Khamis, 18 Mac 2010

Buku bertemu ruas dalam Predators


Pada mulanya pelakon Arnold Schwarzenegger pernah memaklumkan bahawa tiada sekuel untuk filem Preadator. Tiba-tiba muncul sekuelnya Predator 2 yang dibintangi oleh Danny Glover. Kemudian beberapa tahun berlalu, muncul pula Alien vs. Predator disusuli pula Aliens vs Predator: Requiem.

Tidak berapa lama lagi kita akan menonton filem Predators yang dikatakan sebagai sekuel untuk filem Predator lakonan Arnold Schwarzenegger. Bagaimana pula dengan Predator 2?

Namun yang menariknya mengenai Predators adalah judulnya. Judulnya mempunyai dua makna iaitu sekumpulan makhluk asing yang ganas dikenali sebagai Predators juga judul ini bermaksud sekumpulan manusia yang kejam dan tidak berperikemanusiaan yang menjadi tawanan Predators.

Kisah yang diceritakan dalam filem Predators ini tidak berlaku di Bumi sebaliknya di sebuah planet yang digunakan oleh makhluk Predators sebagai medan untuk melatih pahlawan-pahlawan Predator baharu. Di planet ini beberapa tawanan yang handal, kejam dan tidak berperikemanusiaan di Bumi ditangkap dan dibawa ke planet ini untuk berlawan dengan bakal-bakal pahlawan Predator.

Seorang tentera upahan bernama Royce telah ditawan oleh makhluk Predator dan dibawa ke planet tersebut. Di planet itu dia bertemu lapan manusia lain yang menjadi tawanan dan mereka ialah Edwin, seorang pembunuh bersiri yang sangat dikehendaki oleh polis dan FBI, Cuchillo, seorang penguatkuasa kartel dadah Mexico, Isabelle, seorang penembak senyap untuk pasukan khas Amerika Selatan, Mombasa, pegawai atasan skuad khas Sierra Leone, Nikolai, anggota komando elit Russia, Stans, seorang banduan yang merbahaya, Hanzo, seorang ninja dan pembunuh upahan serta Noland, seorang askar Amerika Syarikat yang berjaya menyelamatkan diri daripada dibunuh oleh Predator.

Meskipun mereka tidak sehaluan dan tidak mempunyai sebarang perasaan kemanusiaan, namun untuk memastikan mereka hidup dan dapat melarikan diri dari planet itu, mereka harus bekerjasama. Namun setakat mana mereka mampu untuk bersama sedangkan dalam diri mereka juga mempunyai naluri membunuh yang sama seperti makhluk yang memburu mereka.

Filem ini dibintangi oleh Adrian Brody, Topher Grace, Danny Trejo, Alice Braga, Mahershalalhashbaz Ali, Oleg Taktarov, Walton Goggins, Louis Ozawa Changchien dan Laurence Fishburne. Filem ini diarahkan oleh Nimród Antal dan diterbitkan oleh Robert Rodriguez.

Pada mulanya dikatakan bahawa Arnold Schwarzenegger akan muncul dalam filem ini membawakan wataknya sebagai Dutch dalam filem Predator yang pertama, namun kemudian atas beberapa masalah watak tersebut ditiadakan.

Filem ini dijangka akan menemui penonton pada bulan Julai 2010.

Tiada ulasan: