran di pelabuhan dan adegan kejar-mengejar di hujung cerita.

Difahamkan bahawa Syamsul Yusof sedang mengusahakan untuk pembikinan semula filem Bukit Kepong. Dengan kuaiti aksi pertempuran yang ditunjukkan dalam filem KL Gangster 2 aku yakin ia tidak menjadi masalah buat Syamsul, cuma Bukit Kepong ialah sebuah filem epik dan sejarah yang mengisahkan tentang pengorbanan anggota polis yang mempertahankan balai polis Bukit Kepong daripada ditawan oleh pengganas komunis pada tahun 1950.

Banyak rujukan dan kajian perlu dibuat untuk menghasilkan sebuah filem period sebegini, malahan Jins Shamsuddin juga mengambil masa yang lama untuk menghasilkan filem Bukit Kepong pada tahun 1980-an dahulu. Namun aku yakin Shamsul akan berjaya merealisasikan pembikinan semula filem ini.


Filem kedua yang aku tonton minggu ini ialah Thor: The Dark World. Sinambungan untuk filem adiwira Marvel, Thor ini masih mengekalkan pelakon yang sama seperti Chris Hemsworth, Natalie Portman dan Tom Hiddleston cuma ia diarahkan oleh Alan Taylor, bukan lagi oleh Kenneth Branagh.

Apa yang menarik dalam filem ini ialah peranan yang dibawa oleh Tom Hiddleston iaitu Loki lebih menonjol, tidak lagi membayangkan bahawa Loki adalah antagonis atau supervillain sebaliknya sebagai antihero. Di sini aku teringat kembali akan watak Jai lakonan Adi Putra di dalam KL Gangster 2. Ada sebab mengapa Loki menjadi sebegitu.

Aku nasihatkan agar tidak terus keluar daripada panggung sebaik sahaja roll credits dimainkan kerana terdapat dua adegan yang akan membayangkan laluan kepada dua buah filem. Pertama ialah laluan untuk sebuah lagi filem adiwira Marvel iaitu Guardians of the Galaxy dan kedua laluan untuk sinambungan filem Thor. Aku rasakan untuk filem Thor yang ketiga nanti ia akan lebih banyak fokus terhadap hubungan Thor dan Jane Foster di Bumi.

Tiada ulasan: