Rabu, 9 Jun 2010

Prince of Persia, sebuah epik fantasi Majusi


Apabila Hollywood cuba menggarap sesuatu dari Timur Tengah, jangan cepat sangat berasa teruja kerana hasilnya nanti adakalanya agak 'menyinggung'.

Begitulah dengan filem Prince of Persia: The Sands of Time, sebuah filem epik fantasi terbaharu keluaran Disney dan Jerry Bruckheimer yang sebelum ini mencipta fenomena dengan trilogi Pirates of the Carribean.

Prince of Persia: The Sands of Time diadaptasi daripada siri permainan video Prince of Persia. Diarahkan oleh Mike Newell yang sebelum ini pernah mengarahkan filem fantasi Harry Potter and the Goblet of Fire.

Seperti trilogi Pirates, Prince of Persia juga merupakan sebuah filem aksi yang agak 'fast-paced' dan menonjolkan teknik permainan pedang yang mempesonakan.

Filem ini berlatarbelakangkan Persia di zaman Jahiliah di mana rakyat atau penduduk Persia atau Parsi ketika itu menyembah berhala dan dari golongan Majusi. Aku masih boleh menerima kerana dengan itu sebarang perlambangan atau kaitan dengan Islam mungkin terselamat.

Cuma aku agak tersinggung apabila raja-raja di Timur Tengah digambarkan sebagai kemaruk perempuan (apabila Putera Tus hendak dijodohkan dengan Puteri Tamina sedangkan Putera Tus mempunyai ramai isteri).

Aku juga dapat mengesan seakan sindiran kepada kerajaan Amerika Syarikat apabila bandar Alamut yang diserang oleh tentera Persia kerana kononnya menyembunyikan senjata. Secara realiti Amerika Syarikat memang menuduh Iraq dan juga Iran (yang dahulunya merupakan negara di bawah jajahan Persia) menyembunyikan senjata nuklear.


Secara keseluruhan aku agak berpuas hati dengan filem ini cuma aku agak 'bengang' kerana filem The A-Team akan menyusul selepas ini di waktu tengah bulan dan di saat-saat poketku sedang kritikal, huh!

Tiada ulasan: