Isnin, 26 November 2012

Singa Padang Pasir

Lion of the Desert, sebuah filem perang klasik mengisahkan kegigihan Omar Mukhtar mempertahankan Libya daripada penjajahan kerajaan Itali sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua.

Meskipun aku pernah menontonnya sebelum ini, namun apabila ia disiarkan kembali di TV Al-Hijrah malam tadi, gatal tanganku mula terasa dan mencari informasi tentang filem ini.

Jelaslah bahawa walaupun filem ini dibintangi oleh aktor-aktor handalan Hollywood seperti Anthony Quinn dan Oliver Reed namun filem ini bukanlah terbitan Hollywood. Seperti juga filem The Message yang menceritakan tentang kisah Rasulullah SAW, kedua-dua filem ini memang tidak mendapat pembiayaan daripada Hollywood meskipun menggunakan kru-kru perfileman yang berpengalaman dari Hollywood.

Pengarah dan penerbit kedua-dua filem ini iaitu Moustapha Akkad memang dikenali di Hollywood sebagai penerbit francais filem seram slasher Halloween namun apabila tiba untuk membikin sesuatu tentang kehebatan dan kegemilangan Islam, Hollywood tidak akan melayan permintaan anda. Akhirnya, Allahyarham Muammar Gaddafi telah bersetuju untuk membiayai kedua-dua filem tersebut.

Namun agak mengejutkan apabila Richard Rich, seorang pengarah filem animasi dan bekas animator yang pernah berkhidmat dengan Disney telah mengarah sebuah filem animasi berjudul Muhammad: The Last Prophet pada tahun 2004.

Richard Rich ialah seorang Kristian dan seorang Bishop. Boleh dikatakan filem-filem animasi arahannya diadaptasi daripada kisah-kisah di dalam kitab Injil bagaimanapun untuk filem animasi Muhammad: The Last Prophet ia dibikin dengan penuh penelitian dan berdasarkan kisah Rasulullah SAW seperti yang diceritakan di dalam Quran. Imej Rasulullah juga tidak lansung ditunjukkan.

Namun, seperti filem Lion of the Desert dan The Message, filem Muhammad: The Last Prophet dihadkan penayangannya di Amerika Syarikat dan United Kingdom, malahan mungkin ada yang tidak pernah mendengar atau mengetahui tentang kewujudan filem-filem yang 'menyebelahi' Islam ini.

Begitulah hebatnya propaganda Yahudi dan musuh-musuh Islam yang telah menguasai bidang media di Barat sejak sekian lama. Kita dapat lihat filem-filem yang memburukkan Islam seperti Fitna, Innocence of Muslims dan berbagai lagi filem-filem yang menggambarkan bahawa Islam adalah agama yang dikaitkan dengan keganasan, kebencian dan kolot diterbitkan dan disebarkan dengan begitu mudah tanpa ada sebarang sekatan hanya atas tiket kebebasan bersuara dan kebebasan berkarya sedangkan filem-filem yang menggambarkan keikhlasan, kemurnian dan kesucian Islam agak sukar untuk menembusi pasaran antarabangsa malahan disisihkan dan tidak pernah dipromosikan langsung.

Mujurlah terdapat beberapa filem seperti The 13th Warrior arahan John McTiernan (adaptasi daripada novel karya Michael Crichton) dan Kingdom of Heaven arahan Ridley Scott yang memberikan gambaran agak positif kepada orang Arab dan Islam.

Moustapha Akkad telah menggunakan kelebihannya sebagai salah seorang produser filem tersohor di Hollywood untuk menerbitkan filem tentang kegemilangan Islam namun ironiknya beliau bersama anak perempuannya, Rima Akkad Monla telah terbunuh dalam satu serangan bom berani mati di Amman, Jordan pada 9 November 2005.

1 ulasan:

WanBeruas berkata...

Citer camnih bagus untuk disimpan sebagai koleksi..:0)