Selasa, 10 Januari 2012

Filem-filem menarik sepanjang tahun 2012: Januari - Mac

Dijangkakan untuk tahun 2012 ini filem-filem yang akan ditayangkan di pawagam kebanyakannya bergenre fantasi, superhero, seram dan aksi. Tidak kurang juga beberapa filem animasi dan komedi. Berikut beberapa buah filem yang aku jangka akan menjadi box-office.


The Viral Factor

Peminat aktor Hong Kong, Nicholas Tse pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan lakonan hebatnya dalam filem aksi thriller terbaharu The Viral Factor. Filem ini mengisahkan tentang kumpulan pengganas yang berpangkalan di Hong Kong yang cuba untuk menyebarkan sejenis virus berbahaya. Antara lokasi penggambaran untuk filem ini ialah Vietnam, Malaysia, Singapura, China, Hong Kong dan Jordan. Filem ini turut dibintangi oleh Jay Chou, Lin Peng, Bai Bing dan Andy On dan ia diarahkan oleh Dante Lam. Dijangka akan ditayangkan pada 19 Januari 2012.


Journey 2: The Mysterious Island

Filem aksi pengembaraan fantasi ini merupakan sekuel untuk filem Journey to the Center of the Earth lakonan Brendan Fraser. Brendan Fraser tidak kembali di dalam sekuel ini sebaliknya Dwayne Johnson (The Rock) akan membawakan watak utama. Cuma Josh Hutcherson yang kembali membawakan watak Sean Anderson. Di dalam filem ini Hank Parson lakonan Dwayne Johnson merupakan ayah angkat kepada Sean dan telah didesak oleh Sean untuk membawanya ke sebuah pulau misteri untuk mencari datuknya yang telah hilang. Antara pelakon lain yang membintangi filem ini ialah Michael Caine, Vanessa Hudgens, Kristin Davis dan diarahkan oleh Brad Peyton. Dijangka akan ditayangkan pada 19 Januari 2012.


Underworld: Awakening

Konflik antara pontianak dan serigala jadian berlanjutan dalam filem Underworld: Awakening. Kali ini keadaan menjadi lebih buruk apabila kedua-dua makhluk ini dapat dikesan oleh pihak manusia menjadikan peperangan tiga penjuru. Kate Beckinsale kembali membawakan watak Selena dan pelakon lain yang turut membantu ialah Michael Ealy, India Eisley, Stephen Rea dan diarahkan oleh Måns Mårlind dan Björn Stein. Tarikh tayangan 19 Januari 2012.


Haywire

Ketepi Angelina Jolie, beri laluan kepada Gina Carano. Mengisahkan tentang seorang perisik wanita bernama Mallory Kane yang telah dikhianati oleh agensi perisikannya. Kini Mallory menjadi buruan agensi berkenaan untuk dihapuskan bagaimanapun ia tidak begitu mudah kerana Mallory yang diburu mula menjejaki pemburunya sendiri. Filem aksi yang hebat lakonan Gina Carano, Channing Tatum, Michael Fassbender, Ewan McGregor, Michael Douglas dan Antonio Banderas. Diarahkan oleh Steven Soderbergh dan dijangka akan ditayangkan pada 1 Februari 2012.


Azura

Pembikinan semula untuk filem box-office tahun 80'an dengan judul yang sama. Azura versi terkini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Azura yang kehilangan ibu dan bapanya dalam suatu tragedi sekitar tahun 90'an. Di bawah jagaan keluarga angkat, Azura berazam untuk menjadi seorang yang cemerlang dalam pelajaran dan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Sewaktu di universiti, Azura telah bertemu dengan seorang pemuda bernama Zek. Bermula sebagai teman akhirnya mereka dilamun cinta namun mendapat tentangan daripada orang tua mereka. Mereka kemudian merancang untuk melarikan diri ke London. Dibintangi oleh Neelofa, Shahz Jaszle, Afdlin Shauki dan diarahkan oleh Aziz M. Osman. Dijangka akan ditayangkan pada 2 Februari 2012.


Star Wars: Episode I The Phantom Menace 3D

Penerbit francais Star Wars, George Lucas mengumumkan akan mengeluarkan kembali keenam-enam episod Star Wars namun kali ini dalam format 3D. Meskipun filem ini pernah ditayangkan dan ramai yang telah mengetahui akan jalan ceritanya namun ia dijangka akan tetap menjadi box-office kerana peminat-peminat Star Wars memang menantikan kembalinya filem-filem Star Wars ke layar perak. Tarikh tayangan pada 9 Februari 2012.


Ghost Rider: Spirit of Vengeance

Filem kedua superhero Marvel Comics iaitu Ghost Rider. Nicholas Cage kembali membawakan watak Johnny Blaze, seorang stuntman yang dihantui sisi gelap dirinya iaitu Ghost Rider. Johnny Blaze merantau sehingga ke Eropah Timur dan tinggal di sebuah biara yang merupakan markas untuk sebuah pertubuhan rahsia. Johnny Cage kemudian diminta oleh pertubuhan tersebut untuk menyelamatkan seorang budak lelaki daripada dijadikan hamba syaitan. Pada mulanya Blaze enggan berbuat demikian tetapi kemudian beranggapan dengan sumpahan yang ada pada dirinya, mungkin dia boleh melakukan sesuatu yang baik dengannya. Selain Nicholas Cage filem ini turut dibintangi oleh Idris Elba, Ciaran Hinds dan Christopher Lambert. Filem ini diarahkan oleh Mark Neveldine dan Brian Taylor. Tarikh tayangan pada 16 Februari 2012.


The Devil Inside

Sebuah filem seram berkonsep mockumentary, The Devil Inside mengisahkan tentang seorang wanita bernama Maria Rossi yang telah membunuh tiga orang paderi sewaktu aktiviti menghalau hantu (exorcism) dilakukan kepadanya. Maria Rossi kemudian ditahan di sebuah biara di Rom, Itali. 20 tahun kemudian, anak perempuannya yang bernama Isabella cuba untuk membongkar apakah yang sebenarnya berlaku dan benarkah ibunyai dirasuk oleh iblis seperti yang didakwa oleh pihak pendakwah. Dilakonkan oleh Fernanda Andrade, Simon Quarterman, Evan Helmuth dan diarahkan oleh William Brent Bell. Tarikh tayangan pada 23 Februari 2012.


The Girl With the Dragon Tattoo

Filem yang dibikin semula daripada filem Sweden dengan judul yang sama yang diadaptasi daripada novel popular tulisan Stieg Larsson. Ia mengisahkan tentang seorang penulis bernama Mikael Blomkvist yang telah diupah oleh seorang lelaki bernama Henrik Vanger untuk menyiasat tentang misteri kehilangan seorang gadis selama 40 tahun. Dengan bantuan seorang penggodam komputer bernama Lisbeth, mereka mendapati bahawa terdapat rahsia yang tersembunyi di dalam keluarga Vanger. Dibintangi oleh Daniel Craig, Rooney Mara, Stellan Skarsgard, Robin Wright Penn, Christopher Plummer dan diarahkan oleh David Fincher. Tarikh tayangan pada 23 Februari 2012.


Cinta Kura-Kura

Sebuah filem romantik yang diselitkan dengan animasi mengisahkan tentang seorang gadis bernama Nani yang memelihara seekor kura-kura yang diberi nama Nico. Nico mempunyai kelebihan luar biasa iaitu ia boleh bercakap. Nani bersama adiknya Amin pindah ke sebuah rumah baharu dan berjiran dengan seorang pemuzik bernama Adam. Nani jatuh cinta kepada Adam dan perkara ini dapat dikesan oleh Nico yang cemburu dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menghalang percintaan Nani dan Adam. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila majikan Nani iaitu Fadzly berpura-pura rapat dengan Nani semata-mata untuk mencuri Nico dan menjualkannya di restoran makanan eksotik. Dibintangi oleh Tiz Zaqyah, Aeril Zafrel, Zizan, Harun Salim Bachik, Fizz Fairuz dan diarahkan oleh Nizam Zakaria. Tarikh tayangan pada 1 Mac 2012.


Bunohan

Mengisahkan tentang seorang jaguh tomoi bernama Adil yang telah melanggar perjanjian pertandingan tomoi secara haram dan melarikan diri ke Malaysia. Dia diburu oleh seorang pembunuh upahan bernama Ilham. Ilham dan Adil sebenarnya adalah adik beradik bagaimanapun mereka tidak mengetahuinya kerana terpisah sejak kecil. Apabila Adil sampai ke kampung kelahirannya, Bunohan di Kelantan, ia bertemu dengan abangnya, Bakar yang kebetulan pulang ke kampung untuk menguruskan harta peninggalan bapa mereka. Namun, Bakar sebenarnya mempunyai niat yang jahat selain untuk menguruskan harta pusaka dan Bunohan akan menentukan nasib ketiga beradik ini. Dibintangi oleh Zahiril Adzim, Faizal Hussin, Wan Hanafi Su, Pekin Ibrahim dan diarahkan oleh Dain Said. Tarikh tayangan pada 8 Mac 2012.


John Carter

Sebuah lagi filem yang diadaptasi daripada penulis kisah Tarzan iaitu Edgar Rice Burroughs. John Carter mengisahkan tentang seorang anggota tentera bernama John Carter yang secara tidak sengaja telah sampai ke planet Marikh oleh sejenis kuasa. Di Marikh, John Carter secara tidak langsung telah terlibat dengan konflik di antara kedua buah pihak di Marikh atau dikenali juga sebagai Barsoom oleh penduduk tempatan. Dibintangi oleh Taylor Kitsch, Mark Strong, Lynn Collins, Willem Dafoe, Thomas Haden Church dan diarahkan oleh Andrew Stanton.


The Hunger Games

Sebuah filem sains fiksyen yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Suzanne Collins, mengisahkan tentang kejatuhan negara Amerika yang digantikan dengan negara baru bernama Panem. Panem dibahagikan kepada 13 daerah. Setiap tahun, dua orang wakil daripada setiap daerah akan dipilih secara rawak untuk menyertai suatu pertandingan yang dikenali sebagai The Hunger Games. Pertandingan tersebut akan disiarkan secara langsung melalui televisyen dan tiada syarat dikenakan terhadap peserta sebaliknya peserta harus menamatkan pertandingan tersebut dan menghapuskan pesaing mereka dengan apa cara sekalipun termasuk membunuh. Dibintangi oleh Jennifer Lawrence, Josh Hutcherson, Stanley Tucci, Liam Hemsworth, Woody Harrelson, Toby Jones, Donald Sutherland, Lenny Kravitz dan diarahkan oleh Gary Ross. Tarikh tayangan pada 22 Mac 2012.


The Vow

Sebuah filem romantik yang berdasarkan kepada kisah benar ini mengisahkan tentang pasangan baru berkahwin iaitu Leo dan Paige yang menempuh ujian dalam hidup mereka setelah terbabit dalam suatu kemalangan jalanraya. Paige, isteri kepada Leo berada dalam koma akibat dari kemalangan tersebut. Apabila Paige sedar daripada koma, ia bukanlah suatu yang agak menggembirakan kerana Paige hilang ingatan dan tidak mengenali langsung akan suaminya, Leo. Filem ini dibintangi oleh Channing Tatum, Rachel McAdams, Sam Neill, Scott Speedman, Jessica Lange dan diarahkan oleh Michael Sucsy. Tarikh tayangan pada 22 Mac 2012.


Wrath of the Titans

Sekuel untuk filem Clash of the Titans. Wrath of the Titans mengisahkan tentang Perseus yang telah berjaya membunuh rasaksa ganas bernama Kraken menjalani hidup sendiri sebagai seorang nelayan. Bagaimanapun, perbalahan kuasa terjadi antara Dewa-Dewa di Gunung Olympus. Apabila Hades dan Ares merancang untuk menggulingkan Zeus, Perseus kembali ke Gunung Olympus untuk menyelamatkan keadaan dan dia tidak keseorangan kerana turut dibantu oleh Andromeda, Argenor dan Hephaestus. Dibintangi oleh Liam Neeson, Sam Worthington, Rosamund Pike, Ralph Fiennes, Bill Nighy, Danny Huston dan diarahkan oleh Jonathan Liebesman. Tarikh tayangan 29 Mac 2012.

Tiada ulasan: