Rabu, 2 Jun 2010

Kita mesti merantau


Sebenarnya tiada apa yang istimewa tentang filem ini, melainkan ia mengembalikan keghairahan terhadap filem-filem silat dan seni mempertahankan diri yang sebelum ini memang banyak dikeluarkan oleh produksi filem di Indonesia pada era 70'an dan 80'an.

Filem Merantau bukanlah seratus peratus dibikin oleh produksi Indonesia kerana ia diarahkan oleh pengarah kelahiran Wales iaitu Gareth Evans. Rasanya ini merupakan filem kedua arahannya. Namun aku agak kagum dengan kepantasan Iko Uwais beraksi dalam filem ini, hampir menyamai aksi tangkas Jackie Chan, Jet Li dan Tony Jaa.

Pengaruh filem Ong-Bak memang kuat di dalam filem ini, cuma bezanya seni mempertahankan diri Muay Thai digantikan dengan silat Melayu. Aku menganggap filem ini sebagai suatu promosi seni silat ke persada antarabangsa.

Malangnya, aku sangkakan dengan lahirnya Merantau maka selepas itu beberapa filem aksi mempertahankan diri keluaran Indonesia akan diterbitkan satu persatu tetapi nampaknya sepi, cuma filem-filem seram dan filem komedi romantik yang agak aktif dikeluarkan.

Jalan ceritanya agak mudah dan 'straight forward', mengisahkan seorang pemuda bernama Yuda yang dikehendaki 'merantau' kerana menurut adat tradisi orang Minangkabau di mana seorang lelaki dewasa akan meninggalkan kampung halamannya untuk mencari pengalaman di tempat orang.

Yuda yang pergi ke Jakarta secara tidak sengaja terlibat dengan masalah apabila dia menyelamatkan seorang gadis bernama Astri dan adiknya Adit daripada dijual oleh seorang lelaki tempatan bernama Johnny kepada sindiket pelacuran antarabangsa.

Ini menyebabkan mereka bertiga menjadi buruan oleh sindiket tersebut yang diketuai oleh seorang warga Eropah bernama Ratger.

Meskipun Yuda telah menguasai sepenuhnya ilmu persilatan, namun Yuda tetap manusia biasa dan penghujung filem ini bukan seperti kebiasaan filem-filem aksi di mana hero akan mengecapi kemenangan.

Kepada peminat-peminat filem aksi dan seni mempertahankan diri, filem ini agak berbaloi untuk ditonton.

Tiada ulasan: