Rabu, 28 November 2012

Lagu-lagu yang diinspirasi dari filem seram


1. The Wicker Man - Iron Maiden

The Wicker Man ialah lagu kumpulan Heavy Metal British, Iron Maiden. Lagu tersebut diinspirasikan daripada filem seram klasik berjudul The Wicker Man yang diterbitkan pada tahun 1973. Filem tersebut dibintangi oleh Christopher Lee dan Edward Woodward mengisahkan tentang aktiviti ajaran sesat yang berlaku di kawasan pedalaman England. Filem The Wicker Man dibikin semula pada tahun 2006 yang dibintangi oleh Nicholas Cage bagaimanapun filem ini tidak mendapat sambutan. Lagu The Wicker Man yang dirakamkan oleh Iron Maiden dimuatkan dalam album mereka berjudul Brave New World pada tahun 2000. Menariknya, Bruce Dickinson yang juga vokalis Iron Maiden pernah merakamkan sebuah berjudul Wicker Man di dalam albumnya The Best of Bruce Dickinson. Meskipun judul yang sama dan tetap diinspirasikan daripada filem seram yang sama namun melodi dan liriknya berbeza.



2. Living Dead Girl - Rob Zombie

Living Dead Girl ialah single kedua Rob Zombie yang dimuatkan dalam album Hellbilly Deluxe. Rob Zombie mendapat inspirasi untuk lagu ini daripada filem seram berjudul La Mort Vivante atau dalam bahasa Inggerisnya The Living Dead Girl arahan Jean Rollin yang diterbitkan pada tahun 1982. La Mort Vivante mengisahkan tentang sisa toksik yang melimpah ke sebuah tanah perkuburan akibat gempa bumi telah menghidupkan semula seorang gadis yang meninggal dunia dalam usia yang muda. Untuk terus hidup, gadis yang dikenali dengan nama Catherine itu perlu meminum darah manusia. Meskipun lagu ini diinspirasikan daripada filem tersebut namun Rob Zombie juga turut menyelitkan sound effects daripada beberapa filem seram klasik antaranya seperti La Figlia di Frankenstein (1971), The Last House on the Left (1972), Daughters of Darkness (1971) dan Ilsa, She Wolf of the SS (1975). Untuk klip videonya pula Rob Zombie memuatkan footage daripada filem seram klasik The Cabinet of Dr. Caligari (1920) di mana Zombie sendiri melakonkan watak sebagai Dr. Caligari.



3. Evil Dead - Death

Evil Dead ialah judul lagu kumpulan Death yang bergenre Death Metal. Lagu ini dimuatkan dalam album mereka yang berjudul Scream Bloody Gore (1987). Lagu ini diinspirasikan daripada filem seram The Evil Dead arahan Sam Raimi yang dikeluarkan pada tahun 1981. Disebabkan terlalu meminati filem ini, maka ketua kumpulan Death iaitu Chuck Schuldiner telah mengabadikan lagu ini dengan menggabungkan elemen hardcore punk, speed metal dan death metal. Filem The Evil Dead telah pun dibikin semula dan diterbitkan oleh pengarah asal filem ini iaitu Sam Raimi bersama pelakon asal The Evil Dead, Bruce Campbell dan dijangka akan ditayangkan pada tahun 2013.



4. Lost Boys - The 69 Eyes

Lost Boys ialah single daripada kumpulan gothic rock The 69 Eyes yang dimuatkan dalam album mereka berjudul Devils (2004). Lagu ini diinspirasikan daripada filem seram The Lost Boys (1987) yang berkisar tentang sekumpulan pontianak remaja bergerak secara rahsia di California, Amerika Syarikat. Boleh dikatakan filem The Lost Boys telah menjadi inspirasi kepada kisah-kisah pontianak remaja selepas itu seperti Buffy The Vampire Slayer.



5. The Exorcist - Possessed

The Exorcist ialah track pertama album Seven Churches (1985) untuk kumpulan Death Metal iaitu Possessed. Lagu ini diinspirasikan daripada filem seram klasik The Exorcist (1973) yang dikatakan antara filem seram sepanjang zaman.



6. Chainsaw - Ramones

Meskipun lagu Chainsaw daripada kumpulan Ramones hanya berdurasi 1.55 minit, namun ia merupakan apresiasi kumpulan tersebut kepada filem seram keluaran 1974, The Texas Chainsaw Massacre. Lagu Chainsaw dimuatkan dalam album Ramones (1976) yang merupakan album pertama mereka. The Texas Chainsaw Massacre ialah sebuah filem seram slasher yang diarahkan dan diterbitkan oleh Tobe Hooper. Ia mengisahkan tentang keluarga kanibal yang akan membunuh dan memakan pengembara yang sesat dan singgah ke rumah mereka. Filem ini juga memperkenalkan ikon filem seram yang popular iaitu Leatherface yang membunuh mangsanya menggunakan gergaji berantai (chainsaw). Filem ini telah dibikin semula pada tahun 2003 yang diarahkan oleh Marcus Nispel dan diterbitkan oleh Michael Bay.



7. Night of the Living Dead - The Misfits

Night of the Living Dead ialah single keempat kumpulan horror punk The Misfits yang dikeluarkan pada tahun 1979. Single ini turut dimuatkan dalam album pertama mereka Walk Among Us (1982) dan diinspirasikan daripada filem seram Night of the Living Dead (1969) arahan George A. Romero. Album Walk Among Us turut memuatkan lagu Astro Zombies yang diinspirasikan daripada filem seram sains fiksyen The Astro-Zombies arahan Ted V. Mikels.



8. Human Fly - The Cramps

Human Fly ialah judul lagu kumpulan garage punk The Cramps. Ia diinspirasi daripada filem seram sains fiksyen The Fly (1958). Filem tersebut dibikin semula pada tahun 1986 oleh David Cronenberg. Lagu Human Fly dimuatkan dalam album debut mereka Gravest Hits pada tahun 1979.




9. Psycho - The Sonics, Puddle of Mudd

Filem seram klasik Psycho arahan Alfred Hitchcock tidak perlu dipertikaikan lagi. Filem yang dikeluarkan pada tahun 1960 ini boleh dikatakan sebagai pelopor kepada filem-filem seram slasher yang lain seperti Nightmare on Elm Street, Friday the 13th, Halloween dan sebagainya. Filem ini juga memperkenalkan ikon filem seram pertama yang tidak dikaitkan dengan unsur-unsur supernatural iaitu Norman Bates. Tidak hairanlah apabila filem ini sering menjadi inspirasi kepada filem seram lain dan juga lagu-lagu khususnya yang bergenre rock dan gothic. Kumpulan garage rock terawal iaitu The Sonics mengapresiasikan filem ini untuk lagu mereka berjudul Psycho yang dimuatkan dalam album mereka Here Are The Sonics (1964). Kumpulan Puddle of Mudd pula mengapresiasikan filem ini untuk single mereka dengan judul yang sama yang dimuatkan dalam album keempat mereka, Famous (2007). Untuk klip video lagu Psycho mereka telah membuat parodi kepada filem Psycho dengan melakonkan beberapa babak dalam filem tersebut. Klip video itu juga turut menampilkan watak-watak daripada filem-filem seram yang lain seperti Leatherface (The Texas Chainsaw Massacre), Michael Myers (Halloween) dan juga adegan daripada filem seram I Know What You Did Last Summer dan Poltergeist.



10. Eyes Without a Face - Billy Idol

Lagu Eyes Wihout a Face dinyanyikan oleh Billy Idol yang dimuatkan dalam albumnya Rebel Yell (1983). Lagu ini diinspirasikan daripada filem seram Perancis, Les Yeux Sans Visage (1960) atau dalam bahasa Inggerisnya Eyes Wihout a Face arahan Georges Franju. Filem Les Yeux Sans Visage mengisahkan tentang seorang doktor yang menculik wanita-wanita cantik hanya untuk menanggalkan kulit wajah mereka bagi menggantikan wajah anak perempuannya yang cedera teruk dan terpaksa memakai topeng untuk menyembunyikannya.

Tiada ulasan: