Rabu, 27 Jun 2012

Seni muzik dalam pandangan Islam bahagian 2

Artikel Seni vokal, muzik dan tari oleh Abd-ur-Rahman Al-Baghdadi. Diterjemahkan kepada bahasa Malaysia daripada bahasa asalnya Indonesia di laman seni.musikdebu.com

PENGARUH POLITIK DAN PERADABAN TERHADAP SENI UMAT ISLAM

Sejak kejatuhan politik dan peradaban Islam yang terjadi pada abad ke-19 Masehi, politik Barat telah mempengaruhi dan menguasai umat Islam. Banyak negeri-negeri Islam yang telah menjadi tanah jajahan Barat. Melalui dominasi Barat di kalangan umat Islam maka tidak menghairankan apabila pengaruh sosio budaya Barat mulai menyusup masuk di kalangan kaum Muslimin, terutama pada masyarakat Islam yang dijajah secara langsung oleh negara-negara yang berkuasa besar.

Sebagaimana yang kita ketahui, ciri khas peradaban Barat adalah sekularisme. Mereka memisahkan kebudayaan dan adat istiadat bangsa dengan agama. Walaupun sekularisme ini sangat bertentangan dengan aqidah, kebudayaan dan peradaban Islam namun sistem ini telah tumbuh dan berkembang di kalangan kaum Muslimin.

Perkembangan ini terjadi melalui akulturasi atau penyerapan budaya Barat ke dalam budaya Islam. Para penjajah memang telah berjaya diusir oleh kaum Muslimin namun kebudayaan dan peradaban Barat telah mereka tinggalkan. Proses sekularisme pun berlanjutan di kalangan umat Islam sehingga sepuluh tahun terakhir dari abad ke-20 ini disebabkan oleh penyebaran media massa dan sistem pendidikan yang berasaskan sekularisme.



1. AKULTURASI KEBUDAYAAN BARAT - ISLAM.

Jatuhnya peradaban dan kebudayaan Islam setelah diakulturasikan antara kebudayaan Barat dan kebudayaan Islam telah menghasilkan sekularisme dunia Islam. Adalah tidak menghairankan sekiranya pada masa kini kita dapat menemukan kesan-kesan yang diakibatkannya dengan mudah sekali, antaranya seperti:

A. Kebudayaan yang diterapkan di dunia Islam sekarang adalah lebih tercemar dalam keadaan begitu parah oleh kebudayaan Barat, dan lebih parah lagi apabila kebudayaan itu dijadikan sebagai konsep kebudayaan umat Islam.

B. Kaum Muslimin telah menjauhi konsep masyarakat Islam yang dahulunya berdasarkan aqidah, idea-idea, jiwa dan peraturan Islam. Kini mereka lebih mirip dengan masyarakat Eropah, Amerika, Rusia dan Cina daripada masyarakat Islam.

C. Prinsip-prinsip sosio budaya yang diamalkan oleh umat Islam telah jauh daripada prinsip-prinsip sosio budaya Islam, baik dari segi hubungan antara lelaki dan wanita. Demikian pula halnya dengan bidang hiburan, kesenian, peragaan, busana ataupun rekabentuk bangunan (architecture).

D. Dengan semakin giatnya akulturasi dalam bidang kesenian, seni umat Islam telah diwarnai oleh kesenian Barat yang sekularistik. Dengan demikian semakin banyaklah karya seni kaum Muslimin saat ini yang berlawanan dengan konsep seni Islam.


 2. PENGERTIAN MASYARAKAT DUNIA TERHADAP SENI.

Dalam perjalanan sejarah, boleh dikatakan pada setiap masa orang selalu bertanya apa dan bagaimanakah bentuk seni itu. Para ahli falsafah sejak zaman peradaban Yunani sehingga sekarang telah memberikan berbagai definisi. Dalam kesempatan ini kami telah paparkan salah satu definisi yang dapat dianggap global dan menyeluruh.

Dari Ensiklopedia Indonesia (lihat "Ensiklopedi Indonesia" PT. Ikhtiar Baru - Van Hoeve, Jakarta. Jilid V halaman 3080 dan 3081) dipetik bahawa definisi seni iaitu penjelmaan rasa indah yang terkandung dalam jiwa manusia, dilahirkan dengan perantaraan alat komunikasi ke dalam bentuk yang dapat ditangkap oleh deria pendengaran (seni suara), visual (seni lukis), atau dilahirkan dengan perantaraan gerak (seni tari, drama).

Dalam pengupasan "Seri (siri) Buku Seni I" ini kami hanya akan memaparkan secara terhad beberapa jenis seni estetika (seni estetika adalah seni halus (fine art) yang meliputi seni lukis, pahat, tarian, muzik, pentas, filem dan kesusasteraan. Pengertian halus di sini kerana ia diwujudkan melalui perasaan.) iaitu seni muzik, seni suara dan seni tari. (Siri buku berikutnya insya Allah akan dikupas masalah seni panggung yang berupa sandiwara, seni lakon, opera, pantomim, teater dan akan dikupas juga pada siri-siri berikutnya tentang seni pahat, seni halus dan seterusnya.)


1. SENI MUZIK

Seni muzik (instrumental art) adalah bidang seni yang menggunakan alat-alat muzik dan irama yang dimainkan menggunakan alat-alat tersebut. Alat-alat muzik tersebut memiliki nada tertentu. Selain daripada alat-alat muzik, seni muzik juga merangkumi vokal atau nyanyian.

Seni muzik dapat digabungkan dengan vokal. Seni vokal tanpa iringan muzik adalah seperti syair ataupun acapella.

2. SENI PENDENGARAN.

Seni pendengaran (auditory art) adalah bidang seni yang menggunakan suara (vokal ataupun instrumental) sebagai medium penyampaian, baik dengan hanya sejenis alat muzik seperti biola ataupun piano mahupun dengan sekumpulan pemuzik seperti orkestra, band juga lirik puisi berirama atau prosa yang tidak berirama, serta penggabungan nada dan kata seperti lagu-lagu cinta, qasidah dan tembang (nyanyian dalam bahasa Jawa). Seni inilah yang menjadi topik untuk dikupas.



3. SENI TARI.

Seni tari adalah seni menggerakkan tubuh secara berirama dengan iringan muzik. Gerakannya dapat sekadar dinikmati sendiri, merupakan ekspresi atau luahan emosi, dan cerita (kisah). Seni tari juga digunakan untuk mencapai keghairahan (ecstasy seperti mabuk atau tidak sedarkan diri) bagi yang melakukannya.

Sejak zaman dahulu, seni tari telah memainkan peranan penting dalam upacara kerajaan, di kalangan masyarakat mahupun individu. Seni tari merupakan akar tari Barat yang popular pada masa kini. Bangsa-bangsa primitif begitu mempercayai kepada kuasa ajaib yang ada pada seni tari, seperti amalan tarian KESUBURAN dan HUJAN, tarian RAWATAN atau EKSORSISME (menghalau roh jahat), tarian hendak pergi memburu atau berperang. Begitu juga dengan tarian tradisional Asia Timur yang hampir keseluruhannya bersumber dari keagamaan walaupun ada juga yang bersifat sosial. Selain itu ada pula tarian komunal (folk dance) yang umumnya berbentuk tarian rakyat (atau rekaan baharu). Biasanya tarian seperti ini dijadikan sebagai perlambangan kekuatan kerjasama secara kelompok dan sebagai lambang hormat-menghormati. Semua itu didasari oleh tradisi-tradisi masyarakat.

Seni tari moden lebih mengutamakan keindahan dan irama gerak dengan fokus hiburan. Seni sekarang berbeza dengan tarian abad-abad sebelumnya seperti balet, tarian tap (tap dance), bangsawan atau drama tari. Gaya tarian abad ke-20 kini berkembang dengan irama-irama muzik POP misalnya tarian CHA-CHA, TOGO, SOUL, TWIST dan yang kebelakangan ini semakin menular seperti BREAKDANCE dan DISKO. Kedua tarian ini mempunyai gerakan yang 'menggila' (melampau) dan amat diminati golongan muda.

Tiada ulasan: