Selasa, 3 April 2012

Filem-filem Terburuk 2000 - 2010

Berikut ialah senarai filem-filem yang pernah menerima Anugerah Golden Raspberry atau dikenali juga sebagai Anugerah Razzie sejak tahun 2000 hingga tahun 2010.


Battlefield Earth (2000)

Filem sains fiksyen ini dikenali juga dengan judul Battlefield Earth: A Saga of the Year 3000 yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya L. Ron Hubbard. Ia dibintangi oleh John Travolta dan Forest Whitaker. Filem ini diarahkan oleh Roger Christian. Filem ini gagal meskipun dilakonkan oleh pelakon ternama seperti John Travolta dan dibikin menggunakan budget besar. Akibatnya filem ini telah dicalonkan di Golden Raspberry Awards dan menerima tujuh anugerah terburuk iaitu Filem Terburuk, Pelakon Lelaki Terburuk, Pelakon Pembantu Lelaki Terburuk, Pelakon Pembantu Wanita Terburuk, Pengarah Terburuk, Lakon Layar Terburuk dan Pasangan Terburuk Dalam Filem. Tidak cukup setakat itu sahaja, filem Battlefield Earth kemudian menerima pula Anugerah Drama Terburuk Sepanjang 25 Tahun pada tahun 2005 dan pada tahun 2010 filem ini menerima pula anugerah Filem Terburuk Sepanjang Dekad. Disebabkan oleh kegagalan filem ini maka rancangan untuk membikin sekuel filem Battlefield Earth telah dibatalkan.



Freddy Got Fingered (2001)

Sebuah filem komedi arahan Tom Green. Dibintangi juga oleh Tom Green, Rip Torn, Julie Hagerty dan Drew Barrymore. Filem ini menerima lapan anugerah Golden Raspberry.



Swept Away (2002)

Filem komedi romantik arahan Guy Ritchie dan dibintangi oleh Adriano Gianini dan Madonna. Filem ini adalah remake kepada filem Itali berjudul Swept Away by an Unusual Destiny in the Blue Sea of August yang diterbitkan pada tahun 1974. Bagaimanapun filem ini telah menerima lima anugerah Golden Raspberry iaitu Filem Terburuk, Pelakon Wanita Terburuk, Pasangan Terburuk Dalam Filem, Pembikinan Semula atau Sekuel Terburuk dan Pengarah Terburuk.



Gigli (2003)

Filem komedi romantik yang diarahkan oleh Martin Brest dan dibintangi oleh Ben Affleck, Jennifer Lopez, Al Pacino dan Christopher Walken. Meskipun filem ini dibikin ketika gossip percintaan antara Ben Affleck dan Jennifer Lopez sedang hangat dipaparkan di media, namun ia tidak membantu filem ini daripada menerima anugerah Golden Raspberry. Filem ini telah menerima enam anugerah Razzie iaitu Filem Terburuk, Pelakon Lelaki Terburuk, Pelakon Wanita Terburuk, Pengarah Terburuk, Lakon Layar Terburuk dan Pasangan Terburuk Dalam Filem.



Catwoman (2004)

Filem superhero yang diarahkan oleh seorang pengarah Perancis yang dikenali sebagai Pitof. Filem ini berdasarkan kepada watak antagonis Catwoman dalam siri komik Batman, cuma bezanya kali ini watak Catwoman adalah protagonis. Filem ini dibintangi oleh Halle Berry dan Sharon Stone. Filem Catwoman telah menerima anugerah Filem Terburuk dalam anugerah Golden Raspberry. Pelakon Halle Berry dan Sharon Stone masing-masing menerima anugerah Pelakon Wanita Terburuk dan Pelakon Pembantu Wanita Terburuk. Anugerah lain yang diterima oleh filem Catwoman ialah Pengarah Terburuk dan Lakon Layar Terburuk.



Dirty Love (2005)

Filem komedi romantik yang diarahkan oleh John Mallory Asher. Filem ini dibintangi oleh Jenny McCarthy, Carmen Electra dan kumpulan rock Sum 41. Filem ini telah menerima empat anugerah Golden Raspberry iaitu Filem Terburuk, Pengarah Terburuk, Pelakon Wanita Terburuk dan Lakon Layar Terburuk.



Basic Instinct 2 (2006)

Filem yang dikenali juga dengan judul Basic Instinct 2: Risk Addiction ini adalah sekuel kepada filem Basic Instinct yang diterbitkan pada tahun 1992. Filem ini diarahkan oleh Michael Caton-Jones dan dibintangi oleh pelakon asal Basic Instinct iaitu Sharon Stone. Filem ini telah dicalonkan di anugerah Golden Raspberry ke-27 dengan jolokan Basically, It Stinks, Too. Filem ini telah memenangi empat anugerah iaitu Filem Terburuk, Pelakon Wanita Terburuk, Sekuel atau Prekuel Terburuk dan Lakon Layar Terburuk.



I Know Who Killed Me (2007)

Sebuah filem seram yang diarahkan oleh Chris Sivertson dan dibintangi oleh Lindsay Lohan. Filem ini telah menerima lapan anugerah dalam Golden Raspberry ke-28 iaitu Filem Terburuk, Pengarah Terburuk, Pelakon Wanita Terburuk, Pasangan Terburuk Dalam Filem, Pembikinan Semula atau Rip-Off Terburuk, Pengarah Terburuk, Lakon Layar Terburuk dan Alasan Terburuk untuk Sebuah Filem Seram.



The Love Guru (2008)

Sebuah filem komedi yang diarahkan oleh Marco Schnabel dan dibintangi oleh Mike Myers, Jessica Alba, Justin Timberlake dan Ben Kingsley. Filem ini gagal di pasaran dan dicalonkan untuk anugerah Golden Raspberry. The Love Guru telah memenangi tiga anugerah Golden Raspberry iaitu Filem Terburuk, Pelakon Lelaki Terburuk dan Lakon Layar Terburuk.



Transformers: Revenge of the Fallen (2009)

Filem sains fiksyen ini adalah sinambungan kepada filem Transformers yang diadaptasi daripada siri animasi TV dengan judul yang sama yang popular sekitar penghujung 80-an. Filem ini arahan Michael Bay dan dibintangi oleh Shia LaBeouf, Megan Fox, Josh Duhamel, Tyrese Gibson manakala Hugo Weaving dan Peter Cullen masing-masing melantunkan suara untuk watak Megatron dan Optimus Prime. Meskipun filem ini mencatat kutipan box-office di seluruh dunia, namun ia mendapat kritikan negatif daripada para pengkritik filem seperti Roger Ebert yang hanya memberikan satu bintang dan mengatakan bahawa menonton filem ini umpama suatu pengalaman ngeri. Akibatnya filem ini telah dicalonkan di anugerah Golden Raspberry dan menerima tiga anugerah iaitu Filem Terburuk, Pengarah Terburuk dan Lakon Layar Terburuk.



The Last Airbender (2010)

Sebuah filem fantasi yang diadaptasi daripada siri animasi TV Avatar: The Last Airbender. Filem ini diarahkan oleh M. Night Shyamalan dan dibintangi oleh Noah Ringer, Dev Patel, Nicola Peltz, Jackson Rathbone dan Aasif Mandvi. Filem ini telah menimbulkan kontroversi terutama sekali tentang pemilihan para pelakonnya yang dikatakan tidak mengikut karakter asal dalam siri animasi Avatar. Di dalam siri animasi tersebut watak-wataknya digambarkan seperti kaum di Asia Timur (sama ada China, Korea ataupun Jepun) sebaliknya di dalam filem ini pelakon yang membawakan watak tersebut seperti Aang, Prince Zuko ataupun Komander Zhao bukanlah berketurunan Asia Timur sebaliknya orang kulit putih Amerika dan juga berketurunan India seperti Dev Patel. Filem ini telah mendapat kritikan pedas daripada peminat siri animasi Avatar. Meskipun filem ini mencatat kutipan box-office yang membanggakan namun ia tetap dicalonkan di anugerah Golden Raspberry dan memenangi lima anugerah iaitu Filem Terburuk, Lakon Layar Terburuk, Pengarah Terburuk, Pelakon Pembantu Lelaki Terburuk dan Penyalahgunaan 3D Terburuk.

2 ulasan:

Dr. Bentara berkata...

I enjoyed Transformers dan Love Guru.

zulazahari berkata...

Tidak dinafikan filem Transformers arahan Michael Bay memang mengasyikkan tetapi bagi die-hard fans Transformers yang asal, Michael Bay telah merosakkan cerita tersebut.