Perbezaan utama antara muzik Afrika dan Eropah adalah muzik Afrika mempunyai pelbagai irama manakala muzik Eropah digubah dengan pelbagai nada. Ia tidak bermaksud bahawa ritma atau nada dikeluarkan daripada salah satu muzik. Sebaliknya kedua-dua budaya menumpu dan mengorganisasi pendekatannya untuk membuat muzik sekitar premis yang berbeza.
Pemuzik-pemuzik tradisional Afrika yang lebih menumpukan kepada ritma daripada nada akan menambah pelbagai jenis pembayang (shadings) kepada nada. Ini menyebabkan nota-nota mereka berbunyi sumbang pada pendengaran orang Eropah. Skala modalnya juga berbeza. Muzik Eropah menggunakan skala muzik standard (do, re, mi, fa, so, la, ti, do). Untuk menyesuaikan dengan instrumen muzik Eropah, kaum kulit hitam Amerika telah membuat pengubahsuaian dan mencipta sejenis nota yang dipanggil 'Blue Notes' (nota-nota kelima dan ketujuh daripada lapan nota muzik diatonik diratakan). Mereka telah mencipta teknik menggesek tali gitar menggunakan mata pisau atau leher botol (bottleneck technique). Satu lagi teknik adalah memukul dan menarik tali gitar untuk mengeluarkan kesan bunyi yang menarik.
Di selatan Amerika Syarikat terdapat tradisi di mana golongan hamba kulit hitam dan pemuzik kulit hitam yang bebas mempersembahkan muzik mereka di hadapan penoton dari pelbagai kaum. Pemuzik dari golongan hamba belajar muzik menerusi pendengaran ataupun sebagai perantis kepada pemuzik yang lain. Mereka akan cuba menyesuaikan atau mengubahsuai apa sahaja untuk dijadikan instrumen muzik. Pemuzik-pemuzik kulit hitam akan mengubahsuai alat muzik yang berasal dari Eropah, dan menjadikannya satu bentuk muzik baru.
Nota yang digelar 'Nota Biru' atau 'Blue Notes' berevolusi dan membentuk satu muzik baru yang dipanggil Blues. Muzik ini masih mengekalkan tradisi dan semangat kulit hitam Afrika meskipun dimainkan menggunakan instrumen kaum kulit putih.
Muzik Blues mula menjadi pendengaran umum pada awal tahun 1920-an. Muzik Blues mula dirakamkan ke dalam piring hitam. Pada persembahan secara 'live' biasanya pemuzik Blues akan bermain muzik dalam jangkamasa yang lama, namun oleh kerana proses rakaman kepada piring hitam pada waktu itu tidak mampu untuk memuatkan permainan muzik pada jangkamasa yang lama, maka muzik tersebut terpaksa dipendekkan lebih kurang tiga minit.
Hasil daripada proses ini, muzik tersebut tidak lagi mewakili kaum kulit hitam Afrika ataupun kulit putih Eropah, sebaliknya ia adalah sejenis muzik hibrid yang mewakili rakyat Amerika. Masyarakat semakin lama semakin menerima muzik jenis ini menyebabkan ia sering dimainkan di radio-radio, majlis keramaian dan seterusnya disebarluaskan ke seluruh dunia.
Antara pemuzik Blues yang terkenal pada era ini adalah Charley Patton, Son House dan Robert Johnson.
Sumber: Rock On! The Rock 'n' Roll Greats karya Colin King.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan