Khamis, 21 Mac 2013

Rock terus rock

Ada tiga perkara yang boleh menjatuhkan negara, pertama, rasuah, kedua, tak menepati masa, ketiga, cinggeh.

Aku bersetuju dengan Fadz bahawa filem ini berkenaan nostalgia, dan pastinya nostalgia pengarah filem ini sendiri sewaktu zaman kegilaan muzik dan fesyen rock yang berlaku di tanah air sekitar tahun 80'an dahulu.

Filem Rock Oo berlatarkan tahun 1988 (merujuk kepada poster konsert Search Rozanna yang ditampalkan pada dinding kedai), aku masih belajar dalam Tingkatan Dua. Seperti remaja Melayu yang lain pada waktu itu muzik dan fesyen rock memang menjadi trend manakala untuk remaja bukan Melayu mereka lebih cenderung dengan muzik pop, jazz dan new wave.

Kegilaan muzik rock mula menjadi suram sekitar tahun 90'an apabila muzik rap dan hip-hop sudah mula diterima ramai dan fenomena muzik metal, grunge dan underground pula mengambil tempat menggantikan muzik rock.

Muzik rock meskipun tidak pupus kesemuanya namun agak sukar terpahat di hati sanubari generasi muda selepas itu kerana imej mereka yang agak kekampungan dan untuk menambat hati peminat-peminat perempuan beberapa lagu rock yang bertemakan cinta dan mendayu-dayu dicipta dan telah menaikkan nama komposer seperti Saari Amri, Eddie Hamid dan Lan Laga.

Berbalik kepada filem Rock Oo, beberapa perkara menarik tentang filem ini yang ingin aku tuliskan.

Seperti yang telah aku tuliskan, filem ini berlatarkan era 80'an dan berlaku di negeri Perak (berdasarkan kepada lokasi di Taiping dan Ipoh terutama sekali Pasar Besar Ipoh). Bandaraya Ipoh dan Taiping memang terkenal sebagai tempat yang telah melahirkan beberapa kumpulan rock terkenal tanah air seperti kumpulan SYJ (kemudian dikenali dengan nama Sofea), MAY, D Riyadh, Ariwatan, Teja dan sebagainya.

Beberapa lokasi di Ipoh juga telah digunakan untuk menggambarkan Kuala Lumpur sekitar tahun 80'an. Dalam satu adegan di mana kumpulan Rimba Bara telah lepak di sebuah kompleks membeli belah di KL, kamera secara tidak sengaja (atau mungkin juga disengajakan) telah zoom-out dan ternampak tulisan cina di dinding Kompleks Yik Foong. Kepada penonton di Ipoh, Kompleks Yik Foong memang senang untuk dicamkan meskipun pemandangan bangunan tersebut tidak difokuskan secara keseluruhan.

Kompleks Yik Foong juga merupakan landmark atau pun mercu tanda penting kepada rockers-rockers di negeri Perak pada era 80'an dahulu. Di sini lah tempat rockers-rockers dari seluruh negeri Perak berkumpul dan lepak kerana terdapat pusat snooker dan kedai-kedai kaset dan menjual aksesori rock di sini. Pada masa kini, hanya sebuah kedai kaset yang masih hidup iaitu Melody Music Centre manakala kedai aksesori rock telah ditutup dan digantikan dengan kedai-kedai menjual peralatan komputer.

Pada permulaan cerita, terdapat watak bernama Pak Syed yang dilakonkan oleh Jaafar Onn. Watak Pak Syed adalah berdasarkan kepada Allahyarham Syed Yusuf Jamalullail iaitu pengasas kumpulan rock SYJ dan juga pemilik SYJ Studio. Studio SYJ yang asal terletak di Bazar Bulat sebelum dipindahkan ke Pasar Besar Ipoh atau dikenali sebagai Super Kinta oleh penduduk tempatan (kini dikenali sebagai UTC Perak).

Menurut Zul Kapan (lakonan Sofi Jikan), dia bersama kumpulan Malaikat Maut telah diambil oleh M. Nasir sebagai artis rakaman Luncai Emas. Jika mengikut realiti, pada tahun 1988 M. Nasir masih lagi berada di bawah Dunia Muzik WEA (merujuk kepada album Solo M. Nasir dan Hukum Karma Wings yang diterbitkan pada tahun 1988). Luncai Emas ditubuhkan pada tahun 1990 (rujuk sini ).

Keseluruhannya, meskipun bukanlah suatu masterpiece daripada Mamat Khalid berbanding filem Man Laksa dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Rock Oo tetap menghiburkan.

Tiada ulasan: