Jumaat, 24 Ogos 2012

Nostalgia filem-filem aksi 80'an

The Expendables 2 merupakan filem pertama yang aku tonton setelah berakhirnya bulan Ramadan. Meskipun ada yang mengatakan tiada salahnya menonton wayang pada bulan puasa (ialah menonton TV pun lebih kurang je kesannya kepada puasa lebih-lebih lagi kalau menonton filem hindustan) namun aku cuba untuk menahan nafsu aku dari menjejakkan kaki ke pawagam dan terlepas The Dark Knight Rises (tak pe, boleh cari DVD nanti, hehe).

Berbalik kepada The Expendables 2, filem yang merupakan lanjutan untuk The Expendables yang telah ditayangkan pada tahun 2010 (juga ditayangkan pada bulan puasa). Kali ini ia diarahkan oleh Simon West dan masih mengekalkan Sylvester Stallone sebagai pelakon utamanya dibantu oleh Jason Statham, Dolph Lundgren, Randy Couture, Terry Crews, Jet Li, Arnold Scharzenegger dan Bruce Willis. Mungkin bertujuan untuk menarik golongan muda maka filem ini turut menampilkan Liam Hemsworth malangnya wataknya dimatikan pada awal cerita (yang menjadi plot utama filem ini).

Jet Li turut mempersembahkan persembahan menarik dalam filem ini meskipun kemunculannya agak singkat (Jet Li muncul pada awal filem) dan kemudian mungkin untuk mengekalkan anggota daripada cina watak Maggie Chen (lakonan Yu Nan) diperkenalkan pada pertengahan cerita.

Begitu juga kemunculan Chuck Norris sebagai Booker (homage untuk wataknya dalam filem Good Guys Wear Black terbitan tahun 1978. Meskipun kemunculannya hanya sekejap namun tetap mengembalikan nostalgia.

Setelah agak lama Van Damme tidak melakonkan watak antagonis, kali ini dia membawakan watak tersebut. Van Damme membuat kemunculan pertama sebagai antagonis di dalam filem No Retreat, No Surrender pada tahun 1986. Filem kedua dia membawakan watak antagonis adalah dalam filem Black Eagle pada tahun 1988 diikuti filem Replicant pada tahun 2001. Filem The Expendables 2 merupakan filem keempat dia melakonkan watak antagonis. Van Damme mungkin akan membawakan watak antagonis sekali lagi di dalam filem Universal Soldier: Day of Reckoning.

Sebenarnya aku tidak puas menyaksikan babak pertarungan antara Stallone dan Van Damme yang aku jangkakan pasti menjadi babak pertarungan yang begitu hebat (seperti pertarungan antara Stallone dan Dolph Lundgren dalam filem Rocky IV). Malangnya babak pertarungan tersebut agak singkat dan kematian Vilain lakonan Van Damme di tangan Barney begitu mudah sekali (mungkin juga dia belum mati kerana ada ura-ura mengatakan bahawa Van Damme akan kembali di dalam The Expendables 3).

Menurut laman web Orange, Jean Claude Van Damme merupakan choreographer untuk adegan pertarungan tersebut setelah tidak berpuas hati dengan skrip asal. Van Damme mengakui bahawa dia agak 'nervous' untuk 'bertarung' dengan Stallone kerana tidak mahu merosakkan reputasi pelakon hebat tersebut.

Babak pertarungan antara Stallone dan Van Damme memang ditunggu-tunggu

Filem The Expendables 3 khabarnya akan cuba untuk menghimpunkan lagi beberapa pelakon aksi legenda seperti Clint Eastwood, Steven Seagal, Nicolas Cage, Harrison Ford, Wesley Snipes, Donnie Yen, Antonio Banderas, Charlie Sheen dan Jackie Chan. Tidak pasti sama ada Jet Li akan kembali di dalam The Expendables 3. Chuck Norris telah menyatakan bahawa dia tidak akan kembali dalam The Expendables 3.

Stallone juga berhasrat untuk menyertakan pelakon aksi yang kurang ternama seperti Michael Biehn dan Michael Paré. Aku rasa bagus juga sekiranya Mel Gibson, Vin Diesel, Michael Dudikoff dan Mark Dacascos disertakan bersama.

Tiada ulasan: