Isnin, 17 Januari 2011

School of Rock, di mana mereka sekarang?

Sekadar suka-suka, ini adalah informasi tentang mereka yang memegang watak pelajar dalam filem School of Rock lakonan Jack Black yang diterbitkan pada tahun 2003. Siapakah mereka dan apakah aktiviti yang mereka lakukan sekarang?

Joey Gaydos Jr.
Membawakan watak Zack Mooneyham, seorang gitaris yang berbakat tetapi pemalu. Joey Gaydos Jr. pernah menubuhkan sebuah band dipanggil The Joey Gaydos Group pada tahun 2005 dan mengeluarkan album debut pada tahun 2006. Pada tahun 2009 Joey Gaydos Jr. pernah ditahan polis kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. (Berita lanjut baca di sini).


Miranda Cosgrove
Membawakan watak Summer Hathaway. Filem School of Rock merupakan filem debut untuk Miranda Cosgrove. Sebelum itu dia pernah muncul dalam siri TV Smallville, melakonkan watak Lana Lang ketika berusia 5 tahun. Kemudian dia dikenali dengan watak Carly Shay dalam sitcom remaja iCarly pada tahun 2007. Filem School of Rock telah mendedahkannya kepada muzik rock klasik. Akibat teruja dengan lagu-lagu Led Zeppelin, Miranda Cosgrove telah belajar bermain gitar dan kemudian telah menjadi penyanyi. Kerjayanya sebagai penyanyi bermula apabila menyanyikan lagu tema siri iCarly iaitu Leave It All To Me. Album debut Miranda Cosgrove berjudul Sparks Fly dikeluarkan pada 27 April 2010 dan menduduki tangga kelapan di carta US Billboard 200 sementara single pertamanya Kissin U menduduki tangga ke-54 di US Billboard 100, tangga ke-19 US Billboard Pop Songs dan tangga ke-36 di US Billboard Adult Pop Songs.


Kevin Clark
Watak Freddy Jones yang bermain drum dan percussions. Kevin Clark dilahirkan di Highland Park, Illinois, Amerika Syarikat pada 3 Disember 1988. Dia telah bermain drum sejak berusia tiga tahun namun tidak mendapat pendidikan formal tentang teknik bermain drum sehinggalah berada di Gred 5. Kevin Clark kemudian menjadi pemain drum untuk kumpulan muzik Highland Park High School. Dia juga menubuhkan band garajnya sendiri dan boleh bermain gitar dan bass. Ketika berlakon filem School of Rock dia baru berusia 13 tahun. Antara band yang pernah dianggotainya ialah band Blind dan Third Estate.


Rebecca Brown.
Membawakan watak Katie, bermain bass untuk band School of Rock. Rebecca Brown sebenarnya adalah seorang gitaris dan mula bermain gitar sewaktu berusia 4 tahun. Dia telah dipilih untuk membintangi filem School of Rock setelah dia muncul dalam sebuah rancangan radio berjudul From The Top ketika berusia 9 tahun. Dia juga berkebolehan menyanyi dan pernah menjadi vokalis untuk kumpulan Sweet Revenge pada tahun 2004. Jack Black memanggilnya dengan panggilan Reeba Deeba ketika berlakon filem School of Rock. Laman peribadi beliau di sini.


Robert Tsai
Melakonkan watak Lawrence yang bermain keyboard. Seperti Rebecca Brown, bakat Robert Tsai juga dicungkil melalui program radio From The Top sewaktu berusia 11 tahun. Robert Tsai merupakan seorang pemain piano klasikal dan pernah memenangi NJMTA Young Musicians Competition ketika berusia 17 tahun.


Maryam Hassan
Membawakan watak Tomika yang mempunyai fizikal yang kurang menarik, bagaimanapun memiliki bakat nyanyian yang luarbiasa. Maryam Hassan (nama sebenarnya Maryam Aishah Hassan) dilahirkan di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat pada 27 Januari 1993. Berkebolehan menyanyi dan berlakon, filem School of Rock adalah filem debutnya.