Selasa, 8 Mei 2012

Apa menatang shawarma tu?


Shawarma ialah sejenis makanan Arab seperti kebab dan di dalam filem Marvel's The Avengers, Tony Stark aka Iron Man mempelawa anggota Avengers yang lain untuk makan shawarma di New York.

Ada yang menyamakan filem Marvel's The Avengers dengan filem Transformers: Revenge of the Fallen kerana adegan melawan makhluk asing yang datang daripada portal angkasa. Hmm....memang ada sedikit persamaan di situ cuma bezanya, aksi menentang makhluk asing di dalam Marvels' The Avengers lebih mengasyikkan daripada Transformers: Revenge of the Fallen.

Transformers: Revenge of the Fallen adalah sebuah filem sains fiksyen yang pekat dengan propaganda Amerika manakala Marvel's The Avengers pula lebih kepada sindiran terhadap sistem perisikan dan pertahanan Amerika (dapat dikesan melalui dialog-dialog dalam filem tersebut yang menyindir seperti kata Stan Lee di akhir filem "Adiwira di New York?" dan sindiran Steve Rogers aka Captain America terhadap Tony Stark di mana keluarga Stark menjadi mewah dan menguasai ekonomi dengan menjual senjata).

Secara keseluruhan aku berpuas hati dengan filem ini di mana ia berjaya mengekalkan keaslian The Avengers. Menontonnya seolah-olah aku membaca sebuah komik yang bergerak. Tahniah kepada pihak produksi yang berjaya mengekalkan originaliti watak-watak adiwira dalam The Avengers.

The Avengers juga boleh dikatakan percubaan pertama untuk mewujudkan Marvel Universe di mana semua watak dan adiwira di dalam filem ini berkaitan antara satu sama lain (misalnya watak agen Phil Coulson yang muncul dalam hampir kesemua filem-filem adiwira yang berkaitan dengan Avengers seperti Iron Man dan Thor begitu juga dengan watak Nick Fury. Watak Natasha Romanoff aka Black Widow sebelum ini pernah muncul dalam filem Iron Man 2 manakala watak Tony Stark pernah muncul dalam filem The Incredible Hulk).

Dengan kejayaan yang dihasilkan oleh filem Marvel's The Avengers ini juga maka pihak DC diberitakan akan memulakan semula projek Justice League of America yang pernah dibatalkan sebelum ini. Justice League of America ialah kumpulan adiwira DC Comics yang digabungkan. Antara adiwira-adiwira yang terlibat dengan Justice League ialah Superman, Batman, Wonder Woman, Flash, Green Lantern, Aquaman dan Martian Manhunter.

Namun untuk membentuk sebuah filem gabungan seperti Marvel's The Avengers adiwira-adiwira tersebut haruslah diperkenalkan terlebih dahulu seperti mana yang telah dibuat oleh Marvel. Setakat ini hanya sebuah filem adiwira DC yang telah dibikin (tanpa mengira filem Superman Returns dan The Dark Knight) iaitu Green Lantern. Filem Superman arahan David S. Goyer iaitu Man of Steel masih dalam pembikinan dan belum diketahui bila tarikh tayangannya. Untuk ini aku rasa francais filem adiwira keluaran Marvel telah mendahului dan mengatasi francais filem adiwira DC.

Filem Marvel's The Avengers juga tidak boleh disifatkan sebagai filem yang 'stand alone' kerana ia turut mempunyai sinambungannya sama ada dalam filem-filem adiwira Avengers yang lain dan juga sinambungan Avengers itu sendiri.

Kemunculan makhluk asing Thanos di akhir filem telah membuka laluan kepada filam The Avengers 2 yang dikatakan telah pun dibincangkan. Untuk memulakan fasa kedua The Avengers maka pembikinan sinambungan filem-filem adiwira Avengers seperti Iron Man, Thor, The Incredible Hulk dan Captain America telah dimulakan.

Marvel's The Avengers juga sebagai pencetus kepada filem perisik iaitu Natasha Romanoff aka Black Widow lakonan Scarlett Johansson yang sedang dalam pembikinan. Filem ini akan fokus kepada peribadi Natasha Romanova atau Natasha Romanoff sebelum terlibat dengan organisasi S.H.I.E.L.D di mana dia adalah seorang perisik dan pembunuh yang bekerja untuk KGB.

Selepas ini kita akan menyaksikan cicak bertarung dengan labah-labah.





Tiada ulasan: