Jumaat, 21 Januari 2011

Muzik dan Dosa 2

Soalan: Bolehkah kita mendengar lagu Inggeris, Melayu dan sebagainya? Saya pernah terbaca bahawa muzik itu adalah sebahagian perkara yang melalaikan. Harap ustazah menjawab kemusykilan saya.


Jawapan: Seni muzik seperti nyanyian merupakan sebahagian daripada kegiatan kesenian dan hiburan. Secara asasnya, seni merupakan suatu bentuk keindahan yang diharuskan dalam Islam. Ini kerana perkara yang indah boleh mendamai jiwa dan perasaan. Citarasa seseorang berbeza di antara individu dengan individu yang lain menyebabkan wujud pelbagai bentuk seni.

Islam agama yang bersifat fitrah, tidak pernah menolak sesuatu yang bersesuaian dengan fitrah selagi ia bertepatan dengan syarak. Dalam hal ini, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, ulama dan sarjana Islam telah menghuraikan tentang hukum kesenian termasuk muzik dan nyanyian dalam bukunya yang bertajuk al-Halal wa al-Haram fi al-Islam. Beliau menyatakan bahawa Islam mengakui kewujudan manusia dengan fitrah dan keinginannya yang tersendiri, termasuklah perkara yang berkaitan dengan nyanyian dan hiburan. Tetapi selagi ia tidak membawa kepada perkara yang haram seperti mengandungi kata-kata yang kotor, cabul dan mengajak kepada perbuatan maksiat dan dosa.

Dalam hadis Rasulullah, didapati nyanyian itu dibenarkan pada upacar-upacara yang menggembirakan dan tidak melalaikan, sekadar untuk menghiburkan jiwa sahaja. Contoh hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. yang bermaksud:

"Daripada Aisyah, bahawa dia pernah menghantarkan pengantin perempuan ke tempat lelaki dari seorang Ansar. Maka, Nabi bersabda kepadanya: "Hai Aisyah, apakah mereka disertai dengan hiburan, kerana sesungguhnya orang-orang Ansar itu memang suka mengadakan hiburan."

Jelas di sini menunjukkan bahawa, nyanyian dan hiburan tidak secara total haram. Hukumnya harus. Ia menjadi haram sekiranya nanyian itu melalaikan kita daripada menunaikan ibadah kepada Allah, berlaku percampuran yang bebas antara lelaki dan wanita, mengandungi majlis hiburan yang melampaui batas seperti minum arak dan pesta-pesta ke arah maksiat. Sekadar mendengar untuk hiburan halwa telinga sebentar dan merehatkan fikiran tidak kira bahasa apapun nyanyian itu adalah harus.

Dicuplik daripada buku Soal Jawab Wanita terbitan Buku Prima untuk manfaat semua.

Tiada ulasan: