Isnin, 1 Februari 2010

Mel Gibson kembali mengganas


Rindu pada Mel Gibson? Setelah Mel Gibson duduk di kerusi pengarah dan menghasilkan filem The Passion of the Christ dan juga Apocalypto, teringin juga hendak melihat beliau kembali berlakon. Dan hasrat itu mungkin akan tercapai dengan kemunculan filem terbaru Edge of Darkness yang dibintangi oleh beliau.

Edge of Darkness diarahkan oleh Martin Campbell yang pernah mengarahkan dua buah filem James Bond iaitu GoldenEye dan Casino Royale. Filem ini diadaptasi daripada siri televisyen British dengan judul yang sama. Michael Wearing, penerbit siri TV itu turut menjadi penerbit untuk filem ini.

Yang menariknya, filem ini diedarkan oleh Warner Bros. Pictures yang pernah mengedarkan filem dengan judul yang sama pada tahun 1943, cuma jalan ceritanya yang berbeza. Filem Edge of Darkness keluaran 1943 merupakan sebuah filem perang.

Edge of Darkness mengisahkan seorang anggota polis, Thomas Craven (lakonan Mel Gibson) menyiasat dan ingin menuntut bela atas kematian anak perempuannya Emma Craven (lakonan Bojana Novakovic) yang merupakan seorang aktivis masyarakat. Penyiasatan Craven akhirnya membawa dirinya kepada isu yang lebih besar iaitu konspirasi politik dan juga keselamatan negara.

Pelakon Robert De Niro pernah ditawarkan untuk melakonkan watak Darius Jedburgh, seorang agen CIA dalam filem ini. Bagaimanapun, pelakon itu menarik dirinya apabila mendapati terdapat percanggahan idea dan watak itu kemudian diisi oleh Ray Winstone.

TRAILER EDGE OF DARKNESS

Tiada ulasan: