Jumaat, 13 Julai 2012

Oz bukan remake atau sekuel Alice in Wonderland

Apabila kisah fantasi seperti Alice in Wonderland jatuh ke tangan pembikin filem yang lazimnya membikin filem-filem gothic seperti Tim Burton, kita dapat lihat bagaimana hasilnya. Sebuah filem fantasi yang disulami dengan kegelapan yang menjadikan kanak-kanak yang biasa dengan naskhah Lewis Carrol akan menjadi takut kepadanya.

Kini, filem Oz: The Great and Powerful yang diadaptasi daripada novel The Wonderful Wizard of Oz karya L. Frank Baum akan diarahkan oleh pengarah yang pernah menakutkan dunia dengan filem seramnya Evil Dead iaitu Sam Raimi.

Oz: The Great and Powerful juga merupakan prekuel kepada filem The Wizard of Oz (1939). Jika dilihat kepada trailer filem ini, terdapat persamaan dengan filem Alice in Wonderland arahan Tim Burton. Pertama, filem ini diterbitkan dan dikeluarkan oleh Disney, produksi yang sama menerbitkan filem Alice in Wonderland arahan Tim Burton. Kedua, penulis kisah The Wonderful Wizard of Oz iaitu L. Frank Baum memang terpengaruh dengan kisah Alice in Wonderland arahan Lewis Carrol.

Oz: The Great and Wonderful merupakan filem kedua selepas trilogi Spider-Man kolaborasi antara Sam Raimi dan James Franco. Di dalam trilogi Spider-Man, Franco melakonkan watak Harry Osborn. Seperti biasa, Sam Raimi tidak akan meninggalkan sahabat baiknya, Bruce Campbell. Bruce Campbell telah berkolaborasi bersama Sam Raimi sejak filem Evil Dead lagi dan kemudian akan muncul di dalam filem-filem arahan Sam Raimi sama ada membawakan watak utama, antagonis, sampingan atau pun sebagai cameo.

Skor muzik untuk filem ini disusun oleh Danny Elfman. Sebelum ini Elfman pernah membikin skor untuk filem Spider-Man dan Spider-Man 2. Danny Elfman lazimnya berkolaborasi bersama Tim Burton.

Pelakon lain yang membintangi filem ini ialah Rachel Weisz (The Mummy), Mila Kunis (Max Payne), Zach Braff (siri TV 'Scrubs').



Tiada ulasan: