Sebelum tamatnya Perang Dunia Kedua, remaja di zaman tersebut membesar dalam kehidupan yang penuh dengan ketegangan. Lelaki yang telah tamat persekolahan diperlukan untuk menyertai angkatan tentera ataupun mencari pekerjaan manakala gadis-gadis remaja pula akan dikahwinkan dan mempunyai keluarga sendiri. Ada juga beberapa anak lelaki dan perempuan yang dihantar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat kolej dan universiti. Boleh dikatakan, kebebasan remaja pada waktu itu disekat dan segala keputusan ditentukan oleh orang tua mereka.
Sekitar tahun 1950-an, sikap remaja di Barat telah berubah. Generasi ibu bapa mereka yang telah mengalami kehidupan sewaktu peperangan telah sedar tentang keutamaan hidup. Keluarga mereka telah menjadi fokus utama mereka. Ibu bapa tidak lagi mengongkong anak mereka dan lebih mengutamakan permintaan anak-anak mereka menyebabkan remaja pada waktu itu agak dimanjakan. Akibatnya, remaja telah diberikan kebebasan yang agak luas menjadikan mereka kurang serius akan kehidupan mereka dan lebih banyak bersantai. Budaya liberal yang baru ini juga menyebabkan ibu bapa tidak lagi membuat keputusan untuk anak-anak mereka sebaliknya ia ditentukan oleh mereka sendiri.
Sebelum Perang Dunia Kedua pendedahan remaja tehadap muzik agak terbatas. Orang tua mereka menentukan muzik bagaimanakah yang harus didengari dan kebanyakan muzik adalah persembahan kaum kulit putih yang diterbitkan oleh Tin Pan Alley. Pada era 50-an remaja menjadi lebih suka berahsia, terlibat dalam kumpulan, murung, defensif dan semakin kurang menghormati orang tua mereka. Keadaan ini dipanggil sebagai 'Jurang Generasi' ataupun The Generation Gap. Kesalahan juvana semakin meningkat dan menjadi tajuk utama di media ketika itu. Ibu bapa menjadi keliru dan berfikir bahawa perkara paling buruk telah pun berlaku dan mula untuk menghalang anak mereka daripada mendengar muzik-muzik yang dikatakan merosakkan moral mereka, namun lebih banyak mereka menghalang, lebih meningkatkan populariti muzik tersebut. Dengan terciptanya radio yang dipanggil transistor menjadikan para remaja berpeluang mendengar muzik di mana sahaja mereka berada.
Dengan permintaan yang bertambah terhadap muzik, ditambah pula dengan perkembangan teknologi, menyebabkan lebih banyak stesen radio ditubuhkan. Di restoran dan bar semakin banyak mesin yang dipanggil jukebox ditempah yang memainkan muzik-muzik persembahan penyanyi dan kugiran popular. Penyanyi-penyanyi dan juga kugiran ini pula mempersembahkan muzik mereka yang mampu mempengaruhi masyarakat. Akibat daripada pengaruh ini maka cara berpakaian, kepercayaan, sosial dan gaya pertuturan remaja mula berubah. Mereka lebih banyak menghabiskan masa untuk berparti dan berpeleseran di sana-sini. Mereka juga mula membentuk kumpulan mereka sendiri dan mencipta muzik baru serta tarian baru yang lebih bertenaga daripada muzik yang didengari oleh orang tua mereka. Selain daripada muzik rancak mereka juga mencipta lagu-lagu berentak perlahan sebagai melepas kepenatan setelah memainkan dan menari lagu-lagu rancak. Era muzik baru telah pun bermula dan ia dipanggil rock 'n' roll. Muzik jenis ini telah menyebabkan beberapa studio rakaman dibuka dan kemudian ia dipanggil industri rakaman. Bagaimanapun, orang yang mula-mula memperkenalkan muzik rock 'n' roll ke seluruh Amerika dan seterusnya ke seluruh dunia bukanlah seorang pemuzik ataupun penyanyi, sebaliknya seorang DJ radio bernama Alan Freed. Kisah Alan Freed akan aku ceritakan dalam entri yang akan datang.
Sumber: Buku Rock On! The Rock 'n' Roll Greats karya Colin King.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan