Khamis, 15 September 2011

Ilusi optik

(Aku menulis entri ini ketika minda aku tengah kosong, tak sangka hasilnya tidaklah begitu teruk).

Sejak teknologi CGI digunakan dalam industri perfileman, ia memungkinkan para pengarah dan pembikin filem untuk memvisualkan sesuatu yang agak mustahil untuk dipaparkan di dalam filem beberapa tahun dahulu dan terpaksa menggunakan kreativiti untuk memvisualkan adegan tersebut.

Lazimnya apabila hendak menggambarkan rasaksa melanggar sebuah kota atau mengejar manusia, pembikin filem era 50'an, 60'an dan 70'an akan menggunakan teknik stop-motion dan membikin model rasaksa daripada tanah liat.

Mungkin industri perfileman Jepun lebih jujur apabila menonjolkan rasaksa mereka yang sebenarnya adalah manusia memakai pakaian rasaksa, lazim kita lihat dalam filem-filem daikaju seperti Godzilla dan Ultraman.

Ray Harryhausen, bapa perfileman stop-motion


Antara pembikin filem menggunakan stop-motion terkenal ialah seperti Ray Harryhausen (The 7th Voyage of Sinbad, Clash of the Titans versi 80'an), Tim Burton (The Corpse Bride, Vincent, James and the Giant Peach, The Nightmare Before Christmas), Henry Selick (Coraline) dan Nick Park (Wallace & Gromit: The Curse of the Were-Rabbit).

Namun, dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, CGI telah memudahkan kerja-kerja perfileman. Filem seperti Star Wars, Star Trek, Tron dan Alien merupakan filem terawal yang menggunakan CGI ataupun computer animation. Bagaimanapun CGI agak kurang popular ketika era 70'an dan 80'an kerana kosnya yang agak mahal.

Namun apabila Steven Spielberg memperkenalkan filem Jurassic Park pada tahun 1993 ia telah membuka lembaran baru dalam industri perfileman. Spielberg telah memanfaatkan sepenuhnya penggunaan CGI yang telah berjaya 'menghidupkan' kembali dinosaur di layar perak.

CGI kemudian dimanfaatkan lagi oleh Wachowski Brothers untuk filem The Matrix yang telah menjadi ikon dan trendsetter bagi filem-filem Cyberpunk dan Dystopia. The Matrix juga menjadi pencetus kepada adegan bullet time yang kemudian menjadi ikutan filem-filem aksi walaupun sebenarnya bullet time ini telah pun digunakan oleh video muzik di MTV.

Peter Jackson telah mencetuskan fenomena apabila berjaya menghasilkan dongeng JRR Tolkien ke layar perak. Trilogi Lord of the Rings boleh dikatakan sebagai pencetus filem-filem fantasi walaupun sebelum ini telah banyak filem-filem fantasi dibikin menggunakan stop-motion. Selepas Lord of the Rings kita dapat lihat beberapa filem fantasi dikeluarkan seperti Chronicles of Narnia, Pirates of Carribean, Eragon, The Spiderwick Chronicles, Lemony Snicket's A Series of Unfortunate Events dan sebagainya.

kredit imej: wallres.saiswa.com


Setelah fenomena yang dicetuskan oleh Peter Jackson, fenomena tersebut diulangi kembali oleh James Cameron dengan menggunakan sepenuhnya teknologi CGI untuk filem Avatar. Meskipun CGI bukanlah baru bagi James Cameron dan beliau pernah menggunakannya untuk filem Titanic, namun di dalam filem ini ia berjaya mencipta suatu dunia baru dipanggil Pandora. Filem ini juga memenangi anugerah Filem Terbaik dan beberapa anugerah lain di dalam Academy Awards ke-82.

Tidak lama lagi kita akan dapat menyaksikan garapan terbaru gabungan Peter Jackson dan Steven Spielberg yang sekali lagi menggunakan teknologi CGI sepenuhnya. Filem The Adventures of Tintin: Secret of the Unicorn dibikin menggabungkan teknologi motion capture yang pernah digunakan oleh Peter Jackson untuk filem Lord of the Rings dan juga tiga dimensi (3D).

Namun begitu, penggunaan CGI yang agak keterlaluan juga boleh merosakkan mood untuk menonton sesebuah filem, misalnya seperti filem Transformers garapan Michael Bay. Walaupun untuk filem pertama Transformers ia masih boleh diterima namun untuk kedua filem susulannya, ianya agak memualkan. Penggunaan CGI yang agak sederhana dalam filem-filem superhero terbitan Marvel seperti Spider-Man, Thor, The Incredible Hulk dan Ghost Rider adalah contoh terbaik bagaimana untuk memanfaatkan teknologi tersebut.

Tiada ulasan: