Rabu, 6 Mac 2013

Yang menarik tentang P. Ramlee

Setelah membaca dua buah buku tentang P. Ramlee iaitu P. Ramlee Erti Yang Sakti tulisan Tun Ahmad Sarji dan P. Ramlee Yang Saya Kenal tulisan Yusnor Ef (tak habis baca lagi), aku mendapat beberapa info menarik tentang diri P. Ramlee.

Pertama, P. Ramlee mendapat ilham mencipta lagunya di dalam tandas. Beliau mendapat ilham dan akan mencatitkannya sama ada di dalam kertas ataupun dengan menconteng di dinding tandas menggunakan abu daripada puntung rokok. Agak menjijikkan, namun itulah hakikatnya dan banyak lagu-lagunya yang masih popular sehingga kini diilhamkan di dalam tandas di Studio Jalan Ampas.

Kedua, P. Ramlee gemar menonton rancangan kartun di televisyen pada hujung minggu. Beliau juga mendapat ilham untuk aksi-aksi komedi setelah menonton kartun. Lihat saja adegan kejar-mengejar menggunakan pintu di dalam filem Madu Tiga, adegan itu sering dipaparkan di dalam kartun Looney Tunes begitu juga dengan filem-filem bisu lakonan Charlie Chaplin dan Harold Lloyd.

Ketiga, filem kegemaran P. Ramlee ialah sebuah filem Hindi berjudul Gunga Jumna (1961) yang dilakonkan oleh Dilip Kumar dan Vijayanthimala dan diarahkan Nitin Bose. Di dalam buku P. Ramlee Yang Saya Kenal, P. Ramlee dikatakan telah menonton filem ini sebanyak dua kali dan menyarankan penulis buku tersebut (Yusnor Ef) agar menontonnya kerana dikatakan telah memberikan kesan mendalam terhadap dirinya.

Keempat, P. Ramlee begitu menitik beratkan tentang muzik latar filem kerana menurutnya, muzik adalah nadi untuk sesebuah filem. Jadi tidak hairanlah apabila kita menonton filem-filem daripada Hollywood kebanyakan muzik latarnya adalah orchestrated ataupun dimainkan secara orkestra untuk memberikan impak atau kesan kepada penonton yang menontonnya. Begitu juga dengan filem-filem Bollywood yang turut menjadikan muzik latar sebagai sesuatu elemen yang penting bagi sesebuah filem dan tidak menggunakan muzik yang dimainkan hanya menggunakan keyboard atau synthesizer (lazimnya filem-filem Melayu era 80'an dan 90'an) dan juga menggunakan muzik latar daripada filem-filem Hollywood. Bagaimanapun, muzik yang dimainkan menggunakan synthesizer boleh juga digunakan untuk filem-filem bercorak sains fiksyen ataupun futuristik.

Aku akan menuliskan lagi beberapa perkara menarik tentang P. Ramlee di dalam entri yang akan datang.

Tiada ulasan: