Khamis, 6 September 2012

Dua buah novel karya Joe Hill bakal difilemkan

Joe Hill
Joe Hill, penulis yang namanya sedang meningkat naik sekarang mungkin akan menjadi lebih terkenal apabila kedua-dua buah karyanya menemui penonton dalam bentuk filem.

Kedua-dua buah novel karyanya iaitu Heart-Shaped Box dan Horns telah pun dilamar oleh produksi perfileman. Hakcipta untuk Heart-Shaped Box telah dibeli oleh Warner Bros. manakala hakcipta untuk Horns telah dibeli oleh Mandalay Pictures dan Red Granite. Kemungkinan besar nama Joe Hill selepas ini akan lebih dikenali seperti mana ayahnya iaitu penulis novel seram terkenal, Stephen King.

Heart-Shaped Box mengisahkan tentang seorang penyanyi rock bernama Judas Coyne yang juga merupakan seorang pengumpul barang-barang aneh dan menyeramkan. Suatu hari dia telah memesan pakaian orang yang telah mati secara online. Berbagai perkara menakutkan berlaku sebaik sahaja dia menerima pakaian tersebut. Filem Heart-Shaped Box akan diarahkan oleh Neil Jordan (Interview With The Vampire) bagaimanapun berita yang aku baca di sini mengatakan bahawa Neil Jordan tidak lagi terlibat dengan pembikinan filem Heart-Shaped Box. Tidak pasti siapa yang akan menggantikan tempat Neil Jordan.

Horns pula ialah sebuah kisah fantasi gelap yang menggabungkan kisah jenayah, misteri dan seram. Filem Horns akan diarahkan oleh Alexandre Aja (Piranha 3D) dan akan dibintangi oleh Daniel Radcliffe (Harry Potter).

Joe Hill pernah muncul di dalam filem Creepshow arahan George A. Romero pada tahun 1984. Skrip dan lakonlayar untuk filem Creepshow ditulis oleh ayahnya sendiri iaitu Stephen King dan Joe Hill dikenali sebagai Joe King di dalam filem ini. Joe Hill melakonkan watak seorang budak lelaki bernama Billy yang dihukum ayahnya kerana kerap membaca komik seram.

Tiada ulasan: