Khamis, 4 Mac 2010

Filem yang patut ditonton oleh Rockers dan Awek serta peminat Dakota Fanning


Maaf atas judul entri yang berbahasa rojak. Sebenarnya aku sedang berusaha untuk menyahut seruan Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim supaya mengurangkan penggunaan bahasa rojak ini. Aku setuju dengan pendapat Dato' Seri itu, sekiranya ingin menggunakan Bahasa Melayu, gunakannya dengan sempurna dan kalau hendak berbahasa Inggeris, berbahasa Inggeris sepenuhnya.

Lupakan tentang soal bahasa, sekarang aku hendak mewar-warkan sebuah filem yang seharusnya ditonton oleh mereka yang meminati muzik rock khususnya muzik rock 70'an. Filem berjudul The Runaways yang didasarkan pada kisah benar yang dialami oleh anggota kumpulan muzik The Runaways iaitu Joan Jett, Sandy West, Cherie Currie dan Lita Ford.

Filem ini dimulakan dengan kisah dua sahabat iaitu Joan Jett dan Cherie Currie di saat mereka menubuhkan sebuah kumpulan muzik yang kemudian menjadi legenda dan melambangkan 'Girl Power' dan menjadi pencetus sehingga tertubuhnya kumpulan-kumpulan muzik wanita selepas itu seperti The Bangles, The Go-Go's, L7 dan Vixen.

Filem ini dibintangi oleh Kristen Stewart sebagai Joan Jett, Dakota Fanning sebagai Cherie Currie, Scout Taylor-Compton sebagai Lita Ford, Stella Maeve sebagai Sandy West dan Michael Shannon sebagai Kim Fowley. Walaupun filem ini berdasarkan kepada kisah benar namun terdapat watak fiksyen yang ditampilkan iaitu watak Robin, pemain bass kumpulan ini yang dilakonkan oleh Alia Shawkat. Pemain bass kumpulan The Runaway yang sebenar ialah Jackie Fox.

Kebanyakan lagu-lagu di dalam filem ini dinyanyikan oleh The Runaways namun terdapat juga lagu-lagu yang dinyanyikan oleh pelakon filem ini sendiri seperti lagu Cherry Bomb dan California Paradise yang dinyanyikan oleh Dakota Fanning. Dakota Fanning juga berduet bersama Kristen Stewart untuk lagu Queens of Noise dan Dead End Justice.

Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Floria Sigismondi.

TRAILER THE RUNAWAYS

Tiada ulasan: