Selasa, 2 April 2013

Serang balas


G.I. Joe: Retaliation merupakan sinambungan kepada filem G.I. Joe: The Rise of Cobra yang dikeluarkan pada tahun 2009.

G.I. Joe: Retaliation lebih sesuai dikategorikan sebagai sebuah filem aksi sains fiksyen daripada filem aksi peperangan seperti The Expendables meskipun ia memaparkan tentang tentera elit Amerika Syarikat yang digelar G.I. Joe.

Filem kali ini memaparkan beberapa watak baru kecuali Duke, Snake Eyes, Storm Shadow, Zartan yang menyamar sebagai Presiden Amerika Syarikat dan Cobra Commander.

Dwayne Johnson memegang watak utama sebagai Roadblock menggantikan Channing Tatum sebagai Duke yang dimatikan pada awal cerita. Sebenarnya siri G.I. Joe memang berkait rapat dengan ahli gusti WWE kerana sebelum ini Hasbro pernah mengeluarkan patung aksi watak G.I. Joe iaitu Sgt. Slaughter. Sgt. Slaughter di dalam dunia realiti ialah seorang ahli gusti WWE (dulu dikenali sebagai WWF) yang popular sekitar era 80'an dan 90'an.

Kemunculan Bruce Willis sebagai General Joseph Colton walaupun sekejap berjaya menambah lagi 'perisa' untuk filem ini. Bruce Willis yang memang biasa dengan filem-filem aksi nampaknya tiada masalah untuk membawakan wataknya dalam filem ini.

Filem ini juga membangkitkan nostalgia kepada peminat-peminat filem ninja. Pertarungan antara Storm Shadow dan Snake Eyes sewaktu di Himalaya berjaya mengembalikan semula ingatan aku kepada filem-filem ninja lakonan Sho Kosugi di era 80'an dahulu. Kelihatan babak pertarungannya agak 'real' dengan kurang menggunakan efek CGI dan pengaruh daripada filem The Matrix.

Sebagai sebuah filem aksi untuk menghilangkan tension setelah penat bekerja, filem ini memang sesuai kerana ia tidak memerlukan kita berfikir sewaktu menonton filem ini. Yang penting adalah bang! boom! blam!!

*Khabarnya pihak Paramount sedang dalam perbincangan untuk membikin sebuah filem crossover di antara G.I. Joe dan Transformers memandangkan kedua-duanya daripada pengeluar patung aksi yang sama iaitu Hasbro. Sama-sama kita tunggu perkembangannya.

Tiada ulasan: