Selasa, 26 Jun 2012

Khabar dari China

National Film Capital (NFC), sebuah produksi perfileman China telah bekerjasama dengan produksi filem dari Hollywood iaitu Magic Storm Entertainment untuk menerbitkan sebuah filem superhero China berjudul The Annihilator.

The Annihilator yang merupakan ilham terbaharu daripada pencipta watak Spider-Man iaitu Stan Lee merupakan adiwira bangsa Cina. Ia mengisahkan seorang lelaki biasa yang mendapat anugerah menjadi seorang adiwira. Setakat ini masih belum diketahui siapa yang akan melakonkan watak utama dan juga pengarah filem ini. Lakon layar filem ini ditulis oleh Dan Gilroy.

Selain daripada filem The Annihilator, NFC juga dalam perancangan untuk mengadaptasi komik Way of the Rat kepada filem. Filem bercorak kung-fu fantasi itu diberi judul The Magic Scroll dan akan diarahkan oleh Charles Gibson.

Juga dalam perancangan ialah sebuah filem epik mengenai kisah Genghis Khan yang ditulis oleh Peter Doyle dan juga filem berjudul 1421 berdasarkan buku yang ditulis oleh Gavin Menzies mengisahkan tentang Laksamana Zheng He (Laksamana Cheng Ho) yang terkenal sekitar abad ke-15.

Filem The Silent Flute yang pernah dilakonkan oleh David Carradine berdasarkan skrip yang ditulis oleh Bruce Lee dan James Coburn sekitar tahun 1973 dahulu juga dalam proses pembikinan semula.

Filem yang bercorak apokaliptik itu mengisahkan seorang lelaki yang hidup 800 tahun pada masa hadapan. Meskipun filem ini bercorak sains fiksyen namun ia juga sarat dengan aksi-aksi kung-fu.

Tiada ulasan: