Khamis, 6 September 2012

Poliziotteschi, kenangan era 70'an

Poster filem Citta' Violenta (Violent City) lakonan Charles Bronson

Poliziotteschi adalah salah satu genre filem Itali yang pernah menjadi ikutan dan popular sekitar tahun 70'an dan 80'an.

Selain daripada genre Spaghetti Western, Giallo dan Macaroni Combat, filem-filem Poliziotteschi telah memenuhi pawagam di Malaysia ketika itu. Mungkin penonton pada ketika itu agak kurang memikirkan filem dari negara mana yang mereka tonton, lazimnya mereka akan mengatakan bahawa mereka menonton filem Inggeris sedangkan filem tersebut berasal daripada Itali.

Poliziotteschi adalah filem-filem aksi dan jenayah yang lazimnya berkisar kepada kisah-kisah pembalasan dendam, Mafia dan kongsi gelap serta yang bertema kepolisan. Poliziotteschi juga dilihat mempunyai banyak pengaruh daripada filem-filem aksi Hollywood awal 70'an seperti filem Dirty Harry lakonan Clint Eastwood, The French Connection yang bertemakan kongsi gelap dan sebagainya.

Quentin Tarantino merupakan pembikin filem masa kini yang terpengaruh dengan populariti filem-filem Itali era 70'an. Boleh dikatakan filem-filemnya yang dibikinnya banyak mempunyai pengaruh Spaghetti Western, Macaroni Combat, Giallo dan Poliziotteschi seperti From Dusk Till Dawn, Reservoir Dogs, Jackie Brown, Pulp Fiction, Inglorious Basterds dan Django Unchained.

Walaupun filem-filem Poliziotteschi berasal dari Itali namun beberapa pelakon-pelakon Hollywood turut menjadi pelakon lazim untuk filem-filem bergenre ini. Antara pelakon-pelakon Holllywood yang sering membintangi filem-filem Poliziotteschi ialah Martin Balsam, Joseph Cotten, Mel Ferrer, Arthur Kennedy, Jack Palance, John Saxon, Henry Silva, Robert L. Webber, James Whitmore, Charles Bronson, Joan Collins, Alain Delon, Klaus Kinski, Oliver Reed, dan Telly Savalas.

Poster filem Gli esecutori (Street People) lakonan Roger Moore

Pelakon filem James Bond iaitu Roger Moore juga pernah membintangi filem Poliziotteschi iaitu Gli esecutori atau dikenali juga sebagai The Sicilian Cross (di sesetengah negara dikenali sebagai Street People atau The Executioners). Di dalam filem tersebut Roger Moore bergandingan dengan seorang lagi pelakon Hollywood iaitu Stacy Keach.

Sebelum itu Roger Moore pernah membintangi filem Itali bergenre Macaroni Combat berjudul Un branco di vigliacchi (No Man's Land).

Tiada ulasan: