Khamis, 3 Mei 2012

Daripada puntianak menjadi pemburu puntianak


Tom Cruise pernah membawakan watak puntianak Lestat di dalam filem Interview with the Vampire (1994) yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Anne Rice.

Terbaharu, Tom Cruise akan kembali dengan sebuah filem seram berkisahkan tentang puntianak, namun beliau tidak lagi membawakan watak puntianak sebaliknya sebagai pemburu puntianak bernama Van Helsing.

Tom Cruise akan membawakan watak tersebut dalam filem berjudul Van Helsing yang merupakan pembikinan semula filem dengan judul yang sama arahan Stephen Sommers pada tahun 2004.

Filem Van Helsing yang terbaharu akan diterbitkan oleh Tom Cruise sendiri manakala cerita dan skripnya ditulis oleh Alex Kurtzman dan Roberto Orci. Setakat ini tidak diketahui siapakah pengarah untuk filem Van Helsing terbaharu ini.

Tom Cruise juga akan muncul dengan sebuah lagi filem yang diadaptasi daripada sebuah novel Jepun berjudul All You Need Is Kill karya Hiroshi Sakurazaka. Filem yang bergenre sains fiksyen ini diarahkan oleh Doug Liman dan akan turut dibintangi oleh Emily Blunt. Tom Cruise menggantikan tempat Brad Pitt yang terpaksa menarik diri dari membintangi filem ini kerana terlibat dengan penggambaran filem lain.

Tom Cruise juga dijangka akan kembali membawakan watak Maverick untuk sinambungan filem popular tahun 1986 iaitu Top Gun. Top Gun 2 akan diarahkan oleh Tony Scott dan setakat ini belum ada perkembangan tentang filem ini.

Sementara itu, Alex Kurtzman dan Roberto Orci juga sedang menulis untuk pembikinan semula sebuah lagi filem yang pernah diarahkan oleh Stephen Sommers iaitu The Mummy. Dengan pengumuman bahawa filem The Mummy terbitan dan edaran Universal akan dibikin semula, bermakna filem The Mummy: Rise of the Aztecs ataupun The Mummy 4 tidak akan dihasilkan.

Tiada ulasan: