Isnin, 27 Ogos 2012

Berdirinya Arnold Schwarzenegger

Sempena merayakan persaraannya dari arena politik dan kembalinya Arnold Schwarzenegger ke dunia perfileman, The Last Stand hasil arahan pengarah hebat dari Korea Selatan, Kim Ji-woon (The Good, The Bad, The Weird) pastinya sesuatu yang mengujakan.

Pedulikan dan lupakan aksi bodoh Schwarzenegger dalam The Expendables 2, aku yakin dia takkan mengulangi ungkapan "I'll be back!" dan "I'm back!" di dalam filem ini.

Filem bercorak ala-ala western mengisahkan tentang Ray Owens yang meninggalkan pasukan polis akibat kesilapan yang dilakukannya dalam suatu operasi. Ray membawa diri ke sebuah pekan kecil bernama Sommerton Junction yang berhampiran dengan sempadan Amerika Syarikat dan Mexico. Di sana dia telah dilantik sebagai Sheriff.

Meskipun menjadi sherrif namun kedamaian dan ketenangan pekan tersebut membuatkan dia melupakan apa yang telah terjadi sebelum ini. Bagaimanapun ketenangan tersebut tidak lama apabila seorang penjenayah paling dikehendaki tiba di pekan itu.

Pengedar dadah bernama Gabriel Cortez (lakonan Eduardo Noriega) dan Burell (lakonan Peter Stormare) serta konco-konconya cuba melarikan diri ke Mexico dan merentasi pekan kecil tersebut. John Bannister (lakonan Forest Whitaker), seorang agen FBI meminta bantuan Sheriff Ray Owens untuk memberkas penjenayah tersebut, namun dia enggan melibatkan diri dan membiarkan FBI menjalankan tugas mereka sendiri. Namun apabila keadaan menjadi semakin parah, dia merasakan sudah menjadi tanggungjawabnya melindungi pekan tersebut daripada dimusnahkan.

Filem ini juga turut dibintangi oleh Rodrigo Santoro, Zach Gilford, Genesis Rodriguez, Johnny Knoxville, Jaimie Alexander dan Harry Dean Stanton.

Apabila membaca sinopsisnya, aku merasakan jalan ceritanya seperti gabungan antara filem The Walking Tall lakonan The Rock dan Hostage lakonan Bruce Willis. Harap-harapnya filem Hollywood pertama arahan Kim Ji-woon ini tidak mengecewakan.

Tiada ulasan: