Rabu, 25 Januari 2012

Filem-filem menarik sepanjang tahun 2012: Julai - September

Bait

Sesuai untuk peminat-peminat filem natural horror. Sebuah lagi filem bertemakan keganasan ikan jerung setelah filem Shark Night ditayangkan pada tahun lalu. Bait mengisahkan tentang sebuah pasaraya yang terletak di pinggir pantai di Australia telah dilanda tsunami. Air laut membanjiri pasaraya tersebut manakala para pengunjung terperangkap di dalamnya. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila beberapa ekor jerung harimau turut berada di dalam pasaraya itu. Dibintangi oleh Julian McMahon (Fantastic Four), Sharni Vinson, Phoebe Tonkin, Xavier Samuel dan diarahkan oleh Kimble Rendall. Tarikh tayangan dijangka pada 5 Julai 2012.



The Amazing Spider-Man

Kisah terbaharu adiwira komik Marvel. Kita dipaparkan kembali dengan kisah Peter Parker yang kehilangan ibu bapanya dan dijaga oleh Aunt May dan Ben Parker. Remaja yang kurang menonjol di sekolah bagaimanapun mempunyai kepintaran dalam pembelajaran. Suatu hari Peter Parker telah digigit sejenis labah-labah mutasi yang memberikannya kuasa seperti labah-labah. Filem ini cuba mengikut cerita asal seperti yang ditulis dalam komik dengan mengecualikan beberapa watak penting seperti Mary Jane Watson yang digantikan dengan Gwen Stacy. Begitu juga watak editor akhbar Daily Bugle, J. Jonah Jameson ditiadakan. Dibintangi oleh Andrew Garfield, Emma Stone, Rhys Ifans, Martin Sheen, Sally Field, Denis Leary, Chris Zylka, Irfan Khan dan diarahkan oleh Marc Webb. Tarikh tayangan dijangka pada 5 Julai 2012.




Ice Age 4: Continental Drift

Lanjutan kisah pengembaraan Manny, Diego, Sid dan Scrat di zaman air batu. Menggunakan suara pelakon terkenal seperti Ray Romano, John Leguizamo, Denis Leary, Queen Latifah, Seann William Scott, Josh Peck, Chris Wedge dan Jennifer Lopez. Filem animasi ini diarahkan oleh Steve Martino dan Mike Thurmeier. Tarikh tayangan dijangka pada 12 Julai 2012.



The Dark Knight Rises

Filem yang ditunggu-tunggu oleh peminat cerita Batman dan juga pengarah Christopher Nolan. Merupakan francais terakhir untuk filem Batman versi Nolan. Kali ini Batman akan berhadapan dengan dua orang penjahat iaitu Bane dan Catwoman. Sinambungan daripada filem The Dark Knight, Batman kembali ke Gotham City setelah menghilangkan diri selama lapan tahun setelah kematian Harvey Dent. Kali ini Gotham City diancam dengan kehadiran penjenayah baru yang kejam iaitu Bane, dalam masa yang sama berlaku beberapa kejadian rompakan dan kecurian yang dilakukan oleh seorang wanita misteri digelar Catwoman. Masih lagi dilakonkan oleh pelakon yang sama iaitu Christian Bale, Michael Caine, Gary Oldman, Morgan Freeman dan dibantu oleh Tom Hardy dan Anne Hathaway. Tarikh tayangan dijangka pada 19 Julai 2012.



Total Recall

Remake untuk filem dengan judul yang sama pada tahun 1990 lakonan Arnold Schwarzenegger dan diadaptasi daripada novel We Can Remember It For You Wholesale karya Philip K. Dick. Kali ini watak utama dilakonkan oleh Collin Farrell. Ia mengisahkan seorang pekerja kilang bernama Doug Quaid sering mendapat mimpi buruk dan mengesyaki bahawa dirinya adalah seorang perisik yang melakukan kerja-kerja penyamaran. Turut membintangi filem ini ialah Kate Beckinsale, Jessica Biel, Bill Nighy, Ethan Hawke dan diarahkan oleh Len Wiseman. Tarikh tayangan dijangka pada 2 Ogos 2012.



The Bourne Legacy

Filem Bourne pertama yang tidak menampilkan watak utama Jason Bourne lakonan Matt Damon sebaliknya watak salah seorang perisik kerajaan bernama Aaron Cross yang dilakonkan oleh Jeremy Renner. Turut membintangi filem ini ialah Rachel Weisz, Edward Norton, Joan Allen, Oscar Isaac dan diarahkan oleh Tony Gilroy. Tarikh tayangan dijangka pada 9 Ogos 2012.



ParaNorman

Filem animasi yang dipengaruhi filem-filem animasi gaya Tim Burton mengisahkan sebuah pekan kecil telah diserang oleh sekumpulan zombi dan seorang budak lelaki bernama Norman menjadi harapan kerana kebolehannya berbicara dengan orang mati. Menggunakan suara pelakon seperti Casey Affleck, Leslie Mann, Anna Kendrick, Kodi Smit-McPhee dan diarahkan oleh Chris Butler dan Sam Fell. Tarikh tayangan pada 16 Ogos 2012.



The Expendables 2

Filem yang menggabungkan pelakon-pelakon aksi veteran era 80'an dan 90'an. Tool telah mati dibunuh secara kejam dan anggota-anggota The Expendables yang lain bersumpah untuk menuntut bela atas kematiannya. Bagaimanapun keadaan menjadi rumit apabila anak gadis Tool bernama Fiona bertindak secara sendirian. Fiona ditangkap oleh penjahat dan menjadikannya sebagai tebusan manakala anggota The Expendables diarahkan untuk menjalankan suatu misi jika mahukan Fiona selamat. Dibintangi oleh Sylvester Stallone, Jason Statham, Terry Crews, Jet Li, Mickey Rourke, Bruce Willis, Arnold Schwarzenegger, Randy Couture, Dolph Lundgren, Jean Claude Van Damme, Chuck Norris dan diarahkan oleh Simon West. Tarikh tayangan pada 17 Ogos 2012.



29 Februari

Sebuah filem yang mana temanya bermain dengan masa. Mengisahkan seorang lelaki yang dilahirkan pada 29 Februari 1892. Anehnya usianya akan bertambah empat tahun sekali iaitu pada 29 Februari. Ini membuatkan dirinya tidak dimamah usia. Dia juga telah mengalami beberapa peristiwa penting dan bersejarah seperti zaman penjajahan, zaman darurat dan zaman kemerdekaan. Dibintangi oleh Remi Ishak dan Lisa Surihani. Diarahkan oleh Edry Abdul Halim. Tarikh tayangan pada 30 Ogos 2012.



The Hunter

Filem pengembaraan seram ini mengisahkan tentang kru filem dari China yang datang ke hutan Borneo untuk membikin sebuah filem dokumentari tentang pemburu kepala di Borneo. Pada mulanya segalanya berjalan lancar namun kemudian beberapa peristiwa mengerikan berlaku. Dibintangi oleh Tavani Hu, Lou Qi, Carmen Soo, Soo Wincci, Koe Yeet, Sharifah Amani, Cindy Chen dan diarahkan oleh Bjarne Wong. Tarikh tayangan pada 1 September 2012.



Resident Evil 5

Lanjutan untuk siri filem Resident Evil. Kali ini mengisahkan Alice yang telah ditawan oleh pihak Umbrella Corporation dan mengetahui beberapa perkara tentang dirinya. Resident Evil 5 masih mengekalkan Mila Jovovich sebagai teraju utama dan dibantu oleh Sienna Guillory dan Boris Kodjoe. Beberapa watak baru (dari permainan video Resident Evil) turut ditampilkan seperti Ada Wong lakonan Li Bingbing, Leon S. Kennedy (Johann Urb), Barry Burton (Kevin Durand) dan juga watak daripada filem Resident Evil yang lalu seperti Rain Ocampo lakonan Michelle Rodriguez, James 'One' Shade (Colin Salmon) dan Carlos Olivera (Oded Fehr). Filem ini diarahkan oleh Paul W.S. Anderson. Tarikh tayangan pada 13 September 2012.

Tiada ulasan: