Selasa, 8 Februari 2011

Gary Moore, penyanyi berwajah muram


Lagu Still Got the Blues adalah sebuah lagu berentak ballad yang dinyanyikan oleh Gary Moore pada tahun 1990. Meskipun lagu ini telah pun berusia 21 tahun namun masih segar dan sering dimainkan di radio. Sayangnya penyanyi lagu ini sudah tiada lagi di dunia ini.

Kematian Gary Moore begitu mengejutkan dunia muzik rock seluruh dunia, setelah dikejutkan dengan kematian penyanyi kumpulan DIO, Ronnie James Dio pada tahun 2010. Gary Moore ditemui mati di dalam sebuah bilik di Kempinski Resort Hotel, Estepona, Sepanyol pada 6 Februari 2011. Gary Moore disyaki terkena serangan jantung.

Gary Moore atau nama sebenarnya Robert William Gary Moore dilahirkan pada 4 April 1952 di Belfast, Ireland Utara, United Kingdom.

Gary Moore mula bermain gitar ketika berusia lapan tahun. Ketika berusia 14 tahun Gary Moore telah mempelajari teknik bermain gitar. Ketika berusia 16 tahun Gary Moore berhijrah ke Dublin, Ireland dan telah terpengaruh dengan pemuzik-pemuzik seperti Albert King, Elvis Presley dan The Beatles. Gary Moore juga berpeluang menyaksikan persembahan Jimi Hendrix dan John Mayall's Bluesbreaker sewaktu di Belfast yang telah membuatkannya berminat dengan muzik blues rock.

Di saat ini juga Gary Moore telah menyertai kumpulan rock Skid Row (bukan band heavy metal Amerika) yang dianggotai oleh Noel Bridgeman dan Brendan 'Brush' Shiels.

Pengaruh paling kuat yang diterima oleh Gary Moore ialah daripada Peter Green, gitaris kumpulan Fleetwood Mac yang juga merupakan mentor kepada Gary Moore. Disebabkan begitu menghargai dan menyanjungi Peter Green, Gary Moore telah membikin sebuah album tribute kepada Peter Green pada tahun 1995. Album berjudul Blues for Greeny memuatkan hampir kesemua lagu-lagu ciptaan Peter Green. Gary Moore juga turut bermain gitar Les Paul Standard 1959 kepunyaan Peter Green di dalam album ini. Gary Moore kemudian membeli gitar tersebut daripada Peter Green dan Green menyifatkan gitar tersebut berada di 'rumah' yang lebih baik.

Gary Moore kemudiannya telah menjadi idola dan pengaruh kepada ramai pemuzik dan gitaris yang lain seperti Vivian Campbell, Patrick Rondat, Jake E. Lee, John Norum, Joe Bonamassa, Adrian Smith, Zakk Wylde, Randy Rhoads, John Sykes dan Kirk Hammett.

Gary Moore juga pernah berkolaborasi dan mengadakan persembahan bersama artis-artis lain antaranya pemain gitar The Beatles iaitu George Harrison, Trilok Gurtu, Dr. Strangely Strange, Colosseum II, Albert Collins, Jimmy Nail, Mo Foster, Ginger Baker, Jack Bruce, Jim Capaldi, Vicky Brown, Cozy Powell, The Beach Boys, Ozzy Osbourne, BB King dan juga komposer muzik terkenal Andrew Lloyd Webber.

Muzik yang dimainkan oleh Gary Moore juga agak variasi dan bukan hanya tertumpu kepada muzik rock dan blues sahaja. Antara genre yang turut dimainkan oleh Gary Moore ialah jazz, country, electric blues, hard rock dan heavy metal.

Gary Moore membikin album solo pertamanya pada tahun 1973 berjudul Grinding Stone. Pada tahun 1979 lagunya berjudul Parisienne Walkways telah memasuki carta Top Ten di UK Singles Chart. Setelah meninggalkan kumpulan Skid Row, Gary Moore menyertai kumpulan Thin Lizzy dan albumnya bersama Thin Lizzy iaitu Black Rose: A Rock Legend telah menduduki tempat kedua di UK Album Chart pada tahun 1979. Bagaimanapun Gary Moore meninggalkan Thin Lizzy pada bulan Julai 1979, ketika mengadakan tour di Amerika Syarikat.

Pada tahun 2002 Gary Moore telah menubuhkan sebuah kumpulan bernama Scars bersama-sama Cass Lewis dari kumpulan Skunk Anansie dan Darrin Mooney dari kumpulan Primal Scream. Kumpulan Scars telah mengeluarkan sebuah album berjudul Scars pada tahun yang sama.

Sumber: wikipedia.

Tiada ulasan: