Ahad, 13 Februari 2011
Asal Usul Rock 'n' Roll 6
Selepas Perang Dunia Kedua, kehidupan di Britain sekitar tahun 50'an amat membosankan. Pencatuan masih dilakukan dan tiada 'remaja' di Britain pada zaman itu. Fenomena bermula apabila beberapa belia golongan 'working-class' di bandar mula mencari identiti baru. Mereka memilih fesyen gaya Edwardian yang aneh, memakai jaket dengan leher yang tinggi yang diperbuat daripada baldu. Pakaian ini dipakai dengan kot labuh broked, kasut but bertali dan seluar panjang yang ketat. Mereka juga membawa rantai basikal yang akan digunakan apabila bergaduh dan sikat yang diletakkan di poket belakang seluar. Sikat ini digunakan untuk menyikat rambut yang disapu minyak secara kerap dengan fesyen rambut yang dipanggil bop atau duck's arse (D.A.).
Pada era ini juga munculnya sekumpulan remaja yang menggelarkan diri mereka sebagai Teddy Boys. Kumpulan Teddy Boys ini sering berpeleseran di sekitar kota London terutamanya di bahagian selatan. Mereka akan berkumpul di kelab-kelab malam untuk menari diiringi muzik yang dimainkan oleh pemuzik-pemuzik Amerika yang tinggal di Britain setelah perang tamat.
Adakalanya kumpulan Teddy Boys ini akan menimbulkan kekacauan seperti pergaduhan dan memusnahkan harta benda awam. Gejala yang dilakukan oleh Teddy Boys ini telah menjadi serius apabila berlakunya pembunuhan seorang remaja pada tahun 1954 menyebabkan kumpulan ini diawasi oleh pihak berkuasa dan menjadi ancaman awam.
Sumber: Rock On! The Rock 'n' Roll Greats karya Colin King
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan