Isnin, 5 April 2010

Apabila para dewa bertelagah


Clash of the Titans, filem yang sedang mendapat sambutan hangat di pawagam sekarang. Filem epik fantasi berdasarkan mitologi kaum Yunani ini adalah merupakan 'remake' ataupun pembikinan semula filem dengan judul yang sama yang pernah dibikin pada tahun 1981.

Aku masih ingat lagi menonton filem asalnya sewaktu berusia 7 ke 8 tahun, dan ketika itu filem Clash of the Titans memang menggerunkan aku. Seandainya aku menonton versi remake ini yang lebih realistik dari segi kesan khas dan teknologi CGI nya sewaktu aku masih kanak-kanak, sudah pasti ia akan membuat aku mengigau ketika tidur. Sebab itu pihak pawagam tidak menggalakkan ibu bapa membawa kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun menonton filem ini.

Clash of the Titans versi remake diarahkan oleh Louis Leterrier, pengarah yang pernah mempersonakan aku dengan aksi-aksi lasak dalam filem Unleashed aka Danny the Dog dan Transporter 2. Louis Leterrier mula berjinak-jinak dengan dunia fantasi dan superhero menerusi filem The Incredible Hulk, dan mungkin kerana kemaruk dengan filem bergenre begitu dia mengarahkan Clash of the Titans.

Khabarnya, Louis Leterrier pernah meminta Ray Harryhausen, penerbit asal dan pengarah kesan khas untuk filem Clash of the Titans 1981 terlibat dalam pembikinan semula ini namun Ray Harryhausen menolaknya. Mungkin sebagai parodi dan penghormatan kepada Ray Harryhausen, Louis Leterrier menjadikan Bubo, burung hantu mekanikal sebagai cameo dalam filem Clash of the Titans 2010.

Meskipun jalan cerita filem ini berdasarkan kepada filem Clash of the Titans versi 1981 dan legenda Perseus sendiri namun aku dapati beberapa perubahan telah dibuat mungkin untuk menjadikan cerita ini lebih menarik.

Di dalam filem asal dan menurut legenda Perseus, Perseus akhirnya berkahwin bersama Andromeda dan menjadi pemerintah Argos, bagaimanapun di dalam filem versi 2010 ini pengakhirannya bukan begitu. Juga watak rasaksa laut yang akan memusnahkan Argos, di dalam legenda asal ia diceritakan sebagai Ceto atau Citus, manakala di dalam filem Clash of the Titans (kedua-dua versi) makhluk tersebut digelar Kraken. Kraken tidak wujud dalam mitologi Yunani sebaliknya Kraken lebih popular sebagai dongeng atau mitologi kepada pelaut (ingat filem Pirates of the Carribean?)

Begitu juga dengan watak Calibos. Di dalam filem asal, watak Calibos adalah seorang lelaki yang kacak yang sepatutnya akan berkahwin dengan Puteri Andromeda, namun disebabkan oleh perasaan tamak dan kekejaman yang dilakukan menyebabkan Calibos disumpah oleh Zeus menjadi makhluk yang menakutkan. Bagaimanapun di dalam versi baru ini Calibos sebenarnya adalah Raja Acrisius yang disumpah oleh Zeus menjadi makhluk menggerunkan. Calibos kemudian diperintahkan oleh Hades untuk menggagalkan rancangan Perseus untuk membunuh Kraken daripada menyerang Argos.

Kepada mereka yang meminati filem-filem epik fantasi seperti Lord of the Rings, 300 dan sebagainya, filem ini memang tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja. Untuk versi baharu ini, penggunaan CGI memang dimanfaatkan sepenuhnya, menjadikan filem ini kelihatan cantik dan realistik terutamanya ketika babak tentera-tentera Argos menentang kala jengking rasaksa, pergerakan unik Medusa dan ketika Perseus menaiki Pegasus (kuda terbang) menentang Kraken. Begitu juga dengan set dan pemandangan yang luarbiasa contohnya seperti keadaan di Argos, bagaimana gambaran di Syurga (kononnya) ketika para Dewa sedang bersidang (di dalam filem asal para Dewa digambarkan sebagai bermain catur, mengatur takdir manusia) dan gambaran sewaktu berada di alam kematian, meyusuri Sungai Styx (sungai kematian) untuk sampai ke sarang Medusa.

Tiada ulasan: