Selasa, 25 Januari 2011

Legenda Rock 'n' Roll - Alan Freed

Alan Freed merupakan seorang penyampai radio yang berpengaruh dan popular sekitar tahun 50an. Alan Freed menjadi ikon rock 'n' roll meskipun dia tidak bermain muzik tersebut. Alan Freed dikatakan sebagai individu yang telah memperkenalkan istilah 'rock and roll' apabila sering mengungkapkan perkataan itu sewaktu mengendalikan rancangan radionya.

Alan Freed mula bertugas sebagai DJ di stesen radio WJW dan mengendalikan rancangan yang bernama Moondog. Rancangan tersebut mendapat sambutan hangat di kalangan remaja Amerika dan dikatakan Alan Freed telah berjaya menarik seramai 25,000 orang remaja menyaksikan satu persembahan kugiran.

Akibat populariti Alan Freed, sebuah kumpulan remaja telah menggunakan nama Moonglows yang diilhamkan oleh Freed sendiri berdasarkan nama gelarannya sendiri, Moondog. Di samping itu, Alan Freed turut menulis beberapa buah lagu untuk kumpulan Moonglows.

Alan Freed kemudian berhijrah daripada Cleveland, Ohio ke New York dan menjadi pengacara televisyen. Freed telah mencetuskan kontroversi apabila dikatakan menggalakkan seorang remaja wanita kulit putih menari bersama penyanyi Frankie Lymon yang berkulit hitam di dalam rancangan yang dihoskannya.

Rancangan tersebut disiarkan secara langsung dan mendapat kritikan hebat daripada penonton kerana pada waktu itu sifat perkauman amat menebal di Amerika Syarikat.

Meskipun mendapat sambutan menggalakkan, pihak stesen televisyen telah membatalkan kontraknya begitu juga dengan pihak radio disebabkan oleh kontroversi tersebut. Ini ditambah pula oleh tuduhan-tuduhan rasuah terhadapnya yang menyebabkan dia terpaksa meninggalkan New York.

Alan Freed kemudian mengaku bersalah pada tahun 1962 atas dua tuduhan rasuah komersial dan telah didenda sebanyak US$300. Alan Freed meninggal dalam keadaan menyedihkan akibat ketagihan alkohol dan kemurungan di Palm Springs pada tahun 1965.

Sumber: Wikipedia.

Tiada ulasan: