Selasa, 27 April 2010

Keadaan Kritikal Bret Michaels


LOS ANGELES - Para doktor akan mengadakan beberapa ujian lagi kepada vokalis kumpulan rock Poison iaitu Bret Michaels yang dilaporkan mengalami pendarahan dalam otak.

Laporan daripada para doktor dijangka akan diketahui minggu ini bagaimanapun laman web rasmi penyanyi rock tersebut tidak memberitahu lokasi sebenar Michaels, 47, dirawat.

Ejen publisiti Bret Michaels iaitu Joann Mignano, mengesahkan tentang berita yang disiarkan di laman web People pada hari Khamis lalu yang memberitahu bahawa Bret Michaels dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi setelah mengadu mengalami sakit kepala yang teruk. Para doktor kemudian mendapati terdapat pendarahan pada saraf otaknya.

Bret Michaels merupakan salah seorang peserta rancangan realiti Donald Trump iaitu The Celebrity Apprentice. Dia merupakan antara selebriti yang agak lantang bersuara dan sering terlepas daripada sesi pemecatan di bilik mesyuarat.

Di penghujung episod Ahad lalu, seorang pengacara berkata di hadapan peserta dan krew penerbitan NBC bahawa pihak penerbitan berharap agar Bret Michaels segera sembuh.

Michaels sebelum ini dimasukkan ke dalam bilik rawatan kecemasan pada 12 April lalu setelah mengadu sakit perut sebelum dijadualkan untuk mengadakan persembahan di Sea World San Antonio.

Sebelum menyertai musim ketiga The Celebrity Apprentice, Michaels telah membintangi sebuah siri realiti TV berjudul Rock of Love dari tahun 2007 hingga 2009. Dia juga menjadi juri untuk musim ketiga pertandingan nyanyian USA iaitu Nashville Star pada tahun 2005.

-AP

Tiada ulasan: