Isnin, 12 Julai 2010

Semerah Cinta Stilleto, Lu Pikirlah Sendiri 3 Idiots!

Hahaha......sebenarnya judul entri kali ini merupakan gabungan tiga buah filem yang sempat aku tonton ketika dalam perjalanan pergi balik dari Ipoh ke Melaka. Meskipun terpaksa terlintuk liuk mengikut bas yang bergoyang-goyang dan adakalanya terlelap seketika, namun aku masih dapat mengikuti jalan ceritanya.

Lu Pikirlah Sendiri, hu syukurlah aku menonton filem ini secara percuma ketika menaiki bas, sekurang-kurangnya aku dapat menikmati pemandangan di luar apabila kebosanan datang menyapa. Seandainya aku menonton filem ini di pawagam, aku yakin aku akan keluar dari pawagam tak sampai pun setengah jam filem ini ditayangkan.

Pada permulaan filem ini dipaparkan kisah Nabil yang tiada pekerjaan tetap, setelah dipecat oleh Harun Salim Bachik kerana tertidur ketika menjaga ayam. Kemudian ditunjukkan Nabil yang cuba membuat pelbagai kerja daripada mekanik motor sehinggalah kepada budak penghantar surat (despatch). Meskipun tiada pekerjaan tetap namun Nabil adalah seorang penuntut Universiti.

Kemudian ditunjuk pula kisah keluarga Nabil yang agak susah, ayahnya sedang sakit manakala abangnya pula seorang penagih dadah. Meskipun begitu Nabil masih seorang yang 'happy go lucky' dan sering 'bergaduh' dengan seorang gadis iaitu Natasha. Apa punca pergaduhan mereka dan kenapa mereka sering bergaduh tidak aku ketahui.

Nabil kemudian dipecat daripada menjadi Mat Despatch apabila motosikalnya telah dijual oleh abangnya. Secara tiba-tiba kumpulan Meet Uncle Hussain datang dan menjemput Nabil menganggotai kumpulan itu. Mereka kemudian menyertai sebuah rancangan realiti muzik dan akhirnya menjadi juara.

Kemunculan Nabil di kaca televisyen telah mengejutkan ramai orang antaranya Harun Salim Bachik bekas tauke ayam yang pernah memecatnya dahulu. Setelah Nabil dan Meet Uncle Hussain memenangi program realiti itu, Nabil menjadi seorang bintang terkenal dan secara tiba-tiba Natasha yang sering bergaduh dan memusuhinya jatuh hati padanya. Natasha menemui Nabil dan menghadiahkan sekuntum bunga dan juga ciuman di pipi yang telah menimbulkan kontroversi.

Akibat daripada gossip dan kontroversi itu Nabil dan Natasha kembali bergaduh namun kemudian Nabil membuat pengumuman kepada umum bahawa dia mencintai Natasha. Filem ini diakhiri dengan adegan di mana Nabil dan rakan-rakannya meraikan hari konvokesyen mereka. Kerana filem ini telah pun lama ditayangkan, agak tidak melampau bagi aku untuk mengatakan bahawa ini adalah antara filem Melayu yang agak teruk, bukan yang paling teruk namun masih di tahap teruk yang pernah aku tonton.

Semerah Cinta Stilleto pula merupakan filem kedua yang aku tonton setelah filem Lu Pikirlah Sendiri. Aku akui filem arahan Ahmad Idham, lakonan Lisa Surihani dan Farid Kamil ini lebih baik sedikit daripada filem pertama yang aku tonton tadi.

Di dalam filem ini Ahmad Idham cuba menampilkan sebuah filem komedi yang agak 'disgusting' seperti kelaziman filem-filem komedi Hong Kong. Misalnya apabila watak Siti Laila atau Stella yang dibawakan oleh Lisa Surihani menendang punggung Letto yang dilakonkan oleh Farid Kamil dengan kasut tumit tingginya, menyebabkan punggung Letto mengalami kecederaan.

Apabila Letto mendapatkan rawatan di klinik, doktor bertanya sama ada Letto pernah melakukan hubungan di luar tabii dan soalan ini didengari oleh ibunya yang mengesyaki Letto pernah melakukan hubungan sejenis.

Walaupun filem ini bukan termasuk dalam kategori filem yang aku minati namun aku dapati ia agak menghiburkan. Lakonan Lisa Surihani yang agak 'natural' di dalam filem ini juga merupakan penyelamat kepada filem ini. Bukan yang terbaik namun masih menyenangkan untuk ditonton.

3 Idiots, filem ini aku tonton ketika dalam perjalanan pulang daripada Melaka menuju ke Ipoh. Filem ini dibintangi oleh Aamir Khan dan Kareena Kapoor. Diarahkan oleh Rajkumar Hirani, filem ini merupakan adaptasi daripada novel Five Point Someone karya Chetan Bhagat.

Ia mengisahkan kebosanan yang dialami oleh penuntut-penuntut sebuah kolej kejuruteraan sehinggalah munculnya seorang pelajar bernama Rancchoddas "Rancho" Shyamaldas Chanchad (lakonan Aamir Khan) yang telah mencabar sistem pendidikan kolej itu.

Rancho tidak disukai oleh dekan kolej tersebut iaitu Professor Viru Sahastrabudhhe atau digelar Virus oleh penuntut kolej itu. Rancho bersahabat dengan dua lagi pelajar iaitu Farhan Qureshi (lakonan pelakon Tamil, Madhavan) dan Raju Rastogi di mana Virus telah menggelar mereka bertiga sebagai '3 Idiots'.

Meskipun ini merupakan filem Hindi, namun aku agak 'menyukainya' kerana filem ini agak lain daripada filem-filem Hindi yang lain. Ia agak kurang menumpukan kepada kisah cinta, juga tiada aksi bertumbuk yang melampau dalam filem ini dan yang pastinya industri perfileman Bollywood juga telah mula mengadaptasi novel untuk dijadikan filem.

Tiada ulasan: