Rabu, 17 Februari 2010

Perkakasan James Bond - Era 60'an


Filem-filem James Bond memang terkenal sebagai sebuah filem perisikan hi-tech dengan rekaan-rekaan dan ciptaan-ciptaan terkini yang canggih. Perkakasan yang digunakan oleh James Bond ketika era Perang Dingin (60-an hingga lewat 80'an) telah menjadi tarikan dan keistimewaan untuk filem-filem Bond (tidak dinafikan juga tarikan seksual dengan menampilkan pelakon-pelakon wanita jelita yang dikenali sebagai Bond Girl).

Rekaan-rekaan canggih yang dipaparkan dalam filem Bond ini sebenarnya bukanlah hanya sebagai penyedap untuk sebuah filem perisikan, sebaliknya rekaan tersebut memang wujud dan digunakan oleh bidang ketenteraan khususnya oleh tentera British dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun setelah tamatnya Perang Dingin dan perkembangan IT menyebabkan filem-filem Bond seakan-akan hilang keistimewaannya apabila perkakasan-perkakasan yang digunakan telah biasa dilihat dan dipaparkan dalam filem-filem lain seperti G.I. Joe contohnya.

Sebagai pengetahuan dan juga untuk suka-suka, apa kata kita lihat perkakasan-perkakasan yang digunakan oleh James Bond sekitar tahun 60'an dan kaitannya dengan dunia realiti.


From Russia With Love (1963)

Beg bimbit - Beg bimbit yang digunakan oleh James Bond ini dilengkapi dengan sebilah pisau lontaran, 20 siri amunisi, sepucuk senapang sniper AR7 dan satu kanister gas pemedih mata yang akan meletup sekiranya beg tersebut tidak dibuka dengan betul.

Alat kelui - Alat kelui yang digunakan di dalam filem ini memberi isyarat kepada Bond untuk menggunakan telefon keretanya.


Thunderball (1965)

Kamera penghitung Geiger - Di dalam filem ini Bond menggunakan alat penghitung Geiger dalam bentuk kamera untuk mengesan radiasi. Alat ini membantu Bond untuk mencari dua buah peledak nuklear.

Jetpack dalam air - Bond telah menggunakan alat ini sewaktu pertempuran dalam air. Jetpack ini dilengkapi dengan senapang harpoon, satu alat pernafasan dan lampu suluh berkuasa tinggi yang kalis air.

Alat pernafasan - Alat ini digunapakai oleh Bond untuk masa yang singkat iaitu selama lima minit. Alat ini membantu Bond untuk bernafas terutama sewaktu di dalam air. Di dalam filem ini Bond telah menggunakannya sebanyak dua kali iaitu sewaktu melepaskan diri daripada ikan jerung dan sewaktu pertempuran dalam air.

Jetpack - Perkakasan yang menjadi ingatan untuk filem Thunderball. Jetpack ini boleh menerbangkan manusia sehingga setinggi 600 kaki. Bond telah menggunakannya sewaktu pembukaan filem. Dalam dunia realiti Jetpack ini digunakan oleh angkasawan sebagai kenderaan sewaktu terapung di angkasa lepas.


You Only Live Twice (1967)

Little Nellie - Sejenis alat pengangkutan yang boleh dipasang daripada empat beg kecil menjadi sebuah helikopter kecil. Nellie dilengkapi dengan dua pucuk mesingan, dua pelancar roket, dua penyembur api dan sejenis alat yang boleh mewujudkan tabir asap.


On Her Majesty's Secret Service (1969)

Mesin fotostat mudah alih - Alat yang digunakan dalam filem ini bukan hanya boleh menyalin dokumen bahkan boleh memecahkan kod dan kombinasi. Bond menggunakannya untuk memecahkan kombinasi peti besi yang dimiliki oleh penjahat.

Sumber: www.bondmovies.com

Tiada ulasan: