Selasa, 17 Julai 2012

Deranged, filem seram mengenai epidemik dari Korea Selatan

Ini mungkin sebuah filem seram yang sepatutnya dibikin oleh pembikin filem di Malaysia, untuk mengubah senario filem seram tanah air yang yang sering bergantung kepada hantu ataupun entiti supernatural, sebaliknya suatu ketakutan ataupun kengerian yang nyata, yang dibawakan oleh virus.

Deranged, filem seram terbaharu daripada Korea Selatan, mengisahkan seorang pekerja farmasi bernama Jae-hyuk yang sering berbalah dengan para doktor di hospital tempatnya bekerja. Abangnya iaitu Jae-pil ialah seorang anggota polis yang asyik dengan pasaran saham.

Suasana menjadi gempar apabila berpuluh-puluh mayat ditemui terapung di Sungai Han. Pihak polis menjadi buntu dan memerlukan bantuan daripada tenaga pakar manakala darurat diisytiharkan disebabkan peristiwa tersebut.

Jae-pil merupakan salah seorang anggota pasukan penyiasat yang menyiasat kes ini dan bertemu dengan Datuk Bandar yang mengaku menyaksikan beberapa lelaki memakai uniform membuang bangkai seekor anjing yang dijangkiti dan mengesyaki terdapat konspirasi di sebalik apa yang berlaku.

Sementara itu, anak dan isteri Jae-hyuk mendapat simptom yang sama seperti mangsa-mangsa yang dijangkiti dan Jae-hyuk berusaha mendapatkan ubat untuk merawat ahli keluarganya.

Penyiasatan Jae-pil mendapati terdapat sebuah gudang yang menempatkan penawar untuk penyakit misteri itu dan bergegas ke sana tanpa mengetahui apa yang sedang menunggunya di situ.

Filem ini dibintangi oleh Kim Myung-min, Moon Jung-hee, Kim Dong-wan, Lee Ha-nui dan diarahkan oleh Park Jung-woo.

Tiada ulasan: