Jumaat, 16 November 2012

Langit tidak runtuh dalam Skyfall

Apabila membaca komen bahawa Skyfall merupakan yang terbaik dalam siri francais filem James Bond, aku agak bersetuju.

Skyfall telah berjaya membawa dimensi baru dalam francais James Bond di mana selama ini watak James Bond digambarkan sebagai super spy yang suka berfoya-foya dengan wanita-wanita cantik dan menggunakan gajet hi-tech serta kereta mewah.

Usaha untuk mengubah persepsi penonton tentang James Bond telah lama dilakukan. Bermula dengan filem On Her Majesty's Secret Service di mana watak Bond telah dilakonkan oleh George Lazenby.

Albert R. Broccoli dan Harry Saltzman yang merupakan penerbit filem-filem James Bond cuba untuk menjadikan watak James Bond lebih realistik dan beremosi, maka di dalam filem On Her Majesty's Secret Service (yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Ian Fleming) James Bond menemui jodohnya iaitu Tracy di Vicenzo, anak perempuan kepada ketua penjenayah iaitu Marc-Ange Draco. Pada akhir filem, Tracy telah dibunuh oleh musuh ketat Bond iaitu Blofeld.

Watak James Bond menjadi lebih serius apabila dilakonkan oleh Timothy Dalton dan menjadi lebih ganas dan lasak apabila dilakonkan oleh Pierce Brosnan.

Apabila Daniel Craig membawakan watak James Bond, beliau berjaya membawakan watak tersebut dalam versi yang berlainan iaitu James Bond yang masih keliru dan kurang berpengalaman dalam selok belok dunia perisikan.

Ditambah pula dengan permainan emosi apabila kematian kekasihnya Vesper Lynd di depan matanya di dalam filem Casino Royale. Ia seakan-akan cuba untuk mengulangi kisah Bond di dalam filem On Her Majesty's Secret Service di mana Bond berikrar untuk mencari dan membunuh pembunuh isterinya iaitu Blofeld, dan Bond akhirnya berjaya membunuh Blofeld di dalam filem For Your Eyes Only. Di dalam filem ini watak Bond dilakonkan oleh Sir Roger Moore.

Untuk filem Skyfall pula James Bond sekali lagi bermain dengan emosi. Meskipun pada mulanya James Bond yang diisytiharkan mati cuba untuk tidak kembali kepada pasukan MI6 dan meninggalkan dunia perisikan, namun setelah mendengar berita bahawa ibu pejabat MI6 di London telah dibom dan nyawa pengarah operasinya iaitu M sedang terancam, James Bond kembali untuk bertugas.

Aku suka dengan opening title filem Skyfall sewaktu lagu tema filem ini dinyanyikan oleh Adele. Aku rasakan opening title untuk filem Skyfall merupakan opening title filem James Bond yang ada feel gothic.

Menyentuh tentang watak penjahat iaitu Raoul Silva lakonan Javier Bardem, ada ketikanya aku rasakan watak Silva seperti watak Joker lakonan Heath Ledger di dalam filem The Dark Knight. Sewaktu Silva dipenjarakan, wataknya seperti Hannibal Lecter lakonan Anthony Hopkins di dalam filem The Silence of the Lambs dan sewaktu serangan ke rumah James Bond menggunakan helikopter di bahagian akhir filem, ia seperti watak Jean Vilain lakonan Jean Claude Van Damme di dalam filem The Expendables 2.

Babak serangan helikopter ke atas rumah Bond oleh Silva hampir menyamai babak serangan helikopter ke atas markas Viet Cong di dalam filem Apocalypse Now, bezanya di dalam filem tersebut ia memainkan lagu Ride of the Valkyries manakala di dalam filem Skyfall ia memainkan lagu Boom Boom Boom dendangan John Lee Hooker.

Secara keseluruhan, filem Skyfall tidak mengecewakan dan agak berbaloi untuk ditonton.

1 ulasan:

Kulop Asfarinas berkata...

Skyfall masih lagi mampu menghiburkan tapi jalan cerita perlu diperbaiki. Nice review tapi lebih setuju dengan review Joni di sinema.my ---> http://www.sinema.my/movie-review-skyfall-penuh-dengan-plot-buduh/