Rabu, 25 Januari 2012

Pembuka tirai yang baik untuk 2012


Filem Journey 2: The Mysterious Island mungkin bukan sebuah filem yang ditunggu-tunggu seperti filem The Dark Knight Rises atau The Avengers bagaimanapun untuk seorang peminat filem adventure seperti aku ia telah cukup.

Filem ini seakan-akan mengubat kekecewaan aku kepada filem Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull (ya, aku masih frust dengan filem itu). Aku juga merasakan banyak homage untuk Indiana Jones dalam filem ini, pertama sekali ungkapan Hank lakonan Dwayne Johnson yang berbunyi "kenapa mesti mengkarung, aku benci mengkarung, kenapa tidak ular?" In line jokes yang menyindir watak Indiana Jones yang bencikan ular.

Juga perhatikan watak Alexander Anderson lakonan Michael Caine yang memakai pakaian seakan-akan Indiana Jones. Alexander juga sering memanggil Hank dengan nama Henry, nama sebenar Indiana Jones.


Juga filem ini agak menarik kerana berjaya meyakinkan penonton seolah-olah pulau misteri yang ditulis oleh Jules Verne itu benar-benar wujud (filem ini adaptasi daripada novel Jules Verne The Mysterious Island).

Perhatikan pada permulaan cerita apabila watak Sean lakonan Josh Hutcherson dan Hank mencari kordinat kedudukan pulau misteri tersebut berpandukan gabungan peta daripada novel-novel tulisan Jonathan Swift (Gulliver's Travel), Robert Louis Stevenson (Treasure Island) dan Jules Verne sendiri iaitu 20,000 Leagues Under the Sea. Ia membuatkan seolah-olah ketiga-tiga penulis sastera klasik Inggeris itu mempunyai hubung kait antara satu sama lain, seolah-olah pernah sampai ke pulau itu.

Kesan khas seperti penggunaan CGI juga agak baik dalam filem ini, tidak kelihatan melampau dan terlalu bergantung kepada CGI cuma haiwan rasaksa yang terdapat dalam filem ini agak sedikit. Yang ada cuma cicak mengkarung rasaksa, semut rasaksa, lebah rasaksa, burung rasaksa, labah-labah rasaksa dan belut elektrik rasaksa. Namun adegan kejar mengejar antara watak yang menaiki lebah rasaksa dan burung rasaksa begitu realistik dan aku terasa seperti sedang menaiki roller-coaster. Mungkinkah selepas ini akan dibina taman tema berdasarkan filem ini?



Filem ini sesuai untuk mereka yang ingin melepaskan tekanan setelah penat bekerja, yang sukakan filem-filem aksi, pengembaraan dan fantasi juga mereka yang sukakan filem-filem creature feature, meskipun filem ini tidaklah sehebat Jurassic Park ataupun King Kong namun masih boleh memuaskan nafsu anda.

Tiada ulasan: