Jumaat, 21 Januari 2011

Muzik dan Dosa

Soalan: Sebagai orang muda, saya memang gemar mendengar muzik, membaca majalah hiburan dan menonton program hiburan. Malah, masa terluang di pejabat juga dihabiskan untuk ini. Jika berbual dengan rakan juga, topik artis yang jadi berita panas. Semasa membuat kerja, saya pasti memasang lagu dan terasa saya lebih bersemangat untuk bekerja. Baru-baru ini saya dengar ada ustaz berkata, mendengar lagu (muzik) boleh melalaikan kita dan menjerumuskan diri dalam perkara tidak baik. Ustaz ini menyebut mengenai anak-anak muda sekarang yang banyak terpesong jalan hidup mereka kerana terikut-ikut dengan budaya muzik yang tidak baik. Soalan saya, apakah hukum mendengar muzik di dalam Islam? Jika dibolehkan, adakah syarat tertentu yang mesti kita patuhi? Ini kerana secara peribadi, saya rasakan walaupun saya begitu meminati muzik dan hiburan tetapi saya tetap berusaha mencukupkan sembahyang dan cuba untuk tidak abaikan tuntutan agama yang lain. Apa pandangan ustazah?


Jawapan: Islam agama fitrah. Itulah sebabnya Islam meraikan fitrah manusia dengan mengizinkan perkara yang menjadi fitrah manusia seperti suka kepada muzik atau hiburan. Namun begitu, fitrah manusia juga tidak suka kepada perkara yang membawa kerosakan atau keburukan. Bagi meraikan fitrah itu, Islam menetapkan peraturan dan hukum dalam hal kehidupan manusia supaya tidak berlawanan dengan fitrah tersebut. Begitu juga halnya dengan muzik atau hiburan.

Perkara yang berkaitan dengan muzik dan nyanyian sering menimbulkan kontroversi dan kekeliruan mengenai hukum dan keharusannya. mendengar muzik atau nyanyian tidaklah haram selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam, adab kesopanan dan tidak melalaikan sehingga meninggalkan ibadah kepada Allah. Menurut Yusuf al-Qaradhawi, Islam membolehkan nyanyian selama ia tiada mengandungi kata-kata yang kotor, cabul dan menghasut kepada perbuatan dosa dan maksiat. Jika kita teliti hadis-hadis Rasulullah tentang hal ini, ada beberapa peristiwa yang menunjukkan bahawa muzik dan nyanyian atau hiburan itu diharuskan. Contohnya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah yang bermaksud:

"Daripada Aisyah r.a bahawa dia pernah menghantar pengantin perempuan ke tempat pengantin lelaki dari seorang Ansar. Maka Nabi SAW bersabda: Hai Aisyah, apakah mereka disertai dengan hiburan, kerana sesungguhnya orang-orang Ansar itu memang suka mengadakan hiburan."

Dengan hadis tersebut, difahami bahawa nyanyian serupa itu tidak diharamkan. Tetapi yang diharamkan sekiranya nyanyian, muzik atau hiburan yang membawa kepada perkara haram seperti percampuran yang melampaui batas antara lelaki dan wanita, minum arak, fitnah dan umpatan atau hiburan yang boleh mendorong kepada perkara maksiat serta melalaikan manusia. Sekiranya saudari merasakan bahawa saudari mendengar muzik sekadarnya sahaja dan tidak melampaui batas atau melalaikan, maka dibenarkan. Berdasarkan kepada apa yang diceritakan oleh saudari, kelihatannya saudari terlalu memberi tumpuan kepada dunia artis dan hiburan sehingga waktu kerja pun mendengar lagu.

Pada pandangan saya, itu sudah keterlaluan dan melekakan saudari walaupun tidak sampai melupakan ibadah. Namun begitu, alangkah baiknya, jika halwa telinga kita ini dihidangkan dengan ayat-ayat al-Quran yang sudah pasti mendapat pahala berbanding mendengar lagu yang tidak mendapat pahala. Dalam perbualan juga, alangkah baiknya kita berbicara dengan memilih topik-topik yang lebih berbentuk ilmu, meningkatkan keimanan, mutu kerja dan isu-isu semasa yang memerlukan bantuan kita seperti menangani masalah sosial masyarakat atau remaja. Saya amat berharap saudari mengubah sedikit tabiat tersebut kepada perkara yang lebih bermanfaat. Semoga kehidupan saudari lebih dirahmati dan diberkati.

Dicuplik daripada buku Soal Jawab Wanita terbitan Buku Prima untuk manfaat semua.

1 ulasan:

Unknown berkata...

aku sgt suka blog ni!