Isnin, 9 Julai 2012

Spider-Man vs Cicak-Man

Mungkin suatu kebetulan atau kita memang terlupa (tidak mengetahui) bahawa watak cicak mutasi adalah salah satu watak dalam kisah adiwira Spider-Man.

Rasanya masih segar lagi dalam ingatan aku kemunculan pertama Tobey Maguire melakonkan watak Peter Parker dan Spider-Man arahan Sam Raimi pada tahun 2002 dan kini aku menyaksikan sekali lagi evolusi Peter Parker menjadi adiwira Spider-Man.

Sekali lagi aku menyaksikan Ben Parker mati dibunuh perompak dan sekali lagi aku menyaksikan Peter Parker emosi mencari pembunuh pakciknya itu. Cuma kali ini, pembunuh tersebut tidak dijumpai.

Apa yang menguatkan jalan cerita The Amazing Spider-Man arahan Marc Webb [(500) Days of Summer] ini adalah mengenai misteri kehilangan ibu bapa Peter Parker yang pastinya akan menjadi plot untuk kesinambungan siri Spider-Man yang baharu ini. Begitu juga pemburuan Peter Parker/Spider-Man terhadap pembunuh pakciknya Ben Parker yang masih belum ditemui.


Filem The Amazing Spider-Man lebih banyak mengambil jalan cerita asal komik Spider-Man daripada filem Spider-Man (2002) arahan Sam Raimi. Antaranya tentang Gwen Stacy yang menjalinkan hubungan romantik dengan Peter Parker sebelum kehadiran Mary Jane Watson.

Spider-Man juga dilihat menggunakan senjata web-shooter berbanding di dalam filem Spider-Man arahan Sam Raimi di mana Peter Parker merupakan mutasi labah-labah yang mampu mengeluarkan sawangnya sendiri dari tangannya.

Peter Parker lakonan Tobey Maguire lebih melihatkan sisi nerd untuk diri Peter Parker manakala versi Andrew Garfield pula menonjolkan watak Peter Parker yang lebih gelap, lebih misteri dan lebih emosional.

Untuk watak The Lizard yang merupakan mutasi cicak bagi diri Dr. Curt Connors lakonan Rhys Ifans, rasanya ia akan lebih menyeramkan sekiranya watak ini diperkenalkan dalam francais Spider-Man arahan Sam Raimi. Ini kerana kepakaran Sam Raimi dalam menghasilkan filem-filem seram seperti Evil Dead, Army of Darkness dan Drag Me to Hell. Watak Venom dalam filem Spider-Man 3 memang menakutkan meskipun filem Spider-Man bukanlah sebuah filem seram.

Namun Rhys Ifans berjaya membawakan watak seorang ahli biologi yang kudung tangannya akhirnya menjadikan dirinya sendiri sebagai bahan ujikaji demi untuk mencapai impiannya selama ini memiliki sebelah tangannya.

Secara keseluruhan filem The Amazing Spider-Man adalah memuaskan meskipun pada mulanya aku skeptikal tentang reboot filem Spider-Man yang begitu awal. The Amazing Spider-Man lebih menekankan tentang perjalanan hidup Peter Parker. Juga misteri tentang kehilangan kedua-dua ibu bapa Peter Parker dan lelaki misteri di dalam penjara selepas credit roll di akhir cerita adalah pembuka ruang untuk sekuel filem ini.

Filem ini berbaloi untuk ditonton.

Peringatan: Jika anda mengharapkan beberapa adegan daripada trailer filem The Amazing Spider-Man sebelum ini, lupakan sahaja kerana beberapa adegan yang ditonjolkan sewaktu trailer tiada dalam filem ini.  Kemungkinan ia akan dimasukkan ke dalam deleted scenes apabila DVD filem ini dikeluarkan nanti.

Tiada ulasan: