Jumaat, 6 September 2013

Filem-filem seram yang menjadi inspirasi kepada kejadian pembunuhan sebenar


Natural Born Killers (1994)

Diarahkan oleh Oliver Stone berdasarkan cerita yang ditulis oleh Quentin Tarantino. Filem ini dibintangi oleh Woody Harrelson, Juliette Lewis, Robert Downey, Jr., Tom Sizemore dan Tommy Lee Jones. Filem ini telah memberi inspirasi kepada beberapa pembunuhan yang paling mengerikan dalam sejarah. Filem ini telah dikaitkan dengan beberapa pembunuh bersiri, termasuk pasangan pembunuh kejam Sarah Edmonson dan Benjamin Darras. Pada tahun 1995, pasangan pembunuh bersiri tersebut telah meninggalkan dadah LSD sebaliknya digantikan dengan ketagihan menonton filem Natural Born Killers. Mereka dikatakan telah menonton filem tersebut berkali-kali sebelum melakukan rompakan di sebuah kedai serbaneka dan menembak kerani kedai tersebut yang telah mengakibatkannya lumpuh. Darras juga telah menembak dan membunuh seorang ahli perniagaan dari Mississippi. Edmonson dihukum penjara selama 35 tahun manakala Darras dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.



Scream (1996)

Diarahkan oleh pengarah filem seram terkenal, Wes Craven dan dibintangi oleh David Arquette, Neve Campbell, Courteney Cox, Matthew Lilard, Rose McGowan, Skeet Ulrich dan Drew Barrymore. Filem ini telah mendorong kepada pembunuhan Gina Castillo oleh anak lelakinya Mario yang berusia 16 tahun dan dibantu oleh sepupunya Samuel Ramirez yang berusia 15 tahun. Kedua-dua remaja tersebut mengaku melakukan pembunuhan tersebut dengan alasan mereka memerlukan wang untuk membiayai suatu lakonan semula pembunuhan secara besar-besaran berdasarkan jalan cerita filem Scream. Dalam usaha untuk mengikuti jalan cerita Scream, kedua-dua remaja itu merancang untuk membeli topeng muka dan kotak suara elektronik yang turut digunakan pembunuh di dalam filem tersebut.



A Clockwork Orange (1971)

Diarahkan oleh Stanley Kubrick berdasarkan novel dengan judul yang sama karya Anthony Burgess. Filem ini dibintangi oleh Malcolm McDowell, Patrick Magee, Adrienne Corri dan Miriam Karlin. Filem ini sebenarnya telah menjadi inspirasi kepada banyak kejadian jenayah, khususnya di seluruh Britain. Pihak berkuasa mendapati jenayah yang dilakukan pada era 70-an menyamai dengan adegan yang dipaparkan dalam filem tersebut namun terdapat satu kes yang pelik di mana seorang lelaki bernama John Ricketts yang telah berpakaian ala Droog di dalam filem tersebut dan menyerang seorang wanita yang berpakaian seperti watak Vicky Pollard daripada siri TV Little Britain di sebuah majlis. Filem A Clockwork Orange telah diharamkan daripada ditayangkan di United Kingdom kerana peningkatan aktiviti jenayah ganas yang dikatakan berkaitan dengan filem tersebut.



Queen of the Damned (2002)

Diarahkan oleh Michael Rymer berdasarkan daripada novel dengan judul yang sama karya Anne Rice bagaimanapun diolah semula oleh Scott Abbott dan Michael Petroni. Filem ini dibintangi oleh Aaliyah, Stuart Townsend, Marguerite Moreau, Paul McGann, Vincent Pérez dan Lena Olin. Filem ini telah dikaitkan dengan satu kes pembunuhan pada tahun 2002 di mana seorang lelaki bernama Allan Menzies telah membunuh sahabatnya, Thomas McKendrick. Menzies mendakwa watak Akasha yang dilakonkan oleh Aaliyah di dalam filem tersebut telah mengarahkannya supaya membunuh McKendrick. Sebagai balasan, Menzies akan dijadikan pontianak pada hayat yang akan datang. Setelah menonton filem tersebut sebanyak 100 kali dan didatangi oleh watak Akasha pada tengah malam, Menzies keluar untuk pergi membunuh. Menzies juga percaya bahawa sahabatnya McKendrick dan beberapa orang lagi cuba untuk membunuh dirinya. Menzies menikam McKendrick daripada belakang dan meminum darahnya serta memakan sebahagian daripada kepalanya sebelum menanamnya. Menzies telah ditangkap dan dipenjarakan bagaimanapun telah membunuh dirinya sendiri di dalam penjara.



Child's Play 3 (1991)

Diarahkan oleh Jack Bender dan dibintangi oleh Justin Whalin, Perrey Reeves, Brad Dourif, Andrew Robinson, Jeremy Sylvers, Peter Haskell, Dakin Matthews, Travis Fine, Dean Jacobson dan Matthew Walker. Filem ini telah menjadi kontroversi kerana dikaitkan dengan suatu pembunuhan kejam melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun bernama James Bulger. James Bulger telah diculik oleh dua orang kanak-kanak berusia 10 tahun di Liverpool, England. Kanak-kanak tersebut ialah Robert Thompson dan Jon Venables didakwa telah menculik James Bulger daripada sebuah pasaraya dan membawanya ke jalan keretapi lalu membelasahnya. Mereka kemudian mencampaknya di atas jalan keretapi agar digilis keretapi. Thompson dan Venables dikatakan terpengaruh dengan filem Child's Play 3. Mereka berdua telah ditahan dan didapati bersalah pada 24 November 1993, menjadikan mereka sebagai pembunuh paling muda di dalam sejarah England.



American Psycho (2000)

Diarahkan oleh Mary Harron berdasarkan novel American Psycho yang ditulis oleh Bret Easton Ellis. Dibintangi oleh Christian Bale, Willem Dafoe, Jared Leto, Josh Lucas, Samantha Mathis, Chloë Sevigny, Cara Seymour, Justin Theroux dan Resse Witherspoon. Filem ini telah dikaitkan dengan pembunuhan yang dilakukan oleh Michael Hernandez pada tahun 2004. Michael Hernandez yang berusia 14 tahun ketika itu telah menikam rakan sekelasnya sehingga mati dan mendakwa bahawa dia meniru cara pembunuhan yang dilakukan dalam filem American Psycho dan Silence of the Lambs. Fernandez mengatakan bahawa dia ingin menjadi seorang pembunuh bersiri sebagaimana watak yang digambarkan dalam kedua-dua filem tersebut. Filem American Psycho dan Silence of the Lambs menceritakan tentang pembunuh bersiri yang mempunyai latar belakang yang berbeza iaitu seorang pegawai perbankan yang berjaya (American Psycho) dan seorang profesor yang genius (Silence of the Lambs). Michael Hernandez didapati bersalah atas tuduhan membunuh peringkat pertama pada tahun 2008.



A Nightmare on Elm Street (1984)

Filem seram tersohor tahun 80'an ini diarahkan oleh Wes Craven dan dibintangi oleh Heather Langenkamp, Robert Englund, Johnny Depp, John Saxon, Nick Corri, Amanda Wyss dan Ronee Blakley. Filem ini telah mendorong kepada kejadian pembunuhan di United Kingdom yang dilakukan oleh Daniel Gonzalez. Pada tahun 2004, Gonzalez telah membunuh empat orang termasuk seorang doktor dan isterinya. Gonzalez dikatakan terpengaruh dengan watak pembunuh bersiri Freddy Krueger dan Jason Vorhees di dalam filem Friday the 13th. Dia telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan membunuh. Daniel Gonzalez membunuh dirinya di dalam penjara pada tahun 2007.


Sumber:

2 ulasan:

Dr. Bentara berkata...

bro dah join ke belum group ni https://www.facebook.com/groups/movvie.addict/

zulazahari berkata...

Dah, hehehe....