Rabu, 12 Mei 2010

Manusia Besi


Huh! Lamanya aku tidak mengemaskini blog ini. Baiklah, terus terang aku katakan kerana aku menulis blog di pejabat, di waktu bekerja. Kerana kesibukan kerja yang semakin memuncak, membuatkan aku seolah-olah hilang akal, menyebabkan aku terpaksa menghentikan aktiviti menulis blog ini di pejabat. Aku cuba untuk menulis di rumah namun entah kenapa, otakku tidak seaktif seperti di pejabat.

Ini adalah pandangan aku tentang filem yang aku baru tonton iaitu Iron Man 2. Filem Iron Man yang pertama tidak aku tonton kerana tersinggung dengan plot filem itu yang menggambarkan bagaimana seorang tokoh korporat Amerika iaitu Tony Stark dijadikan tebusan oleh pengganas yang sudah pastinya sinonim dengan Islam.

Namun, untuk filem kedua, propaganda anti pengganas itu agak kurang ditonjolkan, meskipun sesekali nama-nama negara yang sinonim dengan Islam dan keganasan disebut, kali ini aku merasakan ia lebih memfokuskan kepada perlumbaan syarikat-syarikat korporat Amerika Syarikat menghasilkan senjata untuk Kerajaan Amerika Syarikat, di samping itu menjualnya kepada negara-negara asing. Ianya jelas ditonjolkan melalui watak Justin Hammer, saingan korporat kepada Tony Stark.

Iron Man 2 juga memperkenalkan kita kepada watak Ivan Vanko, anak kepada saintis Rusia iaitu Anton Vanko yang pernah bekerjasama dengan ayah Tony Stark membina arc reactor, iaitu sejenis sumber kuasa yang kini digunakan oleh Tony Stark untuk menyelamatkan nyawanya.

Aku agak terkilan apabila watak Mandarin, nemesis utama Iron Man tiada dalam filem ini. Mungkin dalam sinambungan Iron Man yang akan datang. Mandarin adalah simbol propaganda Amerika untuk melahirkan kebencian terhadap ideologi komunisme sewaktu era perang dingin. Begitu juga dengan watak anak-beranak Vanko. Namun di dalam filem ini watak Vanko adalah simbol kepada pembalasan dendam dan mempertahankan maruah. Pada aku watak Tony Stark juga ada sisi gelapnya.

Turut diperkenalkan kali ini adalah watak War Machine. Untuk mengujudkan keselarian Marvel Universe di dalam filem ini, juga sebagai pengenalan untuk filem The Avengers yang bakal dibikin, maka watak-watak seperti Nick Fury dan juga Natasha Romanoff turut diperkenalkan.

Filem ini juga sebagai laluan untuk filem adiwira terbaharu Marvel iaitu Thor.

Tiada ulasan: