Selasa, 11 Oktober 2011

Apabila pembunuh diburu pembunuh


Puas hati! Itulah perasaan aku selepas menonton filem ini.

Sudah agak lama aku tidak menonton sebuah filem dengan plot mengenai jenayah terancang sejak filem Italian Job (versi Michael Caine dan juga versi remake), Heat lakonan Al Pacino, Robert De Niro dan Val Kilmer dan yang terbaru ialah filem ini, Killer Elite.

Berdasarkan novel The Feathermen karya Ranulph Fiennes (adalah kisah benar pengalaman Fiennes sendiri sebagai bekas anggota SAS iaitu pasukan elit British).

Plot filem ini bolehlah dikatakan seperti 'buku bertemu ruas' apabila beberapa orang bekas anggota SAS menjadi buruan sekumpulan pembunuh upahan yang diupah oleh seorang Sheikh.

Ia bermula apabila seorang pembunuh yang 'insaf' bernama Danny Bryce (Jason Statham) telah diupah oleh seorang Sheikh (boleh dikatakan sebagai pertukaran kepada rakan Danny iaitu Hunter (Robert De Niro) yang menjadi tawanan Sheikh tersebut.

Sheikh itu yang sedang nazak dan hanya mempunyai masa beberapa bulan untuk hidup mahu melihat pembunuh tiga orang anaknya 'dihukum'. Dia mahukan setiap mereka yang terlibat dalam pembunuhan anaknya membuat pengakuan di dalam pita video sebelum nyawa mereka diambil.

Danny kemudian mendapatkan bantuan rakan-rakannya iaitu Davies (Dominic Purcell) dan Meier (Aden Young). Mereka kemudian merangka strategi untuk membunuh ketiga-tiga bekas anggota SAS tersebut.

Malangnya apabila mereka cuba menjejaki ketiga-tiga bekas anggota SAS itu, kegiatan mereka telah dapat dihidu oleh sekumpulan bekas anggota SAS yang menggelarkan kumpulan mereka The Feathermen dan mengarahkan anggota terbaik mereka, Spike Logan (Clive Owen) untuk menyiasat dan menggagalkan rancangan mereka.

Antara pelakon lain yang membintangi filem ini ialah Yvonne Strahovski, Adewale Akinnuoye-Agbaje, Ben Mendelsohn dan David Whiteley. Filem ini diarahkan oleh Gary McKendry.

Tiada ulasan: