Selasa, 27 Disember 2011

Planet mana yang lucah? Uranus


Sejak Tom Cruise membawakan watak Ethan Hunt untuk filem Mission: Impossible pada tahun 1996, ia telah berjaya membawa pembaharuan kepada siri TV Mission: Impossible yang sinonim dengan watak Jim Phelps yang dilakonkan oleh mendiang Peter Graves.

Tidak dinafikan juga, gaya Tom Cruise yang lebih santai meskipun membawa watak sebagai seorang agen rahsia kerajaan menjadikannya lebih popular dan diterima ramai berbanding watak James Bond yang sentiasa kelihatan segak dan kemas, lebih kepada gaya playboy dan dikelilingi dengan kemewahan.

Kemungkinan atas faktor itu maka pihak penerbitan filem Bond membikin 'reboot' untuk filem Bond dan memilih Daniel Craig yang lebih muda daripada kebanyakan pelakon yang membawakan watak Bond untuk menarik minat penonton sekarang yang lebih sukakan perisik yang muda dan ranggi seperti Ethan Hunt dan Jason Bourne.

Mission Impossible: Ghost Protocol merupakan filem yang terbaik dalam siri filem Mission Impossible. Begitulah pendapat aku. Plot dan jalan ceritanya baik dan teratur. Nampaknya hasil kerja daripada pengarah yang sinonim dengan filem-filem animasi iaitu Brad Bird (The Incredibles, Ratatouille) ini boleh dibanggakan.

Adegan sewaktu di bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa memang mendebarkan. Aku tak dapat bayangkan bagaimana keadaannya jika menonton versi 3D (aku belum pernah menonton filem 3D atas faktor kesihatan).

Simon Pegg diberikan watak besar kali ini. Untuk watak Brij Nath, aku yakin watak ini tidak akan sanggup dilakonkan oleh Shah Rukh Khan, Salman Khan, Amir Khan, Saif Ali Khan ataupun hero-hero Bollywood yang lain, namun ia dibawakan dengan baik oleh Anil Kapoor. Tahniah patut diberikan kepadanya kerana mengetepikan ego sebagai seorang bintang Bollywood yang tersohor untuk membawakan watak sebegitu.

Khabarnya Mission: Impossible akan dilanjutkan lagi kepada Mission: Impossible 5 yang mungkin akan mengekalkan pelakon yang sama dalam Ghost Protocol. Kemungkinan juga pelakon sebelum ini seperti Ving Rhames akan muncul dalam filem tersebut.

Apa kaitannya judul entri aku dengan filem Ghost Protocol? Tonton saja filem itu dari mula hingga akhir.

Conclusion: puas hati.

Tiada ulasan: