Filem pertama aku tonton ialah Gulliver's Travels, karya hebat Jonathan Swift yang telah pun dilacurkan oleh Rob Letterman dan Jack Black. Mungkin 20th Century Fox juga harus menanggung dosa yang sama.
Dengan alasan untuk memodenkan karya sastera klasik ini, Gulliver's Travels telah menjadi sebuah filem komedi Jack Black yang hampir sama, aku dapat merasakan kehadiran filem School of Rock, Nacho Libre dan Tenacious D dalam filem ini.
Namun begitu, di sebalik semua tanggapan negatif terselit juga sesuatu yang positif tentang filem ini. Apa yang aku perolehi dari filem ini adalah tentang jurang perbezaan antara orang kecil dan orang besar. Perbezaan ini sering diungkapkan oleh Gulliver sewaktu babak permulaan di mana Gulliver menerima pekerja baru bernama Dan di unitnya iaitu unit penghantar surat. Ketika itu Gulliver merasakan nikmat sebagai orang besar apabila menjadi penyelia kepada Dan namun nikmat itu hanya sementara apabila Dan dinaikkan pangkat menjadi penyelia kepada Gulliver dalam masa sehari.

Ini boleh ditafsirkan sebagai kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat terhadap negara-negara kecil dunia ketiga di mana Amerika sebuah negara yang besar dianggap sebagai pelindung dan penyelamat oleh negara-negara kecil namun dalam masa yang sama kesempatan ini digunakan oleh negara besar untuk membuli negara kecil. Cuba lihat babak di mana Gulliver berbual dengan Horatio sambil berjalan. Gulliver boleh berjalan dengan senang hati manakala Horatio terpaksa berhempas pulas mengejar Gulliver. Walaupun Gulliver berbual dengan Horatio secara ikhlas namun dalam masa yang sama dia menggunakan kelebihannya membuli Horatio. Begitu juga dengan syarat-syarat dan permintaan Gulliver apabila dia dilantik menjadi Jeneral Lilliput.
Namun, kredit tidak patut diberikan kepada penulis skrip filem ini kerana satira ini telah pun diilhamkan oleh Jonathan Swift berkurun yang lalu.

Berpunca daripada Lord of the Rings arahan Peter Jackson dan penggunaan teknologi CGI yang menghidupkan watak-watak fantasi daripada novel ke layar perak, sehingga kepada populariti 3D yang berpunca dari filem Avatar James Cameron, kini begitu banyak filem-filem fantasi dilambakkan di pawagam. Mungkin pada mulanya agak menarik dan mengujakan, namun akhirnya kita harus akui bahawa semakin lama kita semakin muak apabila disogokkan dengan perkara yang sama. Begitu juga halnya dengan filem-filem superhero dan filem-filem hantu perempuan rambut panjang tutup muka.
Satu lagi yang menjadi sejarah bagi aku, kedua-dua filem ini aku tonton tanpa mengeluarkan sesen pun duit aku, orang belanja!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan