Isnin, 24 Januari 2011

Asal Usul Rock 'n' Roll 5

Kewujudan gitar elektrik berpunca daripada populariti muzik Hawaii sekitar tahun 1920an dan 1930an. Gitar-gitar Hawaii adalah instumen solo yang dimainkan bersama slaid logam. Gitar-gitar Hawaii elektrik adalah instrumen yang pertama bergantung keseluruhannya kepada bunyi yang diperkuatkan menggunakan elektrik berbanding gitar biasa yang dimainkan secara akustik.

Fender Stratocaster

Adolph Rickenbacker yang pada asalnya membikin komponen-komponen untuk gitar keluaran Dopera Brothers telah bertemu dengan George Beauchamp dan Paul Barth yang telah mengusahakan prinsip 'pick-up' magnetik.

Mereka telah menubuhkan Electro String Company dan pada tahun 1931 mereka telah mengeluarkan gitar-gitar Hawaii elektrik. Kejayaan mereka telah menyebabkan syarikat-syarikat lain mula mengeluarkan gitar-gitar elektrik mereka sendiri.

Fender Telecaster

Sekitar tahun 1940an gitar-gitar elektrik keluaran Gibson menjadi kelaziman bagi pemuzik-pemuzik era itu dan masih popular sehingga kini. Pada tahun 1944, Leo Fender, seorang pakar membaiki radio dan Doc Kaufman, bekas pekerja syarikat Rickenbacker telah menubuhkan syarikat bernama K&F Company. Mereka telah mengeluarkan beberapa gitar keluli dan amplifier. Fender merasakan 'pick-up' magnet yang digunakan pada zaman itu tidak perlu terlalu besar. Dia mereka 'pick-up' yang lebih kecil untuk dimasukkan ke dalam rangka gitar berdasarkan pada bentuk gitar Hawaii tetapi dengan papan jari (fingerboard) yang dipasang fret dengan lebih sempurna. Meskipun gitar itu dikeluarkan untuk tujuan demonstrasi, namun permintaan untuk gitar tersebut amat menggalakkan. Pada tahun 1946, Fender Electric Instrument Company telah ditubuhkan dan Broadcaster yang kemudiannya dinamakan Telecaster telah dikeluarkan. Pada tahun 1954 Fender telah mengeluarkan Stratocaster di samping Telecaster.

Les Paul

Pada masa yang sama, Les Paul yang mendapat inspirasi daripada biola ciptaan Thomas Edison telah membuat pengubahsuaian dengan 'pick-up' di dalam rangka gitar untuk mengurangkan masalah tindakbalas. Dia telah memohon kepada Epiphone untuk menggunakan bengkel mereka dan pada tahun 1941 dia telah menghasilkan sejenis gitar yang dipanggil gitar 'log'. Dia kemudian telah bergabung bersama Gibson dan menghasilkan gitar Gibson 'Les Paul' yang terkenal, di mana menjadi sinonim kepada gitaris-gitaris dan bintang rock terkemuka.

Sumber: Rock On! The Rock 'n' Roll Greats karya Colin King.

Tiada ulasan: