Khamis, 12 Januari 2012

Filem-filem menarik sepanjang tahun 2012: April - Jun

21 Jump Street

Adaptasi daripada siri TV popular tahun 80'an dengan judul yang sama. Filem 21 Jump Street mengisahkan dua orang anggota polis iaitu Schmidt dan Jenko menyamar sebagai pelajar sekolah untuk menyelesaikan kes pengedaran dadah di kalangan pelajar sekolah. Namun mereka menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri kerana senario persekolahan bukan lagi seperti zaman mereka bersekolah dahulu. Dibintangi oleh Jonah Hill, Channing Tatum, Ellie Kemper, Ice Cube dan saksikan penampilan Johnny Depp sebagai cameo dalam filem ini. Filem ini diarahkan oleh Phil Lord dan Chris Miller. Tarikh tayangan pada 5 April 2012.



Titanic 3D

Selain daripada francais Star Wars yang ditayangkan semula dalam format 3D, James Cameron juga tidak mahu ketinggalan dan menayangkan kembali filem hits 90'an Titanic dalam format 3D. Filem percintaan dan tragedi yang pernah mencipta fenomena suatu masa dahulu bakal disaksikan kembali dengan lebih realistik, seolah-olah anda sendiri berada di dalam kapal yang malang itu. Dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, Kate Winslet, Billy Zane, Kathy Bates dan Bill Paxton. Tarikh tayangan pada 5 April 2012.



The Three Stooges

The Three Stooges ialah sebuah filem komedi slapstick yang mengisahkan tentang tiga orang lelaki bernama Curly, Larry dan Moe yang terlibat dalam suatu rancangan pembunuhan. Filem ini dibintangi oleh Chris Diamantopoulos, Sean Hayes, Will Sasso, Jane Lynch dan diarahkan oleh pasangan adik beradik Bobby dan Peter Farrelly yang memang terkenal dengan filem-filem komedi slapstick seperti Dumb and Dumber. Tarikh tayangan pada 12 April 2012.



Upside Down

Sebuah filem sains fiksyen yang menceritakan tentang kisah cinta antara dua dimensi iaitu dunia selari. Seorang lelaki bernama Adam yang mencintai seorang wanita bernama Eve di dalam alam yang berlainan. Namun demi cinta, tiada apa yang dapat memisahkan mereka. Dibintangi oleh Jim Sturgess, Kirsten Dunst dan Jayne Heitmeyer. Filem ini diarahkan oleh Juan Diego Solanas dan dijangka akan ditayangkan di Malaysia pada 12 April 2012.



The Cabin in the Woods

The Cabin in the Woods pada dasarnya mungkin kelihatan seperti sebuah filem slasher horror yang tipikal di mana beberapa orang remaja bermalam di sebuah kabin di dalam hutan dan diburu oleh pembunuh yang gila. Namun terdapat sesuatu yang aneh apabila suatu organisasi misteri dikesan mendalangi kejadian-kejadian di kabin dan kawasan sekelilingnya. Agak menarik kerana ia membawakan pembaharuan untuk filem bergenre teen-slasher-horror. Dibintangi oleh Richard Jenkins, Bradley Whitford, Jesse Williams, Chris Hemsworth dan diarahkan oleh Drew Goddard. Tarikh tayangan pada 13 April 2012.



Bullet to the Head

Selain filem The Expendables 2 yang akan ditayangkan pada tahun 2012, Sylvester Stallone turut muncul dalam sebuah lagi filem aksi berjudul Bullet to the Head dan di dalam filem Stallone akan bergandingan bersama pelakon Sung Kang yang dikenali dengan watak Han dalam filem The Fast and the Furious: Tokyo Drift. Bullet to the Head mengisahkan seorang pembunuh upahan bernama Jimmy Bobo membantu seorang detektif untuk menyelesaikan beberapa kes jenayah terancang di New Orleans. Selain Stallone dan Sung Kang, filem ini dibintangi oleh Jason Momoa (Conan the Barbarian) dan Sarah Shahi. Diarahkan oleh Walter Hill dan dijangka akan ditayangkan pada 13 April 2012.



Battleship

Filem sains fiksyen yang diadaptasi daripada sebuah permainan popular mengisahkan bagaimana Pearl Harbor diserang sekali lagi, kali ini bukan oleh tentera Jepun sebaliknya oleh tentera makhluk asing dari angkasa lepas. Bagaimanapun makhluk yang dikenali sebagai The Regents itu terpaksa menghadapi tentera laut Amerika Syarikat yang berjuang bermati-matian untuk mempertahankan Pearl Harbor. Dibintangi oleh Liam Neeson, Alexander Skarsgard, Brooklyn Decker, Taylor Kitsch, Rihanna dan Tadanobu Asano. Filem ini diarahkan oleh Peter Berg dan tarikh tayangan pada 19 April 2012.



Safe

Filem aksi lakonan Jason Statham yang mengisahkan seorang bekas pasukan elit bernama Luke Wright yang ditugaskan untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang diculik namun kemudian dia terpaksa berhadapan dengan kumpulan kongsi gelap cina, mafia Rusia dan polis yang korup juga konspirasi daripada ahli politik. Dibintangi juga oleh Chris Sarandon dan James Hong. Diarahkan oleh Boaz Yakin, dijangka akan ditayangkan di Malaysia pada 26 April 2012.



The Avengers

Filem yang ditunggu-tunggu oleh para peminat komik The Avengers terbitan Marvel. Filem yang menggabungkan pelakon-pelakon asal watak-watak superhero seperti Robert Downey Jr. (Tony Stark/Iron Man), Chris Evans (Steve Rogers/Captain America), Chris Hemsworth (Thor) bagaimanapun untuk watak Hulk ia tidak akan dilakonkan oleh Edward Norton sebaliknya digantikan oleh Mark Ruffallo. Ia mengisahkan tentang sekumpulan adiwira dikumpulkan dalam sebuah organisasi dinamakan sebagai The Avengers yang diketuai oleh seorang lelaki bernama Nick Fury. Turut disertakan ke dalam pasukan The Avengers ialah adiwira bernama Hawkeye dan Black Widow. Pelakon lain yang membintangi The Avengers ialah Scarlett Johansson, Samuel L. Jackson, Jeremy Renner, Don Cheadle dan Lou Ferrigno yang akan melantun suaranya untuk watak Hulk. Filem ini diarahkan oleh Joss Whedon dan dijangka akan ditayangkan pada 1 Mei 2012.



Dark Shadows

Sebuah lagi filem yang ditunggu-tunggu oleh para peminat Johnny Depp dan Tim Burton. Filem yang diadaptasi daripada siri televisyen berkonsepkan soap opera seram yang popular pada tahun 60'an. Ia mengisahkan tentang keluarga Collins yang berhijrah daripada Liverpool, England untuk menjalankan hidup baru di Amerika Syarikat pada tahun 1752. Bagaimanapun, kedatangan mereka ke Amerika turut membawa rahsia mereka bahawa keluarga ini sebenarnya adalah keluarga pontianak. Mereka menetap di sebuah tempat bernama Collinsport dan mereka menjadi keluarga yang kaya dan dihormati oleh masyarakat sekeliling tanpa mengetahui rahsia gelap mereka. Namun segalanya berubah apabila seorang ahli sihir muncul dan memusnahkan keluarga ini. Berpuluh tahun kemudian iaitu pada tahun 1972, Barnabas Collins, anak lelaki keluarga Collins kembali semula dan meneruskan legasi Collins. Selain Johnny Depp filem ini dibintangi oleh Eva Green, Michelle Pfeiffer, Chloe Moretz, Helena Bonham Carter, Christopher Lee dan Jackie Earle Haley. Dark Shadows dijangka akan ditayangkan di Malaysia pada 10 Mei 2012.



Mantera

Sebuah filem bercorak sains fiksyen, Mantera mengisahkan tentang seorang remaja bernama Azman yang secara tidak sengaja telah menemui serpihan-serpihan robot yang diberi nama Mantera, singkatan untuk MAN-Transformable Exo-Robotic Armour. Robot tersebut dicipta oleh seorang saintis bernama Sam Weston yang bimbang robot tersebut jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Sementara itu, pengedar senjata haram turut mencari prototaip Mantera yang telah hilang. Filem ini dibintangi oleh Tomok, Shiqin Kamal, Kamaliya, Wael Al-Masri, Said Dashuk-Nighmatulin, Yank Kassim dan diarahkan oleh Mohd Aliyar. Tarikh tayangan pada 17 Mei 2012.



Men in Black III

Lanjutan untuk filem komedi sains fiksyen yang dibintangi oleh Will Smith dan Tommy Lee Jones. Kali ini Agent J dibunuh oleh makhluk asing dan menyebabkan bumi berada dalam keadaan huru-hara. Ini menyebabkan Agent K ditugaskan untuk kembali ke zaman silam untuk menyelamatkan Agent K daripada dibunuh. Filem ini dibintangi juga oleh Josh Brolin, Emma Thompson, Sharlto Copley, Alice Eve dan diarahkan oleh Barry Sonnenfeld. Tarikh tayangan 17 Mei 2012.



Snow White and the Huntsman

Kisah dongeng Snow White yang diceritakan semula dalam versi yang lebih realistik, mengisahkan tentang Snow White yang dicemburui oleh ibu tirinya. Suatu hari, ibu tirinya yang juga merupakan seorang permaisuri telah mengarahkan seorang pembunuh untuk membunuh Snow White. Pembunuh tersebut membawa Snow White ke dalam hutan dengan tujuan untuk membunuhnya bagaimanapun bertukar fikiran dan melatih Snow White cara-cara untuk mempertahankan dirinya. Setelah mahir dalam seni mempertahankan diri dan cara-cara berperang, Snow White membentuk satu pasukan untuk menggulingkan pemerintahan ibu tirinya. Dibintangi oleh Kristen Stewart (Twilight), Chris Hemsworth (Thor), Charlize Theron (Æon Flux), Ian McShane, Nick Frost, Ray Winstone, Sam Clafline dan diarahkan oleh Rupert Sanders. Tarikh tayangan 31 Mei 2012.



Rock of Ages

Filem komedi muzikal yang diadaptasi daripada persembahan Broadway dengan judul yang sama. Ia mengisahkan tentang seorang gadis bernama Sherrie bertemu dengan seorang pemuda bernama Drew di sebuah bar. Mereka dalam perjalanan ke Hollywood untuk mencapai cita-cita mereka sebagai bintang. Di bar tersebut mereka dilamun cinta. Filem ini menarik kerana menjadikan tahun 80'an, zaman kegemilangan Glam Rock sebagai latar belakang. Filem ini juga turut memuatkan soundtrack lagu-lagu rock klasik dendangan Bon Jovi, REO Speedwagon, Whitesnake, Poison, Def Leppard dan sebagainya. Filem ini dibintangi oleh Paul Giamatti, Rusell Brand, Alec Baldwin, Catherine Zeta-Jones, Julianne Hough, Diego Boneta dan Tom Cruise. Filem ini diarahkan oleh Adam Shankman dan dijangka akan ditayangkan di Malaysia pada 31 Mei 2012.



Madagascar 3

Lanjutan untuk filem animasi popular Madagascar. Kali ini ia mengisahkan pengembaraan Alex, Marty, Melman, Gloria, King Julian dan empat ekor penguin di Eropah. Menggunakan suara Ben Stiller, Chris Rock, David Schwimmer, Jada Pinkett-Smith, Sacha Baron Cohen, Frances McDormand dan diarahkan oleh Eric Darnell. Tarikh tayangan pada 7 Jun 2012.



Prometheus

Filem sains fiksyen yang dikatakan sebagai prekuel kepada francais Alien bagaimanapun dinafikan oleh pengarahnya Ridley Scott. Meskipun terdapat kaitan secara tidak langsung antara filem ini dengan filem Alien, Prometheus ada plotnya sendiri. Filem Prometheus mengisahkan tentang penemuan ahli arkeologi di sebuah tempat di Afrika yang membuktikan bahawa manusia sebenarnya mempunyai DNA yang berasal daripada makhluk asing. Setelah mengetahui kordinat di mana makhluk asing tersebut berada, Weyland Corporation (ingat Weyland Yutani dalam filem Alien?) membina sebuah kapal angkasa yang diberi nama Prometheus untuk dilancarkan ke angkasa lepas, menuju ke planet di mana makhluk asing tersebut berada. Apabila tiba di planet tersebut, para angkasawan yang terdiri daripada para penyelidik disambut dengan baik oleh makhluk asing tersebut. Para penyelidik dari bumi berkongsi maklumat dengan saintis di planet itu bagaimanapun salah seorang anggota penyelidik telah mencuri sejenis kod yang dikatakan mempunyai rahsia penciptaan manusia, menyebabkan makhluk asing menggunakan sejenis senjata kimia ke atas para penyelidik. Bagaimanapun secara tidak sengaja senjata itu berbalik kepada tuannya, melahirkan sejenis spesis makhluk asing yang ganas dan merbahaya. Dibintangi oleh Michael Fassbender, Idris Elba, Charlize Theron dan Noomi Rapace. Tarikh tayangan pada 7 Jun 2012.



Jack the Giant Killer

Sebuah lagi kisah dongeng yang diberi sentuhan moden. Berdasarkan kepada kisah Jack and the Beanstalk, mengisahkan tentang persengketaan antara kaum gergasi dan kaum manusia yang berlaku pada zaman dahulu kala. Dibintangi oleh Ewan McGregor, Stanley Tucci, Nicholas Hoult, Ian McShane, Bill Nighy, Eleanor Tomlinson dan diarahkan oleh Bryan Singer. Tarikh tayangan pada 14 Jun 2012



Abraham Lincoln: Vampire Hunter.

Sebuah lagi filem yang diterbitkan oleh Tim Burton tetapi diarahkan oleh Timur Bekmambetov. Filem ini diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Seth Grahame-Smith. Filem ini menggambarkan bahawa Abraham Lincoln bukan sahaja seorang Presiden Amerika Syarikat yang baik tetapi juga seorang pembunuh pontianak. Dibintangi oleh Mary Elizabeth Winstead, Dominic Cooper, Anthony Mackie dan Benjamin Walker. Tarikh tayangan pada 21 Jun 2012.



Brave

Sebuah filem animasi keluaran Walt Disney berdasarkan kisah dongeng masyarakat Scotland. Ia mengisahkan tentang seorang gadis bernama Merida, anak kepada Raja Fergus yang mahu hidup dengan caranya sendiri. Menggunakan suara Emma Thompson, Kelly Macdonald, Kevin McKidd, Robbie Coltrane dan diarahkan oleh Mark Andrews. Tarikh tayangan pada 21 Jun 2012.



G.I. Joe: Retaliation

Sekuel untuk filem G.I. Joe: The Rise of COBRA. Ia mengisahkan pengganas bernama Zartan, Storm Shadow dan Firefly berjaya melarikan diri daripada tahanan. Zartan kemudian menyamar menjadi Presiden Amerika Syarikat dan melabelkan pasukan G.I. Joe sebagai pengkhianat negara. Seorang demi seorang anggota G.I. Joe dihapuskan dan yang tinggal cuma Roadblock, Snake Eyes, Flint dan Lady Jaye. Mereka berempat kemudian dibantu oleh seorang veteran bernama General Joseph Colton. Dibintangi oleh Channing Tatum, Dwayne Johnson (The Rock), Adrianne Palicki, Ray Park, Lee Byung-hun, Ray Stevenson, Arnold Vosloo dan kemunculan istimewa Bruce Willis. Filem ini diarahkan oleh Jon Chu. Tarikh tayangan pada 21 Jun 2012.

Tiada ulasan: